Sharita bangkit ketika pandemik - Utusan Malaysia

Sharita bangkit ketika pandemik

Sharita Loo menyantuni anak-anak yatim Rumah Amal Kasih Bestari dalam Majlis Iftar Ramadan 2015 di D’Kayangan Steamboat, Shah Alam, Selangor.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Kesungguhannya untuk terus berjaya dalam perniagaan terbukti apabila beliau tidak pernah mengalah ketika ramai usahawan F&B berdepan dengan cabaran pandemik Covid-19 sejak Mac tahun lalu.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Arena International Services Sdn. Bhd, Sharita Loo, 40, ini memiliki tiga restoran termasuk Ombak Kitchen Bangsar dan di pusat beli-belah IOI Putrajaya dan D’ Kayangan, Shah Alam, Selangor.

Pemegang ijazah sarjana muda dalam bidang perniagaan, dia memulakan kerjaya sebagai Eksekutif Jualan Perkhidmatan Pelanggan di syarikat Auric Pacific iaitu pembekal dan pengeluar utama bahan bakeri pada 2012.

Berkat usaha gigih dan tidak pernah kenal erti putus asa, gadis kelahiran Kuala Lumpur ini dinaikkan pangkat sebagai eksekutif pembelian dan kemudian pengarah urusan di syarikat yang sama.

“Dari situ saya banyak belajar mengenai pengurusan perniagaan, pemasaran dan kewangan kerana saya dapat rasakan suatu hari nanti saya bakal membuka perniagaan sendiri.

“Pada 2008 saya melepaskan jawatan sebagai pengarah urusan untuk mempunyai perniagaan sendiri dengan menubuhkan syarikat Ribbon Cakes Sdn. Bhd.,” katanya kepada Utusan Malaysia.

SHARITA LOO

Berdasarkan pengalaman dalam bidang F&B dan perhotelan selama hampir sepuluh tahun, dia mengatur langkah dalam mengembangkan perniagaannya daripada projek bakeri di rumah kepada sebuah restoran yang menyajikan makanan laut segar.

Menariknya, Ombak Kitchen yang kini mempunyai dua cawangan menyediakan kaedah makanan mengikut tradisi masyarakat Malaysia iaitu menggunakan tangan sesuai slogannya, ‘pakai tangan jer’.

Kejayaannya mengemudi perniagaan sehingga menerima pengiktirafan Female Entrepreneur of the Year oleh Star Outstanding Business Awards (SOBA) 2019 dan Platinum Business Award-Rising Star 2019 (SME Malaysia).

Malah, sinarnya dalam perniagaan jelas kelihatan selepas beliau menerima anugerah Perdana Young Entrepreneurs Award pada 2016.

HIKMAH PANDEMIK

Tidak mudah mengalah dengan pancaroba perniagaan, Sharita berkata, meskipun berdepan dengan pasang surut bidang ini susulan ketidaktentuan keadaan akibat Covid-19, ia bukan alasan untuk mengangkat bendera putih.

Sebaliknya, Sharita mengambil semangat daripada rakan dan keluarga untuk memastikan terus kekal di landasan dan meminta semua usahawan wanita juga harus bersikap seperti itu.

“Seperti saya sendiri, ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), saya hampir putus asa. Namun kita tidak tahu sebenarnya ada cara untuk berdepan dengannya. Dua minggu awal pengumuman PKP pada Mac 2018, saya tidak mempunyai hasil jualan,” katanya yang dilahirkan bukan dalam keluarga bisnes.

Bercerita lanjut, sepanjang PKP konsep perniagaannya juga sedikit berubah selaras norma baharu apabila menumpukan aspek perkhidmatan ke rumah.

“Ketika itu, daripada majoriti pelanggan yang datang menikmati makanan laut segar di restoran, ia bertukar kepada pesanan ke rumah dengan peningkatan perkhidmatan sebanyak 60 peratus.

“Kira-kira 80 peratus pelanggan pilih khidmat penghantaran ke rumah ketika PKP berbanding 20 peratus sebelum ini.

