JERITAN meminta tolong dan meronta kesakitan masih terngiang-ngiang di telinga Agnes Barbara, jiran kepada atlet Olimpik Uganda, Rebecca Cheptegei yang mati dibakar hidup-hidup oleh bekas teman lelakinya, minggu lalu.
Barbara masih trauma melihat atlet berusia 33 tahun itu berlari dengan tubuh yang terbakar ke halaman rumahnya di Endebess.
Dalam keadaan hiba menceritakan semula detik itu, katanya, bunga-bunga di atas rumput hangus ketika Cheptegei berguling di tanah sewaktu cuba memadamkan api yang membakar tubuhnya.
“Saya segera mencari air dan mula menjerit meminta pertolongan, tetapi penyerangnya muncul dan menyimbah lebih banyak petrol di atas tubuh Cheptegei lantas menyebabkan api semakin marak.
“Kebakaran itu turut mengakibatkan penyerang terbakar dan melarikan diri ke arah kebun bagi memadamkan api. Kami kemudian pergi membantu Cheptegei,” kata Barbara.
Serangan pada 1 September itu berlaku hanya beberapa minggu selepas Cheptegei membuat penampilan sulung dalam acara maraton di Sukan Olimpik Paris, yang meletakkannya di kedudukan ke-44. Kejadian itu menyebabkan Cheptegei cedera parah dengan 80 peratus bahagian tubuhnya melecur angkara serangan bekas teman lelaki.
KONFLIK SEBIDANG TANAH
Selepas beberapa hari bertarung nyawa, ibu kepada dua anak ini menghembuskan nafas terakhir di Hospital Pengajaran dan Rujukan Moi (MTRH) pada 5 September lalu, akibat kegagalan fungsi organ.
Susulan itu, bekas teman lelaki Cheptegei, Dickson Ndiema dituduh sebagai suspek utama pembunuhan.
Pentadbir tempatan mendedahkan kedua-dua mereka bertengkar mengenai sebidang kecil tanah di barat laut Kenya, tempat Cheptegei tinggal dan menjalani latihan.
Bagaimanapun, pendakwaan terhadap Ndiema digugurkan selepas lelaki itu pula disahkan meninggal dunia di unit rawatan rapi (ICU) hospital sama Cheptegei dirawat, pada malam Isnin lalu.
Ndiema dimasukkan ke hospital itu selepas lebih 40 peratus tubuhnya mengalami kesan terbakar.
Walaupun kes jenayah tersebut digugurkan, inkues rasmi mengenai kedua-dua kematian akan dibuka sebagai ganti.

DIANGGAP JUARA
Kematian Cheptegei mengejutkan seluruh dunia, dengan rakyat Uganda menyifatkan wanita itu sebagai sumber inspirasi mereka. Beliau merupakan atlet wanita ketiga yang dibunuh di Kenya dalam tempoh tiga tahun terakhir.
Cheptegei dilahirkan di sempadan Kenya-Uganda, dan memilih menyeberang ke Uganda demi mengejar impian dalam sukan olahraga apabila tidak mendapat peluang itu di Kenya.
Ketika mula menceburi bidang larian, beliau menyertai Angkatan Pertahanan Rakyat Uganda pada 2008 dengan jawatan sarjan.
Walaupun menduduki tempat ke-44 dalam acaran maraton, kejayaannya bersaing dalam Olimpik Paris tetap dihargai penduduk setempat sekali gus menganggap Cheptegei sebagai juara buat mereka.
Beliau juga pernah memenangi pingat emas di Kejohanan Dunia Gunung dan Larian Trail di Chiang Mai pada 2022.
Pemergian Cheptegei bukan hanya diratapi rakyat Uganda dan Kenya, bahkan juga barisan atlet seluruh dunia.
Paris 2024 turut memberikan penghormatan terakhir kepada atlet itu, apabila gambar Cheptegei ditayangkan pada skrin besar berhampiran garisan penamat acara maraton Paralimpik di Esplanades de Invalides, 8 September lalu.
Orang ramai berdiri dan memberi tepukan selama satu minit sebagai tanda penghormatan terhadap atlet berkenaan. Pengebumian Cheptegei dijadualkan hari ini (14 September) di kampung halamannya di Bukwo, Uganda.










