Ujian anak sakit pada bulan Ramadan

Ujian anak sakit pada bulan Ramadan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Ramadan bukan sekadar menahan lapar dan dahaga, tetapi juga menahan sabar daripada setiap ujian yang Allah berikan. Ada yang diuji dengan kesakitan, kehilangan dan diuji dengan kesusahan hidup.

Namun di situlah letaknya keindahan Ramadan. Dalam setiap ujian Allah, mengajar seseorang untuk lebih sabar, lebih kuat dan bergantung sepenuh kepadaNya.

Demikian juga bagi sepasang suami isteri, Zain dan Alia, (bukan nama sebenar) yang diuji dengan sesuatu yang berat dan tidak diduga. Sejak tiga tahun lalu, Ramadan tidak lagi sama bagi mereka sekeluarga. Ramadan yang sepatutnya disambut dengan ketenangan di rumah, bertukar menjadi perjalanan yang penuh ujian.

Ini apabila Sham (bukan nama sebenar), satu-satunya anak mereka disahkan menghidap kanser darah sehingga memaksa mereka berulang-alik ke hospital hampir setiap hari.
Hospital menjadi rumah kedua mereka.

Di sebalik senyuman yang cuba pasangan suami ini pamerkan dalam pertemuan diatur baru-baru ini, tersimpan keletihan dan kebimbangan yang sukar digambarkan. Menurut Alia, sebagai ibu bapa mereka perlu terus kuat.

“Kami tidak pernah menunjukkan kelemahan di hadapan Sham. Walaupun hati kami sering dilanda ketakutan dan kesedihan, tetapi kami tetap berusaha untuk kelihatan kuat,” ujarnya bernada sebak penuh makna.

Menurut Alia, sejak tiga tahun lalu hari-hari mereka banyak dihabiskan di wad hospital dan terus berdoa agar Sham diberi kekuatan melawan penyakit. Menyambung cerita kata Alia, seolah-olah sudah menjadi kebiasaan, setiap tahun apabila Ramadan menjelang Sham akan kembali dimasukkan ke hospital.

Ramadan pertama tahun 2024 selepas Sham disahkan sakit, dia dimasukkan ke hospital kerana keadaan badannya terlalu lemah. Tahun berikutnya, perkara sama berlaku .

“Tahun ini, sekali lagi kami berada di hospital selepas Sham jatuh pengsan di rumah pada hari ketiga Ramadan lalu,” ujarnya.

Menceritakan suasana berpuasa di hospital kata Alia, cukup berbeza. Ramadan bukan lagi untuk berbuka bersama-sama, tetapi diisi dengan perjalanan mereka berulang alik dari rumah ke hospital.
Di situlah mereka bersahur, di situlah juga mereka berbuka puasa. Berbuka seringkali di kerusi hospital. Malam-malam tidak diisi dengan terawih berjemaah di masjid.

“Tahun ini sama seperti Ramadan tahun-tahun sebelumnya. Tidak ada kesibukan mahupun kemeriahan menyediakan juadah apalagi persiapan menyambut Aidilfitri. Apa yang ada hanyalah doa dan harapan agar Sham kembali sihat dan boleh pulang ke rumah sebelum hari raya,” ujarnya.

Menurut Alia, dia bersyukur di sebalik ujian menimpa, hubungan mereka suami isteri semakin kuat.

“Kami sering mengingatkan antara satu sama lain, bahawa setiap ujian yang Allah berikan bersebab dan ada hikmahNya. Diuji anak sakit kami sering tertanya-tanya sebelum ini tentang hikmah sebalik yang berlaku. Selepas semakin lama melalui ujian ini, kami mula memahami bahawa setiap yang Allah berikan pasti bersebab.

“Allah ambil sedikit keceriaan di dunia untuk memberi ganjaran berlipat ganda di sisiNya,” ujar Alia.

Menceritakan detik permulaan penyakit Sham dikesan, awalnya anak lelakinya itu demam biasa. Alia tidak terlalu risau dan menyangkakan Sham keletihan setiap kali pulang dari sekolah seperti biasa. Namun selepas beberapa hari, keadaan Sham semakin lemah.

Akhirnya mereka membawa Sham ke hospital untuk pemeriksaan lanjut. Bagi Alia, tiada ujian yang lebih berat daripada mendapat tahu dan melihat anak sendiri menanggung sakit.
“Saya agak sukar menerima apabila doktor menyampaikan berita Sham disahkan menghidap kanser darah tahap empat. Ketika itu saya benar-benar tidak kuat, namun setelah ditenang dan dipujuk suami, saya cuba untuk menerima hakikat,” imbas Alia.

Sejak hari itu kehidupan mereka tiga beranak berubah. Ramadan yang dipenuhi dengan keceriaan keluarga, sering dihabiskan di hospital. Bau ubat, bunyi mesin dan wajah doktor , jururawat silih berganti.

“Dua tahun berturut-turut berpuasa dan berhari raya di hospital bukanlah sesuatu yang mudah bagi kami. Namun pengalaman itu secara perlahan-lahan membentuk kekuatan kepada kami sekeluarga.

“Saya berharap untuk tahun ini, kami dapat membawa Sham pulang ke rumah berhari raya,” ujarnya.

Mengimbas detik kelahiran Sham, dia masih ingat pertama kali memangku anak itu ketika dilahirkan hingga kepada hari-hari panjang di hospital yang sama tidak pernah dibayangkan.

Sham seorang anak yang ceria. Sekarang suaranya semakin perlahan dan tenaganya tidak lagi seperti dulu. Anak itu merupakan anak tunggal yang mereka nanti-nantikan selama hampir 10 tahun.

“10 tahun bukan tempoh yang singkat bagi kami berdua dan mana-mana pasangan suami isteri. Sepanjang tempoh perkahwinan itu, kami melalui pelbagai persoalan dan ujian.

“Setiap kali menghadiri majlis keluarga atau melihat rakan-rakan yang mendukung anak, hati kami pasti terusik. Namun kami tidak pernah berhenti berusaha dan berdoa,” imbasnya.

Akhirnya kata Alia, setelah sekian lama menunggu doa mereka dimakbulkan. Hari yang dia disahkan hamil, menjadi hari yang paling menggembirakan dalam hidup mereka.

Sepanjang kehamilan, Alia menjaga dirinya dengan penuh hati-hati termasuk pemakanan, kesihatan dan tidak putus berdoa agar anak yang bakal dilahirkan sihat dan sempurna.

Menurut Alia, Sham lahir tepat 11.30 pagi, Selasa pertengahan Januari 2008. Ketika tangisan pertama bayi itu bergema di bilik bersalin, air mata syukur mengalir.

Sejak itu menurut Alia, kehidupan mereka berubah. Sham membesar di depan matanya. Dia memilih untuk berhenti kerja semata-mata mahu memberi tumpuan kepada Sham.

Dari belajar meniarap, merangkak, berjalan hinggalah Sham sudah pandai memanggilnya mama buat pertama kali. Setiap kenangan itu tersimpan rapi di dalam hatinya. Banyak pengajaran yang boleh kita ambil daripada kisah Alia sekeluarga ini.

Kisah ini mengajar seseorang erti sabar setiap kali diuji dengan ujian. Sabar bukan bermaksud tidak sedih, tetapi memilih untuk tidak terus membiarkan kesedihan menguasai diri, sebaliknya terus kuat demi anak yang disayangi.

Ujian yang datang dalam bulan yang mulia ini juga mengingatkan kita bahawa setiap kesulitan yang dilalui boleh menjadi jalan untuk meraih ganjaran lebih besar di sisiNya.
Sebagaimana Firman Allah SWT: “Wahai orang-orang yang beriman, jadikanlah sabar dan solat sebagai penolongmu. Sesungguhnya, Allah beserta orang-orang yang sabar,”- (Surah al-Baqarah: 153).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN