BINTANG muda bola keranjang Amerika Syarikat (WNBA) mencipta sejarah apabila muncul atlet profesional pertama yang melangkah di pentas pertunjukan fesyen Victoria’s Secret.
Angel Reese, 23, yang bermain untuk pasukan Chicago Sky, tampil di pentas itu bersama supermodel ternama seperti Bella dan Gigi Hadid, serta bekas ‘Angels’ termasuk Adriana Lima.
Pertunjukan kali ini menampilkan barisan model daripada pelbagai latar belakang termasuk wanita hamil dan bertubuh gempal, sejajar usaha jenama pakaian dalam itu untuk memperbaharui imejnya.
Ia sekali gus mencerminkan visi baharu jenama tersebut untuk acara tahunannya, yang kembali berlangsung pada 2024 selepas berehat selama enam tahun.
Ketika ditemu bual di belakang pentas, Reese teruja dapat merealisasikan impiannya itu.
“Saya pernah muat naik hantaran di Instagram tahun lalu, ketika menonton di barisan hadapan pertunjukan fesyen ini.
“Saya akan jadi model Victoria’s Secret suatu hari nanti. Saya tak sangka ia berlaku secepat ini,” katanya kepada CNN.
Dahulu, pertunjukan fesyen Victoria’s Secret dianggap simbol kecantikan dan glamor, namun sering dikecam kerana hanya menampilkan model berkulit putih serta bertubuh langsing.
Kini, jenama pakaian dalam terkenal dari Amerika Syarikat itu tampil dengan wajah baharu, lebih inklusif, berani dan meraikan kepelbagaian wanita moden.
Pada malam pertunjukan yang disiarkan secara langsung itu, penonton turut terpukau apabila model hamil sembilan bulan, Jasmine Tookes, membuka acara dengan menggayakan gaun makramé emas berhias mutiara.

KEPELBAGAIAN INDUSTRI FESYEN
Bagi Reese, peluang melangkah di pentas yang sebelum ini dianggap ‘tertutup’ untuk wanita di luar dunia peragaan bukan sekadar pencapaian peribadi, tetapi simbol kemajuan dalam penerimaan dan kepelbagaian industri fesyen.
“Saya mahu gadis muda di luar sana tahu yang anda boleh jadi atlet, berkulit gelap, tinggi atau berotot tetapi masih cantik,” katanya bangga.
Penonton turut disajikan dengan penampilan model bersaiz besar seperti Paloma Elsesser, Ashley Graham dan Yumi Nu.
Selain itu, atlet gimnastik Olimpik, Sunisa Lee, turut membuat persembahan dalam ‘pertunjukan separuh masa’ untuk Pink, rankaian jenama Victoria’s Secret yang menyasarkan wanita muda.
“Setiap orang kelihatan berbeza, tetapi semuanya cantik. Itulah maksud sebenar keterangkuman sebagai model Victoria’s Secret, anda boleh kelihatan cantik dalam pelbagai tona kulit, saiz dan ketinggian,” katanya.
Reese berkata, penampilannya di pentas itu adalah hasil perbincangan dengan Ketua Pegawai Eksekutif, Hillary Super.
“Dia yang meyakinkan saya boleh berada di sini,” katanya.
Kehadiran Super sebagai CEO pada Ogos 2024 juga menandakan permulaan usaha Victoria’s Secret untuk memulihkan prestasi kewangan dan imej jenama tersebut.
Hasil tahunan jenama itu meningkat satu peratus kepada AS$6.23 billion (RM26.3 billion), selepas bertahun-tahun menghadapi penurunan jualan, penutupan kedai serta persaingan sengit dengan jenama lain.
KEKAL ELEMEN GLAMOR
Sehingga 2015, Victoria’s Secret menyumbang hampir dua pertiga hasil kepada syarikat induknya, L Brands, yang ketika itu bernilai AS$28 billion (RM118 bilion).
Namun menjelang 2020, jenama ini diambil alih secara persendirian dalam satu urus niaga bernilai AS$1.1 bilion (RM4.6 bilion).
Sejak itu, Victoria’s Secret berusaha menjenamakan semula imejnya dengan bekerjasama dengan pelbagai selebriti daripada latar belakang berbeza.
Sebelum pertunjukan comeback tahun lalu, jenama itu melancarkan VS Collective, kumpulan duta jenama yang dikenali kerana memperjuangkan kesaksamaan jantina serta penerimaan kepelbagaian bentuk badan.
Antara yang tersenarai termasuk pemain bola sepak, Megan Rapinoe dan pemenang pingat emas Olimpik untuk acara ski, Eileen Gu.
Bagaimanapun, Reese setakat ini merupakan satu-satunya ahli sukan yang pernah beraksi di pentas peragaan Victoria’s Secret.
Walaupun pertunjukan kali berbeza berbanding sebelumnya, ia masih mengekalkan elemen glamor dengan gaya rambut tebal dan busana berani yang sinonim dengan Victoria’s Secret.
“Saya tidak akan bersembunyi daripada tampil begini kerana saya bekerja keras untuk mendapatkan tubuh ini.
“Menjadi seksi adalah sesuatu yang saya cintai dan sentiasa raikan,” katanya.










