Sulaman 3D buka ruang kreativiti Anis Sofea

Sulaman 3D buka ruang kreativiti Anis Sofea

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Bermula dengan mempelajari asas sulaman reben daripada ibu saudaranya, seorang suri rumah tidak menyangka minat itu berkembang menjadi kecintaan terhadap seni sulaman tiga dimensi (3D embroidery) yang kini bukan sekadar hobi, malah turut menjadi sumber pendapatan buatnya.

Anis Sofea, 29, dari Klang, Selangor, mula mempelajari seni sulaman 3D pada tahun 2020, sejurus selepas menamatkan pengajian dan sebelum pandemik Covid-19 melanda.

Minatnya semakin berkembang apabila dia mula mengenali pelbagai jenis sulaman sebelum tertarik dengan seni sulaman 3D yang sering dilihat di Instagram.

Sejak itu, dia mula belajar sendiri dan mendalami teknik sulaman tersebut sehingga berjaya menghasilkan karya yang mempunyai identiti tersendiri.

Kini, seni sulaman 3D bukan sahaja menjadi medium untuk menzahirkan kreativiti dan mengisi masa lapang, malah memberi kepuasan apabila setiap hasil tangan yang dihasilkan berjaya dihidupkan dengan sentuhan benang.

“Saya mula belajar sulaman reben dengan makcik saya selepas habis belajar. Selepas itu saya semakin tertarik untuk mempelajari pelbagai jenis sulaman.

“Dalam masa yang sama, saya banyak melihat hasil seni sulaman di Instagram, termasuk karya sulaman 3D. Dari situlah saya mula berminat untuk mencuba menghasilkan sendiri,” katanya kepada Seri.

Minat terhadap seni sejak kecil

Minatnya terhadap dunia seni sudah dipupuk sejak kecil hasil pengaruh ayah dan arwah datuknya yang turut mempunyai kecenderungan dalam bidang kesenian.

Pendedahan itu menyemai minatnya terhadap aktiviti yang memerlukan kreativiti dan ketelitian, sebelum akhirnya dia memilih seni sulaman sebagai medium untuk berkarya.

Menurut Anis Sofea, antara individu yang paling banyak memberi inspirasi kepadanya ialah penggiat seni sulaman 3D di Instagram yang dikenali sebagai Syd.stitch.

Dia mengakui sering mengagumi kehalusan dan keunikan setiap karya yang dihasilkan sehingga timbul keinginan untuk mempelajari teknik sulaman tersebut.

“Saya sangat terpegun melihat hasil karya Syd.stitch. Setiap sulamannya sangat kemas dan cantik sehingga membuatkan saya mahu belajar menghasilkan karya seperti itu,” katanya.

Berbeza dengan kebanyakan penggiat seni lain, Anis Sofea tidak pernah mengikuti kelas atau bengkel untuk mempelajari teknik sulaman 3D.

Sebaliknya, dia belajar secara sendiri dengan menjadikan media sosial sebagai sumber rujukan utama, selain memerhati teknik yang dikongsikan.

Menurutnya, dia mengambil masa tiga bulan untuk benar-benar memahami teknik asas sulaman 3D sebelum yakin untuk menghasilkan karya sendiri.

Hasil pertama beri keyakinan

Karya sulaman 3D pertama yang berjaya dihasilkan Anis Sofea ialah watak Latias dan Latios daripada siri kartun Pokémon.

Walaupun tidak pernah mengikuti kelas atau mendapat tunjuk ajar secara langsung daripada mana-mana tenaga pengajar, dia berjaya menyiapkan karya tersebut dengan hasil yang memuaskan.

“Saya rasa sangat gembira dan pada masa yang sama terkejut kerana saya mampu menghasilkan karya sulaman 3D itu tanpa belajar dengan sesiapa pun,” katanya.

Namun, perjalanan untuk menguasai teknik tersebut bukanlah sesuatu yang mudah.

Menurut Anis Sofea, antara cabaran paling besar ketika mula belajar ialah menggunakan kain organza sebagai medium sulaman.

Katanya, kain organza mempunyai permukaan yang lembut dan mudah koyak, sekaligus memerlukan ketelitian serta kawalan tangan yang baik ketika menyulam.

Selain menguasai teknik sulaman, dia juga perlu belajar memilih kombinasi warna benang yang sesuai supaya hasil akhirnya menyerupai rekaan asal.

“Bagi saya, bahagian yang paling mencabar ialah memilih warna benang yang sesuai mengikut rekaan asal yang diminta oleh pelanggan kerana warna memainkan peranan penting untuk menghasilkan kesan tiga dimensi,” ujarnya.

Proses hasilkan kesan tiga dimensi

Menghasilkan sebuah karya sulaman 3D bukanlah proses yang boleh disiapkan dalam masa singkat kerana setiap sulaman memerlukan ketelitian pada setiap peringkat.

