Syawal memberi makna dan pengertian berbeza bagi setiap individu. Bukan sahaja meraikan kemenangan setelah sebulan berpuasa, bahkan lebih daripada itu.
Syawal menjadi ruang untuk seseorang menghidupkan kembali kasih sayang yang mungkin terhenti dan menyambung hubungan yang terputus . Demikian juga kisah dua saudara Amirul dan Syam, (bukan nama sebenar) yang dikongsikan Liku Hidup minggu ini.
Ia bukan sekadar cerita dua saudara yang bersengketa hampir lima tahun, tetapi sarat dengan makna tentang erti persaudaraan dan kekuatan sebuah kemaafan.
Dalam suasana Syawal penuh keberkatan baru-baru ini, kisah dua beradik ini menjadi bukti bahawa tiada hubungan yang tidak dapat disatukan semula. Jika ada keberanian dan keikhlasan untuk memaafkan, hubungan yang terpisah kembali terjalin.
Kisah dua saudara ini dikongsikan sendiri oleh Nadia, (bukan nama sebenar) anak sulung kepada Syam. Memulakan cerita kata Nadia, sejak kecil kedua-duanya membesar bersama, berkongsi apa sahaja dan saling melindungi. Namun satu salah faham kecil yang tidak pernah dijelaskan telah menjadi tembok besar memisahkan kedua-dua beradik itu.
Kata-kata yang terlepas tanpa niat disalah tafsir. Ego dalam diri masing-masing menjauhkan lagi hubungan. Syawal pada tahun ini memberi peluang kepada kedua-duanya untuk kembali bersatu.
Ini selepas bapanya, Syam memberanikan diri untuk meminta maaf. Salam dihulur dan disambut oleh bapa saudara nya dengan penuh makna. Air mata gugur tanpa mampu ditahan.
Syawal kali ini kata Nadia menjadi saksi, hati yang ikhlas sentiasa menemukan jalan pulang. Kadang yang memisahkan bukanlah kebencian, tetapi ada perkara tidak dapat diluahkan dan dijelaskan dengan kata-kata.
Menurut Dania, sejak lima tahun lalu hubungan bapa dan abang kandungnya tidak baik dan semesra dahulu.
Setiap kali berkumpul di rumah nenek pada hari raya, suasana tidak lagi seperti sebelum.
“Sepanjang persengketaan mereka, nenek adalah orang yang paling sedih. Walaupun kedua mereka cuba menyembunyikan hubungan tidak baik di hadapan nenek, sebagai ibu, nenek tetap dapat merasakan sesuatu yang tidak kena antara anak-anaknya,” ujar Dania.
Sambung Dania, saudara mara yang lain bukan tidak pernah cuba menjadi penghubung, namun segala usaha menemui kegagalan.
Menyambung cerita lagi, kata Nadia dia tidak pernah benar-benar memahami bagaimana permulaan sengketa antara kedua-duanya. Tidak cerita lengkap, tidak penjelasan tepat.
Menurut Nadia, setiap kali ada majlis keluarga, dua beradik itu mengelak untuk bertemu. Masing-masing memberi alasan yang pelbagai.
“Jika ayah terdengar abangnya akan hadir, ayah akan memberi pelbagai alasan. Ada tugasan atau tidak sihat. Bayangkan ketika berkumpul di rumah nenek, suasana terasa janggal. Masing-masing tidak bertegur dan buat hal sendiri,” ujarnya.
Bertahun-tahun keadaan itu berulang. Sehinggalah pada Syawal lalu, seluruh ahli keluarga menyaksikan saat yang ditunggu. Paling tersentuh, adalah hati seorang ibu. Nadia dapat melihat nenek menangis tanda gembira dan syukur. Bertahun lamanya nenek berdoa dan akhirnya Allah makbulkan. Pada Syawal tahun ini, rumah nenek terasa benar-benar hidup.
Sambung Nadia, rasa gembira itu sukar digambarkan kerana dia bukan sahaja melihat dua saudara berbaik, tetapi melihat seorang bapa memilih untuk merendahkan ego demi keluarga.
Sebagai anak, hatinya penuh bangga, bukan kerana bapanya ‘menang’, tetapi kerana berani mengalah. Dia melihat bagaimana, langkah kecil bapanya menghulurkan tangan dan meminta maaf kepada abang kandung sendiri, menjadi titik perubahan besar.
Dari seorang bapa yang selama ini memendam rasa, akhirnya memilih untuk berbaik. Dan di situlah Nadia melihat letaknya kekuatan sebenar dalam hubungan persaudaraan.
Bukan pada siapa yang betul atau salah, tetapi pada siapa yang berani memulakan kebaikan.
“Saya benar-benar bersyukur, kerana keberanian ayah bukan sahaja menyatukan kembali hubungan persaudaraan yang terpisah, tetapi juga mengajar bahawa kasih sayang itu lebih tinggi nilainya daripada terus melayan ego,” ujarnya.
Sambung Nadia, dia kagum dengan bapanya kerana memilih untuk berdamai. Sepanjang tempoh persengketaan itu, dia melihat sisi lain bapanya. Seorang yang penyayang dan bertanggungjawab, tetapi dalam hubungannya dengan saudara kandung sendiri ada sesuatu yang mengikatnya. Setiap kali nama abangnya disebut, riak wajahnya berubah.
Bukan marah, tetapi ada sesuatu yang disimpan dan tidak terluah. Semakin dia membesar, dia semakin faham bahawa ada luka yang tidak mampu diceritakan.Mungkin perkara itu kecil pada asalnya, tetapi kerana dipendam terlalu lama, ia menjadi besar.
Apabila bapanya memilih untuk meminta maaf, Nadia tahu ia bukan keputusan mudah. Ia datang dari kerinduan dan kesedaran masa tidak lagi menunggu. Dari situlah Nadia benar-benar mengerti, kadang kala, seseorang itu tidak perlu tahu punca sebenar persengketaan, cukup belajar untuk cuba memperbaiki hubungan tersebut.
Berdasarkan kisah Amirul dan Syam ini banyak pengajaran yang dapat diambil. Antaranya, bahawa ego itu hanya merugikan. Keinginan untuk menang, hanya akan membuatkan seseorang kehilangan sesuatu yang lebih berharga iaitu hubungan dengan darah daging sendiri. Keberanian untuk meminta maaf terlebih dahulu seperti yang dilakukan bapa Nadia adalah kekuatan sebenar.
Hanya dengan menghulurkan tangan dan meminta maaf, mampu meruntuhkan tembok yang penghalang bertahun-tahun lamanya. Kata Nadia Syawal pada tahun ini sangat-sangat bermakna kepada keluarga mereka. Sebagai anak, dia gembira kerana bapanya memiih untuk menyatukan semula hubungan persaudaraan yang hampir hilang.
Sesungguhnya terdapat banyak ayat quran dan hadis yang menekankan tentang kepentingan menjaga hubungan persaudaraan. Sebagaimana Firman Allah SWT: Orang-orang beriman itu sesungguhnya bersaudara. Sebab itu damaikanlah (perbaiki hubungan) antara kedua saudaramu itu dan takutlah terhadap Allah, supaya kamu mendapat rahmat (Al Hujurat ayat 10).











