Baruah redah banjir selamatkan ibu mentua 97 tahun

Baruah redah banjir selamatkan ibu mentua 97 tahun

BARUAH mengusahakan ladang ternakan melibatkan 300 ekor kambing, 500 itik, 1,000 ayam dan ikan. – AGENSI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DENGAN tubuh yang sudah tidak lagi mampu berjalan, Lokada Duarah, 97, terpaksa meredah arus banjir dalam gelap dengan hanya beralaskan rakit ringkas yang diperbuat daripada batang pisang.

Wanita warga emas itu dibawa oleh anak dan menantunya, Bornali Baruah, ketika mereka berusaha menyelamatkannya daripada banjir yang semakin ‘mengganas’ di kampung Charing, Assam.

Air ketika itu sudah mencecah tiga hingga empat kaki dengan arus yang begitu deras sehingga mereka terpaksa bergerak perlahan, berpaut antara satu sama lain dan menggunakan kayu untuk membantu mengekalkan keseimbangan.

Memuatkan artikel berkaitan…

Kira-kira sejam kemudian, mereka bertiga akhirnya tiba di sebuah pusat perlindungan di lebuh raya kebangsaan, agak jauh dari rumah mereka.

Namun, ketika Baruah, 40, dan keluarganya bertungkus-lumus menyelamatkan diri, rumah mereka perlahan-lahan ditenggelami air.

Tidak lama kemudian, paras air di dalam rumah wanita itu meningkat sehingga kira-kira lima kaki.

Apa yang berlaku di Charing hanyalah satu gambaran kecil daripada bencana banjir yang lebih besar sedang melanda Assam.

Angka terbaharu menunjukkan jumlah kematian akibat banjir mencecah 100 orang, dengan 10 daerah dan 456 kampung terjejas, manakala kira-kira 140,000 penduduk terkesan. Sebanyak 52 pusat pemindahan dibuka.

LOKADA Duarah, 97, diselamatkan oleh anak dan menantunya menggunakan rakit daripada batang pisang untuk dipindahkan ke pusat pemindahan.– AGENSI

Secara keseluruhan, banjir menjejaskan hampir 1.2 juta penduduk di 25 daerah, selain merosakkan lebih 19,000 rumah dan menyebabkan lebih 75,000 orang berlindung di 252 pusat pemindahan.

Banjir kali ini amat buruk di beberapa kawasan di Assam Atas, termasuk Charing, sebuah kampung yang selama ini jarang dilanda banjir.

Bagi Baruah, keadaan itu amat mengejutkan. Wanita yang dilahirkan dan dibesarkan di Charing itu tidak pernah menyaksikan banjir sebegitu sepanjang hidupnya.

Rumah setingkat milik keluarganya yang mempunyai lapan bilik terletak di kawasan yang dikelilingi beberapa sungai, meskipun tiada sungai mengalir betul-betul berhampiran kediaman itu.

Rumah berkenaan terletak kira-kira 25 kilometer dari bandar Sivasagar, manakala Sungai Brahmaputra berada sekitar 20 kilometer, Sungai Dikhow 12 kilometer, Jhanji 10 kilometer dan Mitong hanya lima kilometer dari rumahnya.

Amaran pertama muncul pada 17 Julai apabila paras Sungai Jhanji mula meningkat. Dua hari kemudian, Sungai Dikhow dan Mitong mula melimpah ke kawasan sekitar ketika Sungai Brahmaputra dan anak-anak sungainya naik mendadak.

HILANG MATA PENCARIAN

Baruah tidak pernah membayangkan air banjir akan sampai ke halaman rumahnya. Namun apabila ia benar-benar berlaku, bencana itu bukan sahaja mengancam tempat tinggalnya, malah memusnahkan mata pencarian yang dibina selama bertahun-tahun.

Wanita berusia 40 tahun itu sebelum ini bekerja sepenuh masa sebagai wartawan. Pada 2016, dia meninggalkan bidang kewartawanan untuk menceburi penternakan, sebelum dinobatkan sebagai ‘Penternak Ternakan Terbaik’ Assam tiga tahun kemudian.

Dari sebuah usaha kecil, ladangnya berkembang sehingga mempunyai kira-kira 300 ekor kambing, 500 ekor itik dan 1,000 ekor ayam, selain ternakan ikan.

Namun, sebahagian besar hasil usahanya itu musnah dalam sekelip mata akibat banjir.

Baruah kehilangan kebanyakan kambingnya, selain 300 ekor itik, 300 ekor ayam dan sejumlah besar ikan. Mesin yang digunakan untuk menghasilkan makanan ternakan turut rosak, begitu juga perabot, komputer riba, kenderaan serta koleksi buku keluarganya.

Lebih mengecewakan, tiada satu pun ternakannya dilindungi insurans.

“Tiada sistem insurans untuk ternakan di sini, khususnya kambing,” katanya.

Selama lima hari pertama di pusat pemindahan, bekalan elektrik dan rangkaian telefon mudah alih terputus, menyebabkan Baruah tidak dapat mengecas telefonnya.

Kerajaan kemudiannya menyediakan kit bantuan kepada keluarganya yang mengandungi beras, kacang dal dan minyak masak.

Baruah berkata, dia tidak berniat meninggalkan Charing. Baginya, berpindah memerlukan kemampuan dari segi ekonomi dan sosial yang tidak dimiliki keluarganya ketika ini.

Dia kini belajar untuk menerima kemungkinan banjir yang lebih kerap dan pada masa sama, bersedia menghadapinya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini