DARIPADA papan catur ke pentas politik, nama legenda catur dunia, Judit Polgar, kembali menjadi perhatian apabila beliau menolak tawaran untuk dicalonkan sebagai presiden Hungary oleh Perdana Menteri, Peter Magyar.
Polgar, yang dianggap pemain catur wanita terbaik sepanjang zaman, memilih untuk tidak menyertai arena politik walaupun namanya disebut sebagai calon yang mampu menyatukan rakyat Hungary selepas 16 tahun pemerintahan Viktor Orban.
Dalam hantaran di media sosial pada Isnin lalu, Polgar menjelaskan tidak bersedia memikul tanggungjawab besar untuk menyatukan rakyat Hungary yang kini berdepan perpecahan.
“Saya tidak mempunyai kekuatan untuk memikul tanggungjawab bersejarah menyatukan sebuah negara yang berpecah-belah. Oleh itu, saya tidak dapat menerima tawaran tersebut,” katanya.
Walaupun menolak pencalonan itu, Polgar tetap akan terus menyokong usaha melahirkan seorang presiden yang bebas dan dihormati.
“Saya akan melakukan segala yang termampu untuk menyokong Presiden Republik yang baharu, bebas dan dihormati dalam merealisasikan matlamat itu,” katanya.
Sehari sebelumnya, Magyar mengumumkan sokongan terhadap Polgar dengan menyifatkan beliau sebagai tokoh yang mampu menjadi presiden dibanggakan oleh rakyat Hungary.
Namun, selepas Polgar mengumumkan keputusannya, Magyar memaklumkan beliau menghormati pendirian wanita berkenaan.
“Saya kesal dengan keputusan itu, tetapi saya menghormatinya,” kata Magyar menerusi kenyataan di media sosial.

PEMAIN TERBAIK DUNIA
Polgar, yang menyambut ulang tahun kelahiran ke-50 pada Khamis lalu, dianggap sebagai pemain catur wanita terbaik sepanjang zaman.
Beliau menduduki kedudukan nombor satu dunia dalam kalangan wanita selama 25 tahun sebelum bersara pada 2014 dan terus dihormati di Hungary serta peringkat antarabangsa.
Polgar kekal sebagai satu-satunya wanita yang pernah berada dalam kelompok 10 pemain catur terbaik dunia.
Sepanjang kariernya, kisah kejayaan Polgar sering dibandingkan dengan siri popular Netflix, The Queen’s Gambit, dan beliau sendiri pernah menyatakan mengagumi perhatian terhadap perincian yang dipaparkan dalam siri tersebut.
Sepanjang kariernya, Polgar sering berkongsi pengalaman berdepan layanan seksis dan stereotaip dalam dunia catur yang didominasi pemain lelaki.
Dalam temu bual bersama AFP pada 2020, beliau mengakui terpaksa bekerja lebih keras untuk membuktikan kemampuannya.
“Saya perlu membuktikan kemampuan diri lebih daripada jika saya seorang lelaki,” katanya.
Polgar turut mencipta beberapa kemenangan bersejarah apabila menewaskan juara dunia lelaki, termasuk legenda catur Russia, Garry Kasparov, pada 2002.
Selepas bersara daripada catur kompetitif pada 2014, beliau memberi tumpuan kepada bidang pendidikan serta usaha memupuk minat golongan muda terhadap permainan catur.
Nama Polgar sebagai calon presiden mula mendapat perhatian selepas dikemukakan menerusi sepucuk surat terbuka yang ditandatangani oleh 16 tokoh terkemuka Hungary, termasuk pencipta Kiub Rubik, Ernő Rubik.
Bagaimanapun, tindakan Magyar mengumumkan pencalonan Polgar turut mengundang kritikan kerana dibuat sehari selepas beliau berjanji untuk mengadakan rundingan awam mengenai pemilihan calon presiden.
Setakat ini, belum jelas siapa yang akan dicalonkan Magyar bagi menggantikan Polgar.
Mengikut sistem politik Hungary, mana-mana calon presiden perlu mendapat kelulusan Parlimen, yang bertanggungjawab memilih ketua negara.
Sekiranya Polgar menerima pencalonan tersebut, beliau akan mendapat sokongan sebulat suara daripada parti Tisza pimpinan Magyar, yang kini menguasai majoriti dua pertiga kerusi Parlimen.










