PENGLIBATANNYA dalam kraf resin bermula tanpa disangka setelah menonton video tutorial artis Jepun yang melintas di laman Instagram, kira-kira lima tahun lalu.
Dalam sekelip mata, Nurul Alya Zakariah, 25, jatuh hati pada kraf unik yang pertama kali dilihatnya itu.
Tanpa berlengah, lulusan Diploma Pendidikan Awal Kanak-Kanak dari Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) ini lantas menempah kit resin secara dalam talian.
Semangat berkobar-kobar itu didorong oleh minat mendalamnya pada bidang seni terutama melukis dan membuat buku skrap, sejak kecil.
“Saya masih ingat, ketika itu musim perayaan Tahun Baharu Cina dan tempahan dijadualkan tiba lewat selepas dua minggu.
“Tidak betah menunggu lama, saya turut berusaha menjejaki penjual-penjual di sekitar Johor hinggap sanggup memandu hampir dua jam semata-mata untuk mendapatkan kit resin tersebut,” katanya kepada Seri baru-baru ini.
Walaupun resin sering dianggap sebagai kaca, hakikatnya ia adalah ‘plastik’ dan mampu tahan lama.
Pembuatannya juga mudah tanpa memerlukan daya kreativiti tinggi di samping 100 peratus menggunakan tangan.

“Asalnya ia hanya campuran cecair tetapi kemudian berubah menjadi aksesori dan perhiasan yang sangat halus seni pembuatannya.
“Keunikan itulah yang menjadi tarikan untuk saya meneroka dan mendekati seni kraf ini sampai sekarang,” katanya yang menetap di Johor.
Sekitar 2020, kraf resin masih lagi asing di Malaysia dan Nurul Alya merupakan antara individu terawal yang merintis pembuatannya.
Disebabkan kekurangan inspirasi, rujukan dan contoh-contoh dari dalam negara, maka pendekatan yang diambil adalah bersifat cuba-cuba.
Katanya, setiap kit resin mengandungi cecair epoxy dan hardener di samping acuan huruf, bekas serta lidi adunan.
“Keterujaan saya sedikit terganggu kerana tiada maklumat lengkap tentang langkah pembuatannya dan pengeluar hanya menyediakan arahan tentang campuran cecair sahaja.
“Selebihnya kena cuba-cuba sendiri dan disebabkan tiada ilmu di peringkat awal, saya mengaku mengendalikan cecair kimia itu secara ‘salah’ tanpa memakai topeng muka serta sarung tangan,” ujarnya yang merupakan seorang introvert.
Resin pertama yang dihasilkan ialah rantai kunci dan sehingga kini ia masih digunakan pada keretanya.
Kemudian, Nurul Alya mencuba membuat perhiasan lain seperti pelapik gelas, penanda buku, dulang, bekas aksesori, sarung telefon, bingkai gambar, rehal di samping rantai, gelang serta subang.

Terapi ceria
‘Bermain’ dengan resin menjadikan kehidupan wanita pendiam ini bertambah ceria.
Setiap hari, pelbagai jenis perhiasan dihasilkannya di sudut khas di dalam bilik tidur.
Katanya, resin merupakan antara seni yang tiada istilah ‘salah’ dan produk akhir yang siap bergantung sepenuhnya kepada kreativiti masing-masing.
“Tiada masalah jika campuran warna dibuat terlebih atau terkurang hingga gagal hasilkan rona diingini.
“Elemen-elemen kejutan itulah yang membuatkan minda kita lebih tenang dan kreatif untuk melihat sesuatu perkara dalam perspektif baharu.
“Resin bukan sekadar hobi tetapi menjadi terapi terbaik di kala stres, bosan dan lain-lain,” katanya.
Tempoh penghasilan setiap resin tidak mengambil masa lama dan boleh disiapkan kira-kira 30 minit sahaja.
Namun, ia perlu dikeringkan dahulu antara tujuh jam hingga ke dua hari bergantung kepada keadaan cuaca.
Jika hujan, resin mengambil masa sehingga empat hari untuk mengeras.
“Masa awal-awal dulu saya selalu buat di waktu tengah hari tetapi kemudian saya ubah jadual kepada selepas Subuh atau Isyak bagi memudahkan proses pengeringan,” katanya.
Kongsi Nurul Alya, satu-satunya ‘kesalahan’ yang boleh timbul dalam pembuatan resin ialah berkaitan cara adunan dan jika tidak sebati, ia akan cair serta sukar mengeras.

Hobi kini kerjaya
Atas galakan keluarga dan rakan-rakan, bekas guru tadika ini memberanikan diri menjual produk kraf resin pada Jun 2020.
Sambutan yang diterima amat memberangsangkan kerana pelanggan dapat menempah rekaan dan jenis perhiasan mengikut pilihan masing-masing.
Sehingga kini, lebih 10,000 produk terjual dengan harga bermula daripada RM3 hingga RM250.
“Saya tidak pernah sangka yang hobi masa lapang kini menjadi punca rezeki saya.
“Selain dapat mengetengahkan hasil kraf, saya juga belajar mengendalikan perniagaan, kedua-dua bidang ini jauh berbeza dengan pengajian di universiti tetapi saya bersyukur dengan aturan ditetapkan Allah,” katanya.

Berpegang kepada misi untuk menggembirakan pelanggan, Nurul Alya berusaha merealisasikan setiap permintaan yang diterimanya.
Walaupun item itu belum pernah dibuat, tetapi bukan alasan untuknya menolak idea pelanggan dan meningkatkan skil.
“Keutamaan saya dalam perniagaan ini adalah untuk menikmati keseronokan dan hati makin berbunga apabila tengok pelanggan turut seronok.
“Contohnya, sebelum ini saya tidak pernah buat resin gambar dan jambangan bunga tetapi atas permintaan pelanggan saya cuba belajar proses itu hingga terima banyak tempahan.
“Menerusi resin, saya dapat membantu pelanggan mengabadikan memori bersama insan tersayang dan sekurang-kurangnya bunga kering yang dihadiahkan pasangan dapat disimpan buat selamanya,” katanya yang bergelar isteri tahun lalu.

Cenderamata Bunkface
Keunikan resin membolehkan Nurul Alya ‘dilamar’ Bunkface untuk menyiapkan cenderamata pelapik gelas eksklusif.
Barangan itu dibuat khas untuk 50 peminat bertuah kumpulan tersebut, sempena keluaran lagu baharu pada 2022.
“Idea itu timbul secara spontan selepas mereka melihat ‘coaster’ yang saya gunakan untuk melapik gelas.
“Mereka berpendapat item itu sangat unik dan sesuai dengan peminat lelaki dengan rekaan logo di tengah serta tandatangan,” katanya.
Daripada hobi itu, Nurul Alya turut perlahan-lahan dapat mengubah dirinya menjadi seorang yang lebih mesra.
Sebagai seorang introvert, dia mengakui jarang bercakap dengan orang tidak dikenali dan selesa menghabiskan masa bersendirian atau bersama keluarga.
“Hobi ini mendidik saya belajar berinteraksi dengan orang ramai dan faham setiap kehendak mereka.
“Saya juga berusaha bersikap lebih mesra bagi memudahkan urusan dengan pelanggan,” katanya.
Berkongsi perkembangan terbaharunya, dia kini dalam proses penyelidikan dan pembangunan (R&D) bagi meningkatkan kemahiran dan meneroka idea-idea baharu.