Anis Sofea berkata, proses menghasilkan sesebuah karya bermula dengan membuat lakaran rekaan di atas kain organza mengikut rekaan atau permintaan pelanggan.

Selepas lakaran selesai, dia akan mula menyulam menggunakan warna benang yang dipilih berdasarkan rekaan tersebut.

Apabila sulaman bagi lapisan pertama siap, kain organza itu akan dipotong mengikut bentuk sulaman sebelum dijahit di atas kain jaring.

Seterusnya, proses yang sama akan dilakukan untuk menghasilkan lapisan kedua sebelum kedua-dua lapisan tersebut digabungkan.

Lapisan pertama berfungsi sebagai objek utama dalam rekaan, manakala lapisan kedua menjadi bahagian latar belakang yang membantu menghasilkan kesan tiga dimensi.

Antara peralatan asas yang diperlukan ialah ram kayu bulat serta benang sulaman jenis DMC yang dipilih mengikut warna dan corak rekaan yang ingin dihasilkan.

Walaupun menggunakan peralatan yang ringkas, proses menghasilkan sesebuah karya sulaman 3D memerlukan masa yang panjang bergantung kepada tahap kesukaran sesuatu rekaan.

Rekaan yang ringkas biasanya mengambil masa sekitar tiga bulan untuk disiapkan, manakala rekaan yang lebih rumit boleh mengambil masa antara empat hingga lima bulan.

Katanya, dia tidak menetapkan waktu khusus untuk menghasilkan karya kerana proses menyulam dilakukan mengikut masa lapang yang ada.

“Selagi saya mempunyai masa terluang, saya akan gunakan masa itu untuk bersulam,” katanya.

Gemar hasilkan rekaan kartun

Anis Sofea mengakui dia lebih gemar menghasilkan rekaan bertemakan kartun kerana reka bentuk tersebut memberinya peluang untuk bermain dengan pelbagai kombinasi warna dan mencipta karya yang lebih menarik.

Menurutnya, warna menjadi elemen paling penting dalam setiap hasil sulaman kerana pemilihan tona yang tepat mampu menghasilkan kesan tiga dimensi, sekaligus menjadikan sulaman kelihatan lebih hidup seperti sebuah lukisan.

Bagi menghasilkan rekaan baharu, Anis Sofea banyak mendapatkan inspirasi daripada media sosial seperti Instagram dan Pinterest.

Menurutnya, kedua-dua platform tersebut bukan sahaja membantunya mencari idea baharu, malah menjadi sumber rujukan untuk mempelajari teknik serta memperoleh ilmu berkaitan seni sulaman.

Walaupun sudah mahir menghasilkan karya sulaman 3D, dia turut berdepan cabaran apabila sesetengah hasil sulaman tidak menjadi seperti yang dirancang.

Namun, dia tidak mudah berputus asa atau terus menghasilkan semula karya tersebut dari awal.

Sebaliknya, dia akan cuba memperbaiki bahagian yang kurang memuaskan sehingga memperoleh hasil akhir yang benar-benar menepati kehendaknya.

“Biasanya jika sulaman itu tidak menjadi atau rosak, saya akan cuba membetulkannya sehingga mendapat hasil yang saya benar-benar puas hati,” jelasnya.

Buka pintu rezeki

Baginya, perkara paling menyeronokkan tentang seni sulaman 3D ialah peluang untuk menghasilkan sesuatu yang unik dan berbeza melalui setiap karya yang dihasilkan.

Aktiviti menyulam bukan sahaja membuatkannya lebih fokus, malah mendorong dirinya untuk terus mencuba idea baharu serta mengembangkan kreativiti dalam menghasilkan rekaan yang berbeza.

Kepuasan terbesar hadir apabila hasil sulaman yang mengambil masa berbulan-bulan akhirnya siap seperti yang dibayangkan sejak awal.

“Hasil sulaman yang berjaya dihasilkan seperti apa yang saya inginkan memberikan kepuasan yang sangat besar kepada saya,” katanya.

Selain menjadi ruang untuk berkarya, seni sulaman itu turut memberi kesan positif terhadap emosinya kerana aktiviti tersebut membantu memberikan ketenangan dan melatih kesabarannya.

Perasaan gembira turut dirasai apabila hasil karyanya mendapat penghargaan daripada orang lain.

Lebih bermakna apabila karya yang dihasilkan bukan sahaja mendapat perhatian, malah turut mendorong individu lain untuk mengenali dan mencuba bidang seni sulaman.

“Saya sangat gembira kerana dapat menginspirasikan orang lain untuk turut menceburi bidang sulaman,” katanya.

Sokongan daripada keluarga dan rakan-rakan juga menjadi antara pendorong utama untuknya terus berkarya.

Mereka sentiasa memberikan galakan serta membantu memberi semangat kepadanya untuk menghasilkan lebih banyak karya.

Keyakinan untuk menjual hasil sulaman bermula selepas karya sulaman 3D pertamanya mendapat perhatian dan sambutan daripada masyarakat.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN