Lampu raya baru saja dipasang di ruang tamu, bau biskut cornflakes dari dapur masih hangat dan dalam kepala kita sudah mula terbayang satu soalan penting. Nak pakai apa raya tahun ni?
Raya bukan sekadar tentang baju baharu. Ia tentang rasa. Tentang keyakinan. Tentang moment bila kita melangkah masuk ke rumah saudara dengan senyuman dan seseorang terus bersuara, “Eh cantiknya hari ni.”
Tahun 2026 terasa sedikit berbeza. Gaya raya kini lebih lembut, lebih matang, tetapi masih ada elemen yang membuatkan hati berbunga. Minggu ini saya jatuh hati dengan dua koleksi dari jenama tempatan
Wanzar yang benar-benar menangkap semangat raya moden. Ia manis, elegan dan sangