Tingkah laku kucing atau anjing yang sering mendekati pemilik dan meminta perhatian biasanya dianggap sebagai tanda haiwan itu manja.
Haiwan peliharaan yang jinak lazimnya bersikap mesra serta selesa berada dekat dengan pemilik.
Namun, pemilik juga perlu peka terhadap perubahan tingkah laku yang ditunjukkan oleh haiwan mereka.
Ini kerana perubahan tersebut boleh menjadi petunjuk kepada keadaan emosi atau tekanan yang dialami oleh haiwan peliharaan.
Pakar veterinar, Dr. Wafaa Abdul Washeff berkata, sifat manja pada haiwan lazimnya merujuk kepada tingkah laku jinak dan penyayang terhadap pemilik atau orang di sekeliling.

“Haiwan yang manja biasanya selesa berada dekat dengan pemilik, mudah didekati serta menunjukkan interaksi mesra tanpa tanda ketakutan atau perubahan tingkah laku yang ketara,” katanya kepada Seri.
Tanda haiwan peliharaan stres
Walau bagaimanapun, ada keadaan di mana tingkah laku yang disangka manja sebenarnya berkait dengan tekanan emosi.
Dr. Wafaa berkata, sesetengah haiwan peliharaan akan datang kepada pemilik untuk meminta perhatian atau dimanjakan, tetapi apabila ditinggalkan bersendirian mereka cenderung menyorok atau duduk diam.
Katanya, perubahan tingkah laku yang berbeza daripada kebiasaan perlu diberi perhatian kerana ia mungkin petanda haiwan tersebut sedang mengalami stres.
Antara tanda yang sering diperhatikan termasuk menyembunyikan diri, kurang selera makan, kelihatan murung dan tidak berminat untuk bermain.
Haiwan yang stres juga boleh mengalami penurunan berat badan, bulu gugur dengan lebih banyak, membersihkan badan secara berlebihan dan menjadi lebih agresif berbanding kebiasaan.
“Pemilik biasanya dapat melihat perubahan pada karakter haiwan peliharaan mereka kerana tingkah laku tersebut berbeza daripada sikap biasa,” katanya.
Menurutnya, terdapat sedikit perbezaan tanda stres antara kucing dan anjing, walaupun kedua-duanya menunjukkan perubahan tingkah laku yang hampir sama.
Namun secara umum, kedua-dua haiwan ini akan menunjukkan tanda seperti perubahan selera makan, kurang aktif, mengasingkan diri atau menjadi lebih sensitif terhadap persekitaran.
Punca haiwan peliharaan stres
Mengulas tentang punca, pemilik perlu memastikan terlebih dahulu sama ada stres tersebut berpunca daripada masalah kesihatan atau faktor luaran.
Sebagai contoh, kucing yang mengalami masalah kencing tidak lawas mungkin akan berulang-alik ke tandas, mencakar pasir atau lantai berulang kali serta mengiau dengan kuat ketika cuba membuang air kecil.
“Kucing juga mungkin menjilat bahagian kemaluan secara berulang. Ini merupakan tanda masalah kesihatan dan haiwan tersebut perlu dibawa ke klinik veterinar untuk pemeriksaan lanjut,” jelasnya.
Faktor luaran juga boleh menyebabkan stres kerana deria kucing dan anjing lebih tajam serta sensitif berbanding manusia.
Sebarang perubahan di rumah boleh menimbulkan tekanan kepada haiwan peliharaan kerana rumah merupakan kawasan selamat bagi mereka.
Antara faktor yang boleh menyebabkan stres termasuk jangkitan parasit seperti kutu, hama bulu, hama telinga dan sengkenit yang menyebabkan kegatalan berterusan.
Perubahan persekitaran seperti kerja pengubahsuaian rumah, bunyi bising atau susunan perabot yang berubah juga boleh mengganggu haiwan peliharaan.
Selain itu, perubahan rutin harian seperti jadual makan yang tidak menentu, pemilik yang jarang berada di rumah serta perpisahan dengan pemilik turut memberi kesan kepada emosi haiwan.
Gangguan bunyi seperti mercun, guruh atau hujan lebat serta kehadiran haiwan atau penghuni baharu di rumah juga boleh mencetuskan tekanan.
Tempoh penyesuaian haiwan
Berpindah rumah atau kehadiran haiwan peliharaan baharu merupakan antara perubahan besar kepada haiwan.
Beliau menjelaskan terdapat konsep dikenali sebagai peraturan ‘3-3-3’ bagi membantu haiwan menyesuaikan diri dengan persekitaran baharu.
Menurutnya, tiga hari pertama biasanya digunakan oleh haiwan untuk menenangkan diri dan mereka mungkin lebih banyak menyorok.
Selepas itu, sekitar tiga minggu diperlukan untuk mempelajari rutin baharu, manakala tempoh tiga bulan pula biasanya diperlukan sebelum haiwan benar-benar berasa selesa dengan persekitaran tersebut.
Dalam kes kehadiran haiwan baharu, pemilik disarankan memperkenalkan kedua-duanya secara berperingkat dan tidak meletakkan mereka terus dalam ruang yang sama.
Kesan stres terhadap kesihatan
Katanya, stres yang berpanjangan boleh menjejaskan kesihatan fizikal haiwan kerana ia melibatkan perubahan pada proses metabolisme dan hormon dalam badan.
Keadaan tersebut boleh menyebabkan kerosakan oksidatif pada sel serta menurunkan sistem imun haiwan.
Akibatnya, haiwan lebih mudah mengalami masalah kesihatan seperti gangguan jantung, pernafasan, penghadaman, masalah kulit serta perubahan tingkah laku.
Dr. Wafaa menyarankan pemilik menyediakan ruang selamat untuk membantu haiwan yang mengalami stres menenangkan diri. Kucing biasanya gemar berada di tempat tinggi atau ruang kecil seperti kotak, manakala anjing lebih selesa di kawasan sunyi yang kurang dilalui orang.
Pemilik juga perlu mengurangkan rangsangan seperti bunyi bising atau interaksi berlebihan.










