Zaidi bina replika kapal plastik untuk pasaran luar negara - Utusan Malaysia

Zaidi bina replika kapal plastik untuk pasaran luar negara

ZAIDI Zali bersama hasil ciptaan replika bot yang dihasilkan di rumahnya di Kampung Sungai Durian, Kuala Krai, Kelantan. UTUSAN/TOREK SULONG
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SIAPA sangka replika dibina mengikut reka bentuk kapal sebenar yang sering ditempah peminat seni rupa-rupanya dihasilkan oleh seorang penduduk di Kuala Krai, Kelantan.

Lebih membanggakan, hasil tangan anak Kampung Sungai Durian itu berjaya menembusi pasaran antarabangsa dan memikat peminat dari pelbagai negara sejak dua tahun lalu.

Zaidi Zali, 40, kini menjadikan pembikinan replika kapal sebagai kerjaya tetap berikutan tempahan yang memberangsangkan.

Menurutnya, pada awalnya aktiviti itu yang bermula pada 2008 dibuat secara sambilan sebagai hobi bagi memenuhi masa lapang.

“Pengalaman bekerja sebagai kelasi yang banyak menghabiskan masa di atas kapal memupuk minat saya untuk menghasilkan replika kapal yang sama dengan struktur asal binaan sesebuah kapal.

“Pada 2010 saya mengiklankan hasil ciptaan dan pelanggan pertama saya ialah pembeli dari Brunei,” katanya ketika ditemui di Taman Perumahan Desa Ar-Rahman, Kampung Sungai Durian , Kuala Krai, Kelantan baru-baru ini.

Menurut Zaidi, sehingga hari ini lebih 80 replika kapal berjaya dihasilkan dengan harga setiap satu antara RM1,500 hingga RM12,000 bergantung kepada bentuk model, saiz dan tempoh masa untuk menyiapkannya.

Katanya, selain pasaran domestik, tempahan peminat dari Brunei, Singapura, Australia dan Abu Dhabi ketika ini membuatkan dia tidak menang tangan namun tetap bersemangat untuk menghasilkan seni replika berkualiti tinggi.

“Paling mencabar adalah membuat replika pelantar minyak yang ditempah kerana struktur binaannya jauh berbeza berbanding kapal atau bot.

“Saya memerlukan masa lama untuk mengkajinya menerusi gambar pelantar tersebut seperti meneliti struktur tiang dan pelbagai cerucuk serta skala yang tepat terhadap binaan­nya,” ujarnya.

 

REPLIKA bot yang dihantar bersama beberapa buah replika kapal ke Australia.

UTAMAKAN KETEPATAN

Ketika membina replika kapal, Zaidi mengutamakan ketepatan dan ketelitian mengikut skala ukuran sebenar, bukan sekadar anggaran sebagaimana dilakukan pembina replika lain.

Bahan utama yang diguna adalah plastik berkualiti tinggi dengan kos modal yang murah namun tahan lasak berbanding binaan kayu gred A.

“Plastik ini tahan lasak dan tidak mudah pecah kalau terjatuh. Semua tugasan diselesaikan dalam bengkel khas di rumah saya. Geng seni bina menamakan bengkel khas sebagai bungker atau studio.

“Rakan-rakan dan pelanggan yang pernah berurusan dengan saya untuk mendapatkan lakaran kapal di syarikat perkapalan dahulu menjadi agen promosi yang banyak membantu melariskan replika kapal,” katanya.

Kebanyakan replika kapal yang dibeli pelanggan adalah untuk dijadikan bahan hiasan di pejabat mereka.

 

REPLIKA paling besar iaitu kapal peronda Maritim Malaysia menggunakan skala 1:33.

Selain media sosial, antara strategi lain Zaidi bagi mempromosi replika kapal binaannya adalah mengedarkan kad perniagaan bersama contoh replika kepada pengunjung di Pameran Aeroangkasa dan Maritim Antarabangsa (LIMA) di Langkawi.

Zaidi berkata, setelah mendapat persetujuan daripada pemilik kapal atau syarikat pembuat kapal, dia akan menerima surat pengesahan tempahan dengan bayaran pendahuluan sebanyak 50 peratus daripada harga keseluruhan replika.

Setiap tempahan akan disiapkan dalam tempoh 40 hari bekerja sebagai piagam pelanggan.

“Untuk memastikan ketepatan sesebuah model yang akan dihasilkan, saya akan meminta pelanggan menghantar pelan general arrangement (GA) dan pelan linesplan semasa tempahan dibuat.

Linesplan tersebut menjadi pemangkin kerja membina kerangka dalam bentuk tiga dimensi sebelum dihamparkan nesting ke dalam bentuk dua dimensi. Kemudian barulah proses pemotongan material dilakukan. Ia tidak semudah yang disangka,” katanya.

Zaidi berkata, buat masa ini dia sedang menunggu proses pengesahan bagi tempahan enam replika bot polis dan dua replika kapal perang jenis landing craft.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×