“Jika sebelum ini jarang ada penghantaran ke rumah, dalam tempoh seminggu dalam 10 pesanan sahaja, namun dengan norma baharu, sehari kami boleh dapat 10 hingga 15 pesanan ke rumah.

“Menariknya kami turut bekalkan dengan kertas apron, sama seperti mereka nikmati di restoran. Justeru, kami boleh meneruskan perniagaan ketika tempoh mencabar itu,” katanya.

Tambah Sharita, cara pemasaran juga berubah kepada media digital seperti Facebook, Instagram dan Tiktok.

“Kami pernah mendapat 90 tempahan penghantaran sehari. Waktu itu, saya terpaksa menyusun jadual pekerja khususnya yang bertugas membuat penghantaran agar patuh prosedur operasi standard (SOP).

“Dalam kami berhati-hati, kami juga berhadapan cabaran apabila ada satu masa kami berdepan dengan kes Covid-19 dalam kalangan pekerja. Masa tu, saya minta mereka yang terlibat bercuti sakit dan berehat.

“Walaupun meneruskan perniagaan semasa pandemik ini agak mencabar, saya juga berterima kasih kepada kerajaan dengan adanya dana Penjana yang banyak membantu majikan seperti saya membayar gaji pekerja,” katanya yang mempunyai 50 pekerja.

SHARITA Loo menerima anugerah Perdana Young Entrepreneurs Award pada 2016.

DIJAMIN HALAL

Sharita berkata, dengan memilih lambang raja ketam Alaska berwarna biru, dia mahu membawa mesej menyajikan makanan laut yang segar dari laut ke hidangan pelanggan.

Katanya, dengan jaminan makanan laut premium pada harga berpatutan, bekalan yang diperoleh secara segar dari Indonesia dan melalui kolam agrikultur tempatan.

Dalam pada itu, wanita berdarah campuran Cina dan India ini percaya penyediaan bahan mentah dan makanan yang disahkan halal Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) sangat penting.

“Ini termasuklah proses penyediaan makanan di bahagian dapur. Bahkan kakitangan saya terdiri daripada mereka yang beragama Islam. Saya juga memastikan bahan mentah yang diimport dijamin halal.

Saya percaya halal itu bukan semata-mata sijil sahaja. Tetapi keseluruhan termasuk kebersihan, bahan mentah dan kod etika pekerja juga dititiberatkan,” katanya.

Tambah beliau, sebagai rakyat Malaysia konsep halal ini perlu diterapkan kerana banyak kebaikan yang diperolehi jika pengusaha restoran melakukan panduan pensijilan halal tersebut.

“Saya juga mahu pelanggan-pelanggan saya yang majoriti terdiri daripada mereka yang beragama Islam percaya dan makan tanpa ragu-ragu,” katanya yang mahu membuka cawangan Ombak di Indonesia dan Brunei.

MULA BERNIAGA DI RUMAH

Bercerita pengalamannya dalam bidang kek dan roti, Sharita memasarkan kek di pasar raya Mydin dan hanya menjalankan perniagaan dari rumah dengan seorang pekerja.

“Ia bermula apabila kek yang dijual di kedai berjaya menarik perhatian pasar raya besar ini disebabkan teknik pemasaran, kualiti dan rasanya.

“Kemudian, saya mendapat memasarkan kek di semua cawangan pasar raya di seluruh negara. Namun untuk menyediakannya dalam jumlah yang besar di semua cawangan pasar raya Mydin, ia bukanlah sesuatu yang mudah. Saya perlu mengikuti spesifikasi yang ditetapkan pihak pengurusan terutama dari segi kualiti dan juga kuantiti.

“Bermula dengan sebuah kereta yang dijadikan pengangkutan untuk penghantaran ke setiap pasar raya, lama-kelamaan saya terpaksa membeli van dan lori disebabkan ruang kenderaan tidak mencukupi,” ceritanya.

Dengan kesungguhan dan komitmen yang tinggi, Sharita akhirnya mampu membuka kilang memproses kek di Seri Kembangan, Selangor. Dia kemudian menambah produk kek kepada roti dan pastri.

