Pemilihan makanan yang sesuai untuk haiwan peliharaan seperti kucing dan anjing sering menjadi persoalan dalam kalangan pemilik.
Antara pilihan yang popular ialah makanan basah atau wet food. Namun, penggunaannya perlu difahami dari segi kebaikan, kekurangan serta kesannya terhadap kesihatan haiwan.
Doktor perubatan veterinar, Dr. Wafaa Abdul Washeff berkata, makanan jenis makanan basah mempunyai kelebihan dan keburukan tersendiri, justeru pemilik perlu memahami fungsi serta cara pemberiannya dengan betul.

Kandungan air tinggi bantu hidrasi
Antara kelebihan utama makanan basah ialah kandungan airnya yang tinggi. Secara purata, makanan basah mengandungi kira-kira 70 peratus air atau lebih, manakala makanan kering hanya mengandungi sekitar 20 peratus atau kurang.
Kandungan air yang tinggi ini amat membantu terutama bagi kucing yang lazimnya minum air dalam jumlah yang sedikit.
Menurut Dr. Wafaa, keadaan itu berkait dengan evolusi semula jadi kucing yang berasal daripada kawasan geografi kering dan kurang sumber air.
“Kucing secara semula jadi mampu memekatkan urin mereka dan memperoleh air daripada sumber makanan. Di habitat asal, kucing sebagai haiwan pemangsa mendapatkan air daripada haiwan kecil seperti tikus yang mempunyai lebih 60 peratus kandungan air,” katanya kepada Seri.
Oleh itu, pemberian makanan basah dapat membantu meningkatkan pengambilan air harian haiwan peliharaan, sekali gus membantu mengekalkan hidrasi badan.
Membantu haiwan dengan masalah kesihatan
Makanan basah juga boleh memberi manfaat kepada haiwan yang mempunyai masalah kesihatan tertentu.
Menurut Dr. Wafaa, haiwan yang mengalami masalah batu karang boleh mendapat manfaat daripada makanan basah kerana kandungan air yang tinggi mampu meningkatkan jumlah urin dan membantu mengeluarkan pasir daripada pundi kencing.
Haiwan yang mengalami penyakit buah pinggang atau kencing manis juga boleh mendapat manfaat daripada makanan basah kerana kedua-dua keadaan tersebut menyebabkan haiwan kerap membuang air kecil dan kehilangan air daripada badan.
“Wet food membantu mengekalkan hidrasi badan selepas kehilangan air yang kerap melalui air kencing,” jelasnya.
Haiwan yang mengalami masalah sembelit juga boleh meningkatkan pengambilan air melalui makanan basah.
Bantu kawalan berat badan
Makanan basah juga boleh membantu haiwan yang mempunyai masalah berat badan berlebihan kerana makanan basah lazimnya mempunyai jumlah kalori yang lebih rendah berbanding makanan kering.
Ini memudahkan pemilik mengawal atau mengurangkan berat badan haiwan peliharaan mereka.
Walaupun mempunyai pelbagai kelebihan, makanan basah juga mempunyai beberapa kekurangan.
Antaranya ialah kos yang lebih tinggi berbanding makanan kering.
Makanan basah juga perlu diberikan dalam kuantiti yang lebih banyak bagi memenuhi keperluan nutrisi dan kalori harian haiwan.
Dari segi ketahanan, makanan basah boleh bertahan lama jika belum dibuka. Namun selepas dibuka, ia perlu disimpan di dalam peti sejuk dan sebaiknya dihabiskan dalam tempoh dua hingga tiga hari.
Jika makanan tersebut telah dihidangkan kepada haiwan, ia hanya boleh dibiarkan pada suhu bilik selama beberapa jam sahaja sebelum bakteria mula membiak.
Risiko plak dan tartar pada gigi
Kesihatan gigi haiwan juga perlu diberi perhatian jika makanan basah diberikan dalam jumlah yang banyak atau secara eksklusif.
Menurutnya, pembentukan plak dan tartar boleh berlaku dengan lebih cepat jika haiwan hanya diberikan makanan basah berbanding makanan kering.
Ini kerana ketika mengunyah makanan kering, terdapat kesan “gosokan” pada gigi yang sedikit sebanyak membantu membersihkan permukaan gigi walaupun tidak semua bahagian gigi dapat dibersihkan sepenuhnya.
Sebaliknya, makanan basah lebih mudah ditelan kerana teksturnya yang lembut dan tidak memerlukan kunyahan yang lama.
Dalam kes tertentu, pembentukan plak dan tartar boleh menyebabkan radang gusi dan jangkitan bakteria sehingga haiwan mengalami kesukaran untuk mengunyah dan makan.
Sekiranya haiwan memerlukan diet makanan lembut untuk jangka masa panjang atau sepanjang hayat, pemilik digalakkan untuk memberus gigi haiwan menggunakan berus gigi dan ubat gigi khas yang dijual di klinik veterinar atau kedai haiwan peliharaan.
Namun, jika haiwan tidak dibiasakan dengan aktiviti memberus gigi sejak awal, proses tersebut mungkin agak mencabar bagi pemilik.
Sebagai langkah alternatif, terdapat juga produk cecair penjagaan gigi yang boleh dimasukkan ke dalam air minuman haiwan bagi membantu memperlahankan pembentukan plak dan tartar.
Boleh diberi setiap hari jika nutrisi lengkap
Makanan basah boleh diberikan setiap hari kepada haiwan peliharaan, namun pemilik perlu memahami terdapat pelbagai jenis wet food di pasaran.
Ada produk makanan basah yang mempunyai nutrisi lengkap dan seimbang mengikut keperluan harian haiwan, manakala ada juga yang hanya bersifat “complementary” atau makanan tambahan yang tidak mengandungi nutrisi lengkap.
Oleh itu, pemilik perlu membaca label pada bekas makanan untuk mengetahui kandungan serta kelengkapan nutrisi makanan tersebut.
Cara pemberian makanan basah juga bersifat fleksibel dan bergantung kepada keperluan haiwan atau jadual harian pemilik.
Ada pemilik yang memberikannya seminggu sekali dengan hidangan penuh, manakala ada juga yang memberikannya setiap hari dalam jumlah kecil.
Makanan basah juga boleh dicampurkan dengan makanan kering bagi menggalakkan haiwan makan dengan lebih baik.
Perlu bijak memilih produk
Pemilik perlu membiasakan diri membaca setiap maklumat yang terdapat pada label produk.
Antara maklumat penting yang biasanya dipaparkan termasuk jenama produk, spesies haiwan yang sesuai, berat bersih produk, profil nutrisi, senarai bahan, cara pemberian makanan serta butiran syarikat pengeluar seperti nama syarikat.
Menurut Dr. Wafaa, semua maklumat tersebut adalah wajib bagi memastikan produk tersebut selamat dan telah diluluskan untuk digunakan.
Haiwan yang mempunyai masalah batu karang, penyakit buah pinggang, kencing manis atau sembelit juga mungkin lebih sesuai diberikan makanan basah kerana kandungan airnya yang tinggi.











