SUDAH tiba masanya seorang wanita menerajui Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Perkara itu disuarakan tiga calon yang kini bersaing untuk mengambil alih jawatan Setiausaha Agung PBB dalam satu debat yang diadakan di Geneva awal bulan ini.
Michelle Bachelet dari Chile, Rebeca Grynspan dari Costa Rica dan Maria Fernanda Espinosa dari Ecuador, masing-masing bertanding untuk menggantikan Antonio Guterres yang akan menamatkan perkhidmatannya hujung tahun ini selepas dua penggal lima tahun.
Ketiga-tiga calon itu mengetengahkan kelayakan diplomatik masing-masing dalam debat yang dianjurkan beberapa pertubuhan bebas di Geneva, yang menempatkan ibu pejabat PBB Eropah.
“Saya fikir, sudah tentu seorang wanita, sudah tiba masanya bukan? Selepas 80 tahun kewujudan PBB,” kata bekas Menteri Luar Ecuador, Espinosa, 61, sambil menegaskan calon seterusnya perlu bukan sahaja wanita, tetapi pemimpin yang bertenaga dan mempunyai semangat kepimpinan tinggi.
Banyak negara menyokong agar seorang wanita memimpin PBB buat kali pertama, manakala Amerika Latin menuntut jawatan tersebut berdasarkan amalan penggiliran mengikut wilayah, meskipun tradisi itu tidak sentiasa dipatuhi secara ketat.
“Wanita boleh membawa lebih banyak nilai kemanusiaan,” kata bekas Presiden Chile, Brachelet, yang juga pernah berkhidmat sebagai Pesuruhjaya Tinggi Hak Asasi Manusia PBB.
Beliau menegaskan, ketua PBB seterusnya wajar dipilih dalam kalangan wanita, selain menyifatkan dirinya sebagai individu yang tidak takut mengambil risiko walaupun usaha dilakukan mungkin tidak berjaya.
“Saya tidak takut untuk bersuara apabila keadaan memerlukannya,” katanya.
Sementara itu, Grynspan, 70, yang kini mengetuai Agensi Perdagangan dan Pembangunan PBB (UNCTAD) yakin dirinya adalah calon paling layak untuk jawatan berkenaan.
Bekas Naib Presiden Costa Rica itu turut menggesa proses pemilihan dijalankan tanpa sebarang layanan istimewa atau keutamaan berdasarkan jantina.

Pembaharuan PBB
Perhimpunan Agung PBB hanya boleh memilih Setiausaha Agung selepas menerima cadangan daripada Majlis Keselamatan, di mana lima anggota tetap, Britain, China, Perancis, Russia dan Amerika Syarikat (AS), mempunyai kuasa veto.
Perbincangan Majlis Keselamatan dijangka bermula pada akhir Julai, sebelum diikuti dengan undian Perhimpunan Agung.
Pada 9 Jun lalu, ketiga-tiga calon yang berada di Geneva menggariskan pandangan mereka mengenai pembaharuan PBB, kini berdepan masalah kekurangan dana, pelbagai konflik serta kemerosotan keyakinan terhadap multilateralisme.
“PBB bukan satu-satu pilihan yang ada. Namun PBB tidak boleh diganti kerana ia satu-satunya platform sejagat yang menghimpunkan semua negara untuk menghadapi dan bertindak balas terhadap cabaran dunia hari ini,” kata Espinosa sambil menekankan pengalamannya sebagai bekas Presiden Perhimpunan Agung.
Grynspan pula berkata, PBB adalah organisasi unit, tetapi tidak bersendirian, termasuk menjelaskan badan itu mempunyai ‘masalah budaya’ dan perlu mencari alternatif untuk membina kerjasama dengan pihak luar.
Bachelet, 74, berjanji akan menjadi Setiausaha Agung yang bebas dan sentiasa berada di lapangan.
Ahli perundangan Republikan di AS sebelum ini menggesa Washington untuk menyekat pencalonan Bachelet kerana sokongannya terhadap hak pengguguran.
“Jika seseorang memilih saya kerana saya percaya kepada demokrasi, kerana saya percaya kepada multilateralisme, kerana saya percaya kepada hak wanita, dan kerana saya percaya kepada hak asasi manusia, saya rasa saya akan berasa terhormat,” katanya kepada pemberita.
Debat tersebut diadakan di Maison de la Paix, yang menempatkan beberapa organisasi dan terletak berhampiran dengan Palais des Nations milik PBB.
Turut dijemput dua lagi calon yang mengisytiharkan pencalonan mereka, Rafael Grossi dari Argentina, ketua Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) dan bekas Presiden Senegal, Macky Sall.