Lebih membanggakan, daripada hanya seorang pekerja, kini mempunyai 20 pekerja termasuk di bahagian pengeluaran, penghantaran dan pengkeranian bagi memastikan kelangsungan permintaan kek.

Bersama ahli keluarga yang sentiasa menyokong kejayaannya.

BUKA HOTEL BAJET

Pada awal 2012, berbekalkan pengalaman dan pengetahuan dalam bidang industri penyediaan makanan, minuman dan hospitaliti, Sharita mengorak langkah mengambil alih restoran di Seksyen 13, Shah Alam dengan menukar kepada menu hidangan steamboat.

Menggunakan nama D’Kayangan Steamboat BBQ Buffet, dia berkongsi dengan rakan Bumiputera, Dzul Arif Majdi Muzeni menyediakan lebih 200 jenis makanan setiap malam termasuk hidangan barbeku.

Restoran ini melalui pelbagai transformasi dan pemasaran berkesan apabila menjadi pilihan kebanyakan pelanggan yang ingin merasai pelbagai jenis makanan laut seperti udang, ketam, kupang serta kambing panggang yang dihidangkan setiap hari.

Akuinya, pengalaman yang diperoleh ketika berurusan dengan pelanggan di syarikat Ribbon Cakes digunakan sepenuhnya untuk memajukan perniagaan steamboat.

Tidak lama kemudian, Sharita membuka hotel bajet, Allexsis di tengah ibu kota dan berhampiran pengangkutan asas Hentian Bas Puduraya, Kotaraya dan Masjid Jamek.

“Saya beranikan diri menceburi bidang perhotelan setelah memikirkan hampir 90 peratus pelancong membanjiri sekitar Jalan Petaling dan Chinatown. Ia sangat berbeza ketika membuka perniagaan Ribbon Cakes kerana saya perlu bertungkus-lumus memastikan kejayaannya.

“Ia memerlukan pengorbanan bukan saja dari segi masa dan tenaga tetapi wang ringgit. Perniagaan dalam bidang hospitaliti hanya memerlukan kepakaran pemasaran dan tidak melibatkan produk tidak laku, busuk atau tidak boleh dimakan,” katanya yang terpaksa menutup perniagaan hotel pada 2018 kerana kurang tempahan.

AKTIF KERJA AMAL

Walaupun sibuk menguruskan restoran, Sharita juga ahli Friends to Mankind iaitu organisasi antarabangsa yang berpusat di Kanada. Ia banyak melakukan aktiviti kebajikan untuk kesejahteraan manusia.

Sebagai ahli yang aktif dan menyumbang kepada beberapa acara, Sharita turut mempengerusikan beberapa aktiviti mengumpul dana untuk mereka yang memerlukan.

Sharita percaya, salah satu punca kejayaan adalah hasil pembabitan dalam organisasi kerajaan seperti Institut Memperkasa Wanita Malaysia (NIEW) apabila dia belajar mengenai wanita dalam organisasi dan wanita dalam perniagaan.

Dia juga melibatkan diri dalam organisasi Sekretariat Memperkasakan Usahawan Wanita India (SEED) dan mempunyai pengalaman yang luas mengenai saluran kewangan, program latihan keusahawanan wanita serta pengetahuan dalam urusan perniagaan dan pemasaran.

“Semakin banyak saya berkongsi ilmu dengan orang lain serta membantu golongan yang memerlukan, perniagaan saya semakin berkembang maju. Saya juga kerap dijemput untuk berkongsi pandangan dan pengalaman berkenaan usahawan wanita,” katanya.

 

Biodata
Nama: Sharita Loo
Jawatan : Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Arena International Services Sdn. Bhd.
Asal: Kuala Lumpur
Adik beradik: Anak kedua daripada tiga adik-beradik.
Pendidikan: Ijazah Sarjana Muda dalam bidang perniagaan Kolej Sunway
Pencapaian:
• Female Entrepreneur of the Year oleh Star Outstanding Business Awards (SOBA) 2019 dan Platinum Business Award-Rising Star 2019 (SME Malaysia).
• Perdana Young Entrepreneurs Award pada 2016.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×