Bagi wanita ini, kediaman bukan sekadar tempat berteduh, tetapi ruang yang mencerminkan keperibadian dan ketenangan diri.
Sebagai suri rumah yang gemar menghias, Nor Azlina Razak memilih konsep moden kontemporari sebagai asas dekorasi rumah teres setingkatnya yang seluas 2,000 kaki persegi.
Katanya, konsep itu menggabungkan gaya moden yang ringkas dengan elemen kontemporari elegan.
“Konsep rumah saya berteraskan moden kontemporari yang menonjolkan gaya ringkas namun elegan.

“Fokus utama ialah untuk mencipta ruang yang selesa, kemas dan tenang untuk didiami seisi keluarga. Gabungan elemen moden dan kontemporari memberi keseimbangan antara gaya dan fungsi harian,” katanya kepada Seri.
Tambahnya, keseluruhan proses menghias mengambil masa kira-kira setahun merangkumi perancangan warna, pemilihan perabot dan penyusunan semula ruang agar setiap sudut saling melengkapi.
Rona neutral seperti beige, kelabu dan putih menjadi pilihan utama kerana mudah disesuaikan dengan apa jua tema dan perabot.
Bagi mengimbangi suasana moden yang mungkin tampak dingin, Nor Azlina menambah sentuhan semula jadi melalui penggunaan perabot rotan, elemen kayu serta tanaman hijau di beberapa sudut rumah.

“Kelebihan konsep moden kontemporari ialah ia menjadikan rumah kelihatan luas, kemas dan teratur.
“Selain itu, ia juga mudah dijaga kerana tidak terlalu sarat dengan hiasan. Konsep ini sesuai untuk yang mahukan rumah tampil moden tetapi masih praktikal,” katanya.
Ruang tamu menjadi bahagian lokasi paling digemari wanita berusia 38 tahun ini.
Pencahayaan semula jadi yang melimpah masuk dari tingkap besar, ruang ini menyerlahkan tona lembut dan menenangkan untuk istirehat seisi keluarga.
Dari segi penjagaan pula, Nor Azlina sebolehnya mengelakkan ruang dipenuhi barang supaya kelihatan lapang dan nyaman.
“Konsep moden kontemporari mudah dijaga asalkan disiplin memastikan rumah sentiasa bersih, rapi dan tidak terlalu banyak barang.
“Saya lebih suka ruang yang lapang supaya mudah dibersihkan dan kelihatan kemas sepanjang masa,” kongsinya.

Dalam memilih padanan warna, dia turut menggunakan cat Momento sebagai kemasan dinding terpilih bagi menambah tekstur lembut yang menyerlahkan gaya mewah tanpa menjejaskan kesederhanaan keseluruhan konsep.
Inspirasi dekorasinya banyak diperoleh daripada Pinterest, Instagram dan majalah dekorasi tempatan, namun sentuhan peribadi tetap menjadi keutamaan.
“Saya suka buat sendiri hiasan secara DIY, rasa lebih puas bila hasilnya menepati cita rasa sendiri,” ujarnya.










