Bukan tidak prihatin, tapi tahu batas diri

Bukan tidak prihatin, tapi tahu batas diri

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Kita sering terdedah dengan pelbagai cerita dan isu di sekeliling. Sama ada di tempat kerja, kawasan kejiranan mahupun media sosial, hampir setiap hari ada sahaja perkara yang menarik perhatian.

Namun, tidak semua perkara perlu kita campuri kerana ada kalanya rasa ingin tahu yang berlebihan hanya membawa lebih banyak masalah daripada penyelesaian.

Sikap mengambil berat terhadap orang lain sememangnya satu nilai yang baik.

Kita perlu prihatin, membantu apabila diperlukan dan menunjukkan empati kepada mereka yang berada dalam kesusahan. Tetapi, terdapat garis sempadan antara mengambil peduli dengan terlalu mencampuri urusan orang lain.

Kadangkala perkara yang asalnya kecil boleh menjadi rumit apabila terlalu ramai campur tangan.

Sebuah cerita ringkas boleh berubah menjadi salah faham apabila ditokok tambah, manakala isu yang sepatutnya diselesaikan oleh individu tertentu menjadi lebih besar kerana terlalu banyak pandangan luar diberikan.

Tindakan terbaik adalah memberi ruang kepada orang lain untuk menyelesaikan masalah mereka sendiri. Bukan bermaksud kita tidak peduli, tetapi kita memahami setiap individu mempunyai perjalanan, pilihan dan tanggungjawab masing-masing.

Ada waktunya kita perlu belajar untuk ‘jaga tepi kain sendiri’. Ungkapan ini sering dianggap negatif, seolah-olah menggambarkan seseorang yang tidak prihatin.

Hakikatnya, ia juga mengajar kita tentang batas diri. Tidak semua perkara perlu diketahui, tidak semua cerita perlu dikongsi dan tidak semua masalah perlu kita pikul.

Terlalu mengambil tahu hal yang tidak berkaitan juga boleh memberi kesan kepada emosi sendiri.

Kita mungkin mula memikirkan perkara yang bukan tanggungjawab kita, berasa risau terhadap situasi yang tidak mampu kita ubah dan akhirnya membebankan fikiran dengan masalah orang lain.

Dengan maklumat pantas hari ini, kebijaksanaan membuat penilaian amat penting.

Sebelum bertanya, memberi komen atau mencampuri sesuatu perkara, tanyakan kepada diri sendiri, adakah kehadiran aku membantu atau hanya menambah keadaan menjadi lebih rumit?

Tindakan yang dilakukan, sama ada baik atau buruk, pasti mempunyai akibat. Jika seseorang membuat kesilapan, mereka akan belajar daripada pengalaman tersebut.

Jika seseorang melakukan perkara yang baik, kebaikan itu juga akan kembali kepada mereka pada waktunya.

Apa yang lebih penting adalah menjaga tindakan dan tingkah laku sendiri. Fokus kepada perkara yang boleh kita kawal dan perbaiki diri.

-Adlinahani Khalil ialah Pengarang Berita Gaya Utusan Malaysia.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN