Belajar terima kekurangan keluarga suami

Belajar terima kekurangan keluarga suami

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Perkahwinan bukan hanya tentang membina kehidupan bersama suami, tetapi juga belajar menerima sebuah keluarga yang mempunyai latar belakang dan cara fikir berbeza. Ini dibuktikan melalui kisah Farhana , (bukan nama sebenar) yang dikongsikan minggu ini.

Selepas beberapa tahun melayari perkahwinan, Farhana mula memahami sesuatu yang besar dalam kehidupan berumah tangga. Pada awal perkahwinan, dia pernah berharap untuk diterima sepenuhnya oleh keluarga suami.

Dia membayangkan, sebuah keluarga yang saling bertanya khabar, berkongsi cerita dan mesra antara satu sama lain. Namun perjalanan hidup mengajarnya bahawa tidak semua keluarga dibina dengan cara yang sama.

Ada keluarga yang rapat dan mudah meluahkan kasih sayang, sebaliknya ada yang terbiasa menyimpan masalah sendiri dan menjalani kehidupan dengan cara masing-masing.

Dia mungkin tidak menjadi menantu yang baik dan rapat dengan keluarga suami, tetapi dia berusaha menjadi tempat suaminya menemui ketenangan.

Kisah Farhana dikongsikan sendiri dalam pertemuan yang diatur baru-baru ini.

Menurut Farhana, dia berkahwin dengan Hakim, (bukan nama sebenar) seorang lelaki yang datang daripada sebuah keluarga yang hubungan antara ibu bapa, anak-anak dan adik beradik tidak begitu rapat.

Mereka saling mengenali, tetapi tidak banyak berkongsi perasaan.Masing-masing lebih banyak membawa hal sendiri dan menjalani kehidupan masing-masing. Menurut Farhana apa yang dikongsikan hanyalah pengalaman hidup yang dilalui dengan harapan ada pengajaran yang boleh diambil.

Dia tidak berniat untuk membuka aib sesiapa, bukan juga untuk mencari salah atau memburukkan mana-mana pihak. Setiap keluarga mempunyai cerita, ujian dan perjalanan hidup berbeza.

Ada keluarga yang dibesarkan dengan penuh kemesraan, ada juga yang melalui kehidupan dengan cara berbeza dan kurang meluahkan kasih sayang. Membuka cerita, kata Farhana, dia melangkah ke alam perkahwinan dengan harapan membina kehidupan baru bersama lelaki dicintai.

Farhana membayangkan kehidupan bersama suami akan dipenuhi kasih sayang dan keluarga suami akan menjadi tempat dia berkongsi kasih seperti keluarga sendiri.

Namun selepas berkahwin, dia mula mengenali sisi lain dalam kehidupan suami. Keluarga suami tidak seperti dibayangkan. Mereka tidak begitu mesra. Kurang berbual dan lebih banyak membawa hal masing-masing.

Di awal perkahwinan dia cuba menyesuaikan diri dengan keluarga suami. Dia cuba mendekati , mengambil hati dan cuba memahami cara mereka berkomunikasi dan cuba menjadi sebahagian daripada keluarga tersebut. Namun kata Farhana dia berasa terlalu asing.

Bercerita lanjut kata Farhana, suaminya merupakan anak keempat daripada lima orang adik beradik yang kesemuanya lelaki. Suami membesar dalam suasana keluarga yang tidak banyak menunjukkan kasih sayang melalui kata-kata atau kemesraan.

Namun sesuatu yang dia kagumi tentang suami, lelaki itu memilih untuk menjadi seseorang yang berbeza. Walaupun suami dibesarkan dalam keadaan yang mungkin tidak banyak kelembutan dan keakraban, dia tidak membiarkan keadaan itu mewarisi keluarga kecil mereka.

Suami belajar menjadi seorang lelaki yang memahami, penyabar dan menghargai hubungan kekeluargaan. Bercerita lanjut kata Farhana, antara perkara yang memberi kesan kepadanya dalam tempoh menyesuaikan diri dalam keluarga suami, adalah apabila melihat ibu mertua sering memperlekehkan bapa mertua di hadapan anak-anak dan menantu.

Kata-kata yang sepatutnya menjadi rahsia suami isteri, diluahkan secara terbuka. Kadang kala kelemahan bapa mertua menjadi bahan cerita, sehingga suasana keluarga tidak harmoni.

“Sebagai seorang menantu, saya serba salah. Saya menghormati ibu mertua, pada masa sama simpati melihat bapa mertua yang seolah-olah dipandang rendah oleh isteri sendiri,” ujarnya.

Sambung Farhana, setiap kali perkara itu berlaku suami hanya terdiam. Mungkin sudah terbiasa dengan keadaan itu. Mungkin juga sejak kecil suami memendam perasaan dan tidak mahu campur tangan urusan kedua ibu bapa.

Menurut Farhana, suami tidak pernah mengajarnya untuk membenci keluarganya.

“Suami sering mengingatkan agar saya tidak berkecil hati dengan keluarganya. Mereka ada cara sendiri dan sesiapapun tidak boleh mengubahnya. Suami hanya berpesan agar kami terus dan saling menjaga hubungan sesama kami,’’ ujarnya.

Di situlah kata Farhana, dia cuba memahami suaminya dengan lebih dekat. Lelaki yang kelihatan tenang di luar, tetapi menyimpan banyak di dalam hati. Suaminya memilih diam demi menjaga keadaan.

Farhana sedar, suami lebih memahami keluarganya kerana dia telah membesar bersama mereka. Suami tahu bila dia perlu bersuara dan bila dia perlu diam.

“Sebagai isteri saya tahu saya tidak mungkin mampu mengubah caea keluarga suami yang sudah terbentuk bertahun-tahun,” katanya.

Tidak mampu mengubah cara mereka berkomunikasi, cara mereka menunjukkan kasih sayang atau cara mereka melihat sesuatu perkara.

Saya pernah berharap agar hubungan keluarga suami lebih rapat dengan berusaha mendekati dan menyesuaikan diri. Namun semakin lama, saya belajar bahawa tidak semua perkara berada dalam kawalan saya.

“Apa yang saya cuba lakukan adalah memperbaiki rumah tangga sendiri dan berusaha untuk menjaga batas, menjaga adab dan menyerahkan perkara yang di luar kemampuan kepada Allah Taala,” ujarnya.

Menurut Farhana, walaupun suami melihat sendiri hubungan dalam keluarganya tidak seperti diharapkan, dia tetap menghormati kedua ibu bapanya. Suami tetap menjaga adab dengan adik beradiknya.

“Saya percaya masa lalu tidak semestinya menentukan masa depan seseorang. Setiap manusia diberi pilihan memutuskan kitaran yang kurang baik dan mencipta sesuatu yang lebih baik,” ujarnya mengakhiri perbualan.

Sesungguhnya tuan perkahwinan adalah untuk ketenangan, kasih sayang dan rahmat. Apabila diuji, suami isteri perlu kembali kepada tujuan asal perkahwinan menjadi tempat perlindungan dan ketenangan antara satu sama lain.

Sebagaimana Firman Allah SWT, yang bermaksud, “Dan di antara tanda-tanda kekuasaanNya, ialah Dia menciptakan untukmu, pasangan-pasangan daripada jenismu sendiri, supaya kamu cenderung dan merasa tenteram kepadanya, dan Dia menjadikan antara kamu rasa kasih dan syang,”- Surah Ar Rum ayat 21

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN