SUASANA Aidilfitri seolah-olah kurang meriah tanpa menukar perabot atau aksesori kediaman baharu, bukan?
Selain sofa dan langsir, permaidani juga antara elemen terpenting yang perlu diberi perhatian bagi membangkitkan mood hari raya.
Murah atau mahal bukan ukuran, asalkan rekaannya unik, estetik dan luar biasa.
Pada Syawal kali ini, nampaknya seleksi permaidani gaya moden klasik dan pastel menjadi pilihan penggemar dekorasi.
Pengarah Inovasi dan Pembangunan Al-Aqsa Carpets, Dazrin Kamaruddin berkata, kombinasi elemen itu memudahkannya dipadankan dengan pelbagai rona dan tema.
“Kalau kita lihat gaya moden ini corak dan warnanya seakan-akan pudar dan cat tumpah.
“Ia menjadi kegemaran golongan muda yang sukakan tema minimalis atau Scandinavian,” katanya kepada Seri.

Elemen pelengkap
Tambah Dazrin, permaidani memainkan peranan penting dalam keseluruhan dekorasi kediaman.
Kehadiran permaidani dengan warna dan corak yang sesuai akan menjadikan susun atur sesuatu ruang tampak lebih ‘hidup’ dan sempurna.
“Jika dahulu orang lihat permaidani sebagai hiasan semata-mata, namun kini ia adalah elemen pelengkap kepada susun atur rumah.
“Kalau bersungguh-sungguh buat dekorasi atau susun atur, tetapi tiada permaidani, ia seolah-olah tidak lengkap. Mesti kena ada permaidani,” jelasnya.

Selain itu, katanya, permaidani jenis dua tona juga semakin mendapat permintaan kerana memudahkan pengguna untuk menukar gaya kediaman.
“Permaidani dua tona ini, jika dilihat dari satu sisi ia seakan warna gelap tetapi bertukar cerah bila dilihat dari sudut berbeza,.
“Sebenarnya, ia teknik ‘permainan’ benang yang dijahit secara condong untuk menghasilkan rona berbeza mengikut sisi,” ujarnya lagi.
Al-Aqsa Carpets merupakan pengilang dan pengimport pelbagai jenis permaidani, lantai vinyl dan kelengkapan lantai.
Terbaharu, jenama ini turut membekalkan perabot dan kelengkapan rumah.
Permaidani yang diimport dari Iran, Belgium, Turkiye dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) itu dijual daripada harga serendah RM40 hingga ke jutaan ringgit mengikut jenis material dan kualiti.











