Tidak ada seorang pun yang mampu mempercepat atau melambatkan ajal, maut, jodoh pertemuan dan rezeki. Itu adalah rahsia Allah SWT.
Dalam menjalani kehidupan, setiap daripada kita dihadap dengan pelbagai ujian. Ada yang diuji dengan kesempitan hidup, kesihatan, perpisahan dan ada yang berdepan gangguan sihir yang didakwa menjadi punca berat jodoh.
Apapun ujiannya, sebagai seorang Islam, kita perlu meletakkan kepercayan setiap apa yang Allah aturkan bersebab dan penuh hikmah. Minggu ini saya kongsikan kisah Faizah, (bukan nama sebenar) yang diuji begitu lama dalam mencari jodoh.
Dianugerahkan rupa paras cantik, lemah lembut dan disenangi ramai. Dia juga menjadi kesukaan ramai lelaki. Namun setiap kali hubungan melangkah ke fasa lebih serius, ada sahaja halangan yang datang.
Hubungan yang pada awalnya indah, akhirnya putus tanpa sebab jelas. Kisah penuh pengajaran itu diceritakan oleh tuan badan sendiri dalam pertemuan diatur baru-baru ini.
Tujuan dia bercerita bukan untuk mengungkit kisah silam atau mengaibkan sesiapa. Apa yang dikongsikan lebih kepada pengajaran dan mengingatkan setiap ujian yang menimpa berlaku dengan izin Allah SWT.
Dia berharap perkongsiannya itu memberi pengajaran, keinsafan dan harapan kepada mereka yang sedang melalui ujian sama. Menyambung cerita kata Faizah dengan nada merendah diri, berbekalkan kecantikan, kepandaian dan budi bahasa, dia menjadi tumpuan.
Dia disenangi keluarga, dihormati rakan-rakan dan sering dipandang tinggi kerana akhlaknya.
Sejak di universiti lagi, malah ketika melangkah ke dunia pekerjaan ramai lelaki datang menyatakan hasrat untuk mengenali dengan lebih dekat, tidak kurang menyimpan impian untuk memperisterikannya.
Namun di sebalik kelebihan yang dimiliki, tersimpan satu ujian yang tidak diketahui ramai. Setiap kali jodoh menghampiri, pasti ada halangan yang muncul menyebabkan hubungan terputus di tengah jalan.
Menyambung cerita kata Faizah, setiap kali hubungan itu mula serius, pasti ada sahaja perkara yang berlaku. Ada yang tiba-tiba berubah hati, tanpa sebab yang jelas, ada yang membatalkan pertunangan malah paling menyedihkan ada yang menghilang pada hari pernikahan. Bukan sekali, tetapi berkali-kali.
Menurut Faizah antara detik paling sukar dilupakannya dan ahli keluarga ialah pada hari akad nikah. Hari yang sepatutnya menjadi hari membahagiakan bertukar menjadi episod sedih.
Segala persiapan telah dilakukan, ahli keluarga dan tetamu hadir dengan penuh kegembiraan. Namun, pengantin lelaki tidak muncul seperti dijanjikan.
Sejak hari itu kata Faizah, dia mula menutup pintu hatinya untuk rapat apalagi cuba menyintai mana-mana lelaki. Setelah bertahun-tahun melalui pelbagai ujian dan ikhtiar, akhirnya seorang kawan lama yang juga seorang ustazah mencadangkannya mendapatkan rawatan perubatan Islam sebagai ikhtiar.
Dari situ bermulalah satu lembaran baru kepada dirinya. Sepanjang menjalani rawatan, dia memilih untuk lebih mendekatkan diri kepada Allah.
“Saya menjaga solat lima waktu, memperbanyakkan zikir serta sentiasa berdoa meminta perlindungan daripada kejahatan. Alhamdulilah, perlahan-lahan hidup saya berubah. Hati saya lebih tenang. Tidak lagi resah, takut dan sibuk memikirkan soal jodoh sebaliknya yakin dengan ketentuan Allah,” ujarnya.
Hari demi hari, Faizah belajar ujian itu bukanlah satu hukuman, tetapi jalan untuk lebih mendekatkannya kepada Allah. Faizah tidak pernah berhenti berdoa dan memohon kepada Allah agar mengangkat segala kesulitan yang sedang dihadapi.
Sehinggalah pada suatu hari, dia dikejutkan dengan satu pengakuan yang tidak pernah disangka. Seorang lelaki yang pernah hadir dalam hidupnya semasa di kampus datang menemuinya.
Dengan linangan air mata dan wajah penuh penyesalan, lelaki itu mengakui melakukan perbuatan sihir terhadapnya kerana didorong perasaan dengki.
Menurut Faizah, dia tidak pernah menyangka, lelaki yang dikenali semasa menuntut di universiti sama itu sudah lama menyimpan perasaan terhadapnya.
“Menurut pengakuannya, dia mahu saya sengsara dan tidak akan menemui kebahagiaan bersama dengan mana-mana lelaki. Pengakuan itu benar-benar mengejutkan saya dan seluruh ahli keluarga. Walaupun kecewa, saya memilih untuk memaafkannya.
“Bukan kerana mudah untuk melupakan kesengsaraan yang dilalui, tetapi saya enggan ada dendam atau kebencian kepada sesiapa,” ujarnya.
Tidak lama selepas pertemuan itu, kata Faizah, tersebar berita lelaki itu meninggal dunia dalam satu kemalangan. Berita itu mengejutkan dan menginsafkannya.
“Nak kata saya gembira atau sebaliknya sukar diluahkan. Namun saya sentiasa berdoa agar Allah mengampunkan segala dosa dan menerima taubat lelaki itu.
“Arwah pernah menjaga antara sahabat lelaki yang rapat dengan saya semasa di kampus. Sejujurnya dia seorang yang baik. Saya menyerahkan segala urusan kepada Allah,” ujarnya.
Beberapa tahun selepas peristiwa itu dia bertemu dengan seorang lelaki, Sabri (bukan nama sebenar). Hubungan mereka dipermudahkan dan akhirnya disatukan sebagai suami isteri pada pertengahan Ogos 2006.
“Alhamdulilah, tahun ini usia perkahwinan kami memasuki 20 tahun. Walaupun tidak dikurniakan anak, kami tetap bahagia menjalani kehidupan seperti suami isteri yang lain.
“Suami yang mengetahui sejarah silam saya, sentiasa meminta agar terus bersangka baik dan tidak meninggalkan perintah Allah,” ujarnya melemparkan senyuman penuh makna.
Daripada kisah Faizah ini juga beberapa pengajaran dapat diambil antara tidak perlu membalas perbuatan buruk seseorang terhadap kita. Sebaiknya serahkan sahaja urusannya kepada Allah.
Mengakhiri perbualan, kata Faizah dia sentiasa berdoa seluruh ahli keluarganya terus dipelihara daripada sifat dendam, iri hati dan tidak menzalimi orang lain dengan perbuatan seperti sihir.
Sesungguhnya, sihir itu wujud sebagai satu ujian. Namun ia hanya memberi kesan dengan izin Allah SWT. Sebagaimana Firman Allah SWT “Padahal mereka tidak dapat memberi mudarat kepada sesiapa pun melainkan dengan izin Allah,” – Surah Al Baqarah 102.










