Minggu depan, sesi persekolahan akan bermula semula selepas beberapa minggu cuti. Sudah tentu ramai ibu bapa giat membuat persiapan terakhir, daripada membeli keperluan sekolah sehinggalah menyusun semula jadual harian yang mungkin sedikit berubah sepanjang musim cuti.
Bagi sesetengah ibu bapa, pembukaan sekolah adalah saat yang ditunggu-tunggu. Selepas berminggu-minggu anak berada di rumah, rutin harian yang lebih teratur akhirnya kembali.
Waktu pagi kembali sibuk dengan persiapan ke sekolah, namun pada masa yang sama ibu bapa mempunyai lebih banyak ruang untuk menguruskan pekerjaan, urusan rumah tangga dan pelbagai komitmen lain.
Tidak dinafikan, menjaga anak-anak sepanjang cuti sekolah mempunyai cabarannya tersendiri. Ada yang perlu memikirkan aktiviti untuk mengisi masa lapang mereka, ada yang terpaksa mengimbangi tugasan kerja dengan keperluan anak-anak, manakala sebahagian lagi perlu melayan pelbagai kerenah yang datang bersama usia yang sedang membesar.
Apabila sekolah dibuka semula, ada ibu bapa yang berasa lega. Rumah menjadi lebih tenang pada waktu siang dan jadual harian kembali tersusun seperti biasa.
Namun, di sebalik kesibukan itu, ada satu perkara yang wajar direnungkan. Anak-anak tidak akan sentiasa kecil. Mereka tidak akan selamanya meminta bantuan untuk mengikat tali kasut, menyiapkan kerja sekolah atau menemani mereka bermain. Masa bergerak lebih pantas daripada yang disangka.
Hari ini mungkin kita berasa penat melayan pelbagai kerenah mereka. Hari ini mungkin kita mengeluh kerana rumah menjadi bising atau jadual harian menjadi lebih padat ketika cuti sekolah.
Namun suatu hari nanti, semua itu hanya tinggal kenangan.
Anak-anak akan membesar. Mereka akan menjadi remaja, kemudian dewasa. Mereka akan belajar berdikari, membuat keputusan sendiri dan membina kehidupan mereka sendiri. Pada ketika itu, suasana rumah yang pernah riuh dengan gelak tawa, pertengkaran adik-beradik dan pelbagai kerenah kecil mungkin menjadi sesuatu yang dirindui.
Justeru, walau apa juga perasaan ketika menghantar anak ke sekolah minggu depan sama ada lega, gembira atau sedikit sayu, hargailah setiap fasa yang sedang dilalui.
Ambillah masa untuk mendengar cerita mereka, melayan pertanyaan mereka dan mencipta kenangan bersama. Kerana suatu hari nanti, apabila mereka sudah dewasa dan mampu menguruskan kehidupan sendiri, yang tinggal hanyalah memori-memori akan menjadi kenangan paling manis untuk dikenang.
Adlinahani Khalil ialah Pengarang Berita Gaya Utusan Malaysia.










