SOALAN”
Suami panas baran. Setiap kali ada isu, terus mengamuk dan naik tangan. Depan orang dia sangat baik tetapi di rumah sikapnya berubah. Bila bergaduh, saya selalu meminta maaf dan sekarang anak-anak pun sudah pandai memukul saya jika keinginan mereka tidak dipenuhi.
-Isteri sedih
JAWAPAN:
Rumah tangga harmoni sangat diinginkan oleh setiap pasangan. Namun, tidak semua perkahwinan bebas daripada ujian, terutama apabila melibatkan keganasan rumah tangga.
Situasi ini bukan sahaja melibatkan sentuhan fizikal, malah turut memberi kesan psikologi mendalam kepada isteri dan anak-anak. Keadaan yang sepatutnya tenang boleh berubah menjadi persekitaran menakutkan dan tidak sihat.
Dalam situasi ini, keselamatan serta kesejahteraan emosi isteri dan anak-anak perlu menjadi keutamaan. Berikut adalah panduan untuk puan:
- Fokus keselamatan diri, anak
Keselamatan adalah perkara utama. Apabila suami mula menunjukkan tanda agresif, elak daripada berada dalam ruang sama. Cari tempat lebih selamat seperti bilik berkunci, rumah jiran atau ahli keluarga yang boleh membantu. Jangan tunggu keadaan menjadi lebih teruk untuk bertindak. - Elak berdepan ketika suami tidak stabil
Berbincang ketika suami sedang marah hanya akan meningkatkan risiko konflik. Lebih baik tunggu sehingga keadaan reda sebelum bercakap dan elak daripada teruskan perbincangan jika situasi tidak selamat. - Dapatkan sokongan – Jangan tanggung sendiri. Berkongsi dengan orang yang dipercayai seperti ahli keluarga, rakan rapat atau pihak profesional dapat membantu memberi perlindungan dan panduan lebih jelas.
- Hubungi bantuan profesional – Dapatkan bantuan Talian Kasih 15999 atau One Stop Crisis Centre (OSCC) di hospital. Mereka boleh membantu dari segi perlindungan, kaunseling dan tindakan undang-undang jika diperlukan.
- Rekod, simpan bukti – Jika selamat, simpan rekod kejadian seperti tarikh, masa dan jenis kekerasan yang berlaku sepanjang berada dengan suami. Bukti ini penting digunakan untuk tindakan perlindungan atau undang-undang yang diperlukan pada masa akan datang.
- Lindungi anak – Anak yang terdedah dengan keganasan boleh menganggap kekerasan sebagai perkara normal. Jelaskan kepada mereka memukul tidak dibenarkan dan bantu mereka meluahkan emosi dengan cara lebih sihat.
Keganasan rumah tangga tidak boleh dianggap normal. Setiap individu berhak hidup dalam keadaan selamat dan dihormati. Dengan sokongan betul dan langkah keselamatan tepat, perlindungan dan perubahan masih boleh dicapai.










