PADA 16 Mei 1975, Junko Tabei menjadi wanita pertama yang berjaya menawan puncak Gunung Everest.
Mendaki puncak setinggi 8,849 meter kebanyakannya merupakan pencapaian yang didominasi oleh lelaki.
Menurut analisis AFP berdasarkan angka Pangkalan Data Himalaya, pencapaian wanita dalam mendaki Gunung Everest terus meningkat, dengan 962 pendakian direkodkan setakat Mei 2025.
Sebagai perbandingan, jumlah pendakian lelaki mencecah 11,955.
Ketika Tabei mencapai puncak Everest pada 1975, seramai 38 pendaki lelaki telah mendahuluinya.
Dengan pasukan yang sepenuhnya terdiri daripada wanita, pendaki Jepun itu menghadapi pelbagai cabaran, termasuk kesukaran mendapatkan penaja bagi ekspedisi tersebut.
Malah, beliau juga pernah diperlekehkan termasuk diminta tinggal di rumah menjaga anak daripada mendaki gunung.
“Kaum lelaki sering mengehadkan apa yang kita suka, dan saya tidak mahu disekat,” tulis Tabei dalam buku notanya.
11 hari selepas kejayaannya, seorang wanita Tibet, Phantog, turut menawan puncak dari arah bertentangan.
Beliau menyangka dialah wanita pertama sampai ke puncak, dan hanya mengetahui bahawa Tabei mendahului selepas turun dari gunung.
Dalam catatan notanya, Tabei menyenaraikan impian seterusnya untuk menawan K2, gunung kedua tertinggi di dunia, dan kembali bekerja untuk jurnal saintifik.

SHERPA WANITA
Sejak pendakian bersejarah Tabei, seramai 870 wanita daripada 85 negara berbeza berjaya menawan puncak Gunung Everest, dengan sebahagian mereka melakukannya lebih daripada sekali.
Namun, dunia pendakian Everest masih didominasi lelaki, khususnya dalam kalangan Sherpa, pemandu tempatan dari Nepal yang membantu membawa pendaki ke puncak.
Dawa Yangzum Sherpa, yang mendaki Everest pada 2012, merupakan satu-satunya wanita yang menjadi pemandu Nepal bertauliah dan memperoleh diploma antarabangsa pada 2018.
“Bidang ini memang mencabar, apatah lagi jika kamu wanita. Ada yang kata ini bukan kerja untuk wanita,” katanya kepada AFP.
Sebelumnya, Pasang Lhamu mencipta sejarah pada 1993 apabila menjadi wanita Nepal pertama yang menawan Everest.
Namun, dalam perjalanan turun, beliau memilih untuk kekal bersama seorang rakan sepasukan yang mengalami masalah akibat kekurangan oksigen dan akhirnya meninggal dunia akibat keletihan.
Lhamu kini dianggap wira negara dan laluan pendakian dari kem pangkalan Everest hari ini bermula dengan sebuah gerbang khas yang didirikan bagi memperingati jasanya.
Pencapaian beliau diteruskan oleh Lhakpa Sherpa, wanita Nepal kedua yang menawan Everest pada 2000.
Sejak itu, Lhakpa mencipta rekod dunia sebagai wanita dengan jumlah pendakian tertinggi ke puncak Everest, mencatatkan pendakian ke-10 beliau setakat Mei lalu.
LYDIA BRADEY
13 tahun selepas kejayaan Tabei, seorang lagi wanita mencipta sejarah di puncak Everest.
Pada 1988, Lydia Bradey dari New Zealand menjadi wanita pertama yang berjaya menawan puncak Everest tanpa bantuan oksigen.
Pendakian bersejarah itu dilakukannya secara solo, manakala rakan sepasukannya pulang ke ibu negara Nepal, Kathmandu.
Lebih mencabar, Bradey ketika itu berdepan risiko diusir dari Nepal kerana didakwa menggunakan laluan berbeza daripada yang dibenarkan dalam permit rasmi beliau.
Akibat tekanan tersebut, beliau tidak mengisytiharkan pencapaiannya kepada kementerian pelancongan Nepal pada masa itu.
Namun, pencapaiannya diiktiraf beberapa tahun kemudian.
Mendaki Everest tanpa oksigen adalah pencapaian luar biasa, di mana hanya 229 pendakian atau kurang daripada satu peratus, berjaya dilakukan tanpa bantuan alat tersebut.
Daripada jumlah itu, hanya 10 wanita, termasuk Lydia Bradey, berjaya ke puncak dalam keadaan ekstrem.










