Samira Muhammadi tekad tuntut keadilan kematian anak

Samira Muhammadi tekad tuntut keadilan kematian anak

SAMIRA ketika ditemu bual AFP mengenai kematian anaknya, Aref Khan, dalam serangan udara Pakistan ke atas pusat pemulihan dadah di Kabul.- AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TIADA yang lebih menyakitkan bagi seorang ibu selain kehilangan anaknya. Bagi Samira Muhammadi, kehilangan itu akan terus menyelubungi hidupnya, meninggalkan kesedihan yang sukar diungkapkan selepas serangan bom Pakistan meragut nyawa anak lelakinya serta ratusan rakyat Afghanistan lain di ibu negara Kabul bulan lalu.

Serangan pada 16 Mac itu menyasarkan sebuah pusat rawatan pemulihan dadah dan mengorbankan 411 nyawa, menurut pegawai Afghanistan.

Seorang sumber Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengesahkan sekurang-kurangnya 250 orang terbunuh, dengan ramai daripadanya masih hilang.

“Perlu ada siasatan mengenai insiden ini. Seperti saya, ramai ibu kehilangan anak lelaki mereka, ramai wanita kehilangan suami dan ramai kakak kehilangan adik,” kata Samira, 43, sambil mengusap foto anak sulungnya itu.

Afghanistan dan Pakistan kini terlibat dalam konflik yang semakin meningkat berhubung dakwaan Islamabad mengenai Kabul menempatkan militan yang bertanggungjawab terhadap serangan rentas sempadan, namun dinafikan oleh kerajaan Taliban.

PASUKAN penyelamat Afghanistan dan anggota keselamatan Taliban membawa mayat mangsa yang terbunuh dalam serangan udara Pakistan ke atas pusat pemulihan dadah di Kabul. – AFP

Pakistan menegaskan, ia menyerang sebuah kem tentera dan tidak mengulas mengenai kemungkinan menjalankan siasatan terhadap serangan maut di Kabul itu.

Wartawan AFP yang berada di lokasi selepas serangan itu menyaksikan puluhan mayat, termasuk beberapa yang hancur dan terbakar.

Kekuatan letupan itu menyukarkan proses pengecaman sesetengah mangsa, menurut Majlis Pelarian Norway, sebuah NGO kemanusiaan, selepas lawatan mereka ke lokasi kejadian.

Anak lelaki Samira, Aref Khan, 20, merupakan penagih methamphetamine semasa bekerja di sebuah rumah sembelihan di Iran bersama ibunya.

“Rakan sekerjanya memberitahu dadah itu dapat membantunya berjaga,” kata Muhammadi.

Keluarga itu kembali ke Afghanistan beberapa bulan lalu dan cuba membina kehidupan di Kabul, dengan Khan bekerja sebagai buruh harian manakala Muhammadi bekerja sebagai pekerja pembersihan rumah.

Namun, pihak berkuasa Afghanistan menempatkan anaknya di pusat pemulihan ‘Camp Omid’ di Kabul timur untuk menangani ketagihannya.

PELUANG PENDAKWAAN TIPIS

17 NGO kemanusiaan antarabangsa, termasuk War Child UK, mengutuk serangan bom itu, menegaskan hospital tidak sepatutnya menjadi sasaran.

Amnesty International, Human Rights Watch (HRW) dan Pesuruhjaya Tinggi Hak Asasi Manusia PBB menyeru supaya siasatan bebas dijalankan.

Pesuruhjaya Tinggi itu berkata, pihak yang bertanggungjawab perlu dihukum mengikut piawaian antarabangsa.

Kerajaan Taliban memberitahu AFP, ia memberi akses kepada media, diplomat dan NGO ke lokasi kejadian serta berkongsi bukti.

“Tanggungjawab awal sebenarnya terletak pada individu yang didakwa melakukan pelanggaran hak asasi manusia, iaitu Pakistan,” kata pelapor khas PBB mengenai Afghanistan, Richard Bennett.

Beberapa waris mangsa menyatakan mereka akan lebih yakin sekiranya siasatan dijalankan oleh institusi antarabangsa.

Misi PBB di Afghanistan (UNAMA) mempunyai mandat untuk menyiasat kesan konflik terhadap orang awam di negara itu dan pengeboman tersebut.

“Proses ini boleh mengambil masa, terutamanya dalam kejadian korban beramai-ramai seperti ini, dan ia sedang berjalan,” kata agensi itu kepada AFP, sambil menambah ia bergantung kepada sumber termasuk saksi dan doktor, serta pemeriksaan di lokasi terjejas.

ORANG ramai menunaikan solat jenazah untuk mangsa yang terkorban dalam serangan udara Pakistan ke atas pusat pemulihan dadah di Masjid Eid Gah di Kabul. – AFP

Profesor pelawat di Universiti Priceton Amerika Syarikat (AS), Kenneth Roth berkata, jika didapati ia merupakan serangan sengaja atau cuai terhadap orang awam, perbuatan itu jelas boleh membawa kepada pertuduhan jenayah.

Walaupun UNAMA tidak mempunyai kuasa untuk mendakwa, Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) mempunyai bidang kuasa terhadap jenayah perang yang berlaku di Afghanistan, dan boleh memburu warganegara dari negara bukan anggota.

Namun, mahkamah tersebut cenderung melihat kepada corak kesalahan berbanding insiden tunggal.

“Jadi walaupun terdapat satu jenayah yang sangat malang, saya rasa ia tidak akan didakwa tanpa corak salah laku,” kata Roth, merujuk kepada ICC.

Bagaimanapun, Samira tetap bertekad menuntut keadilan walaupun menghadapi cabaran besar.

Beliau mahu ‘menyiasat mengapa seorang remaja 20 tahun, yang dibawa ke hospital untuk rawatan, dibunuh dan dibakar’.

“Jika kita tidak bertanya tentang perkara ini sekarang, kemungkinan besar kita akan mengalami kemudaratan yang sama sekali lagi,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN