HATI ibu mana yang tidak gembira apabila anak yang terpisah hampir 33 tahun di sebalik tembok penjara Israel, akhirnya kembali ke pangkuan.
Najat al-Agha, 75, kini boleh memeluk semula Diaa al-Agha, selepas kali terakhir anak lelakinya itu berada di pangkuan keluarga sewaktu usianya masih remaja.
Diaa dibebaskan bersama lebih 640 tahanan Palestin lain pada hujung bulan lalu, dalam pertukaran terakhir di bawah fasa pertama gencatan senjata Gaza.
Pembebasan pada 27 Februari itu merupakan ‘hadiah’ kesabaran Najat yang tidak pernah penat berjuang dan berdoa untuk kembali bersatu dengan anaknya.
Diaa merupakan tahanan paling lama dari Gaza di penjara rejim, selepas ditangkap pada 10 Oktober 1992 ketika berusia 16 tahun kerana didakwa membunuh seorang pegawai Israel.
Pada awalnya, proses pembebasannya tidak berlaku seperti yang diharapkan apabila rejim Israel sengaja mengingkari perjanjian pertukaran tahanan yang dijadualkan pada 22 Februari.
“Oh anakku, aku menunggu saat ini selama 33 tahun, saya sangat takut tidak sempat melihat kamu bebas,” katanya dalam linangan air mata.
Najat bukan satu-satunya ahli keluarga yang kecewa dengan keputusan Israel membatalkan pembebasan 620 tahanan Palestin, meskipun ia tertakluk dalam perjanjian fasa pertama gencatan senjata Gaza.
Ketika itu, pejuang Hamas menyerahkan enam tebusan Israel di Gaza, dan sebagai balasan, Israel sepatutnya membebaskan 620 rakyat Palestin yang ditahan pada masa berbeza.
Bagaimanapun, Israel enggan menunaikan janji tersebut dengan alasan upacara penyerahan enam tebusannya bersifat provokatif, lalu membatalkan pembebasan kumpulan ketujuh tahanan Palestin.

TEMPOH MEMBEBANKAN
Najat pernah membayangkan dirinya tidak sempat memeluk semula Diaa ekoran usianya yang lanjut dan situasi perang di Gaza.
Ketika tarikh pembebasan semakin hampir, beliau hampir putus harapan apabila Israel menangguhkan pembebasan itu di saat akhir, lantas menyebabkan kesihatannya merosot.
“Diaa bukan lagi remaja, usianya kini mencecah 50 tahun.
“Ramadan yang suram berlalu selama berdekad-dekad dan kini Diaa kembali kembali ke pangkuan kami, tetapi hati saya tetap bersama ribuan tahanan lain yang belum merasai peluang ini,” katanya.
Najat kembali menceritakan detik hatinya hancur apabila mengetahui Diaa tidak dibebaskan pada jadual awal pertukaran tahanan.
Beliau bersama dua anaknya, Mohammed dan Ola, menantu serta cucu menaiki kenderaan menuju ke tempat pembebasan di Khan Younis.
Perjalanan ke rumah mereka yang musnah di Khan Younis mengambil masa lebih sejam, walaupun jaraknya hanya kira-kira 24 kilometer (km).
Saudara-mara, jiran dan rakan juga berkumpul di rumah untuk meraikan kepulangan Diaa.
“Saya terus membayangkan bagaimana dia akan keluar dan suasana menyambut Ramadan pertama bersamanya selepas 33 tahun,” katanya.
Setelah tiba di lokasi pembebasan, beliau melihat orang ramai menangis dan berbisik sesama sendiri.
“Kami bingung dan kemudian terdengar mereka memberitahu tiada pembebasan pada hari itu.
“Saya menjerit dan mempersoalkan kenapa dan kemudian saya sudah tidak sedarkan diri,” katanya kepada Al Jazeera.
Menurut Najat, anak-anaknya tetap meyakinkan yang penangguhan pembebasan itu hanya bersifat sementara.
“Saya tidak boleh mendengar jaminan sesiapa ketika itu. Bagi saya, penantian 33 tahun itu sudah cukup membebankan,” katanya.

TERBIASA DENGAN PENANTIAN
Nama Diaa pernah beberapa kali disenaraikan dalam pertukaran tahanan sebelum ini, namun Israel tetap menolak dengan alasan jenayah yang dilakukannya.
Sejak usia 13 tahun, Diaa sudah menjadi anggota gerakan Fatah dan mula terlibat dalam operasi bersenjata, tiga tahun kemudian.
Kini, dia mengalami masalah kesihatan yang menjejaskan tulang serta sistem penghadaman berikutan tidak pernah diberikan rawatan perubatan yang sewajarnya.
Najat sudah terbiasa dengan penantian dan harapan untuk pembebasan ahli keluarga yang pernah ditahan sebelum ini.
Suaminya, Zakaria, ditangkap pada 1973 atas dakwaan menyertai kumpulan pejuang dan dipenjarakan selama dua tahun oleh Israel.
Beliau meninggal dunia pada 2005 akibat strok, yang menurut Najat berpunca daripada kesedihannya selepas melihat Diaa dipenjara sehari sebelumnya.
Manakala, anak sulungnya, Azzam ditahan pada 1990 atas tuduhan menjadi anggota sayap tentera yang diisytiharkan sebagai pengganas oleh Israel, dan dipenjara selama empat tahun.
Mohammed pula menjalani hukuman penjara 12 tahun atas dakwaan sengaja melepaskan tembakan ke arah tentera Israel.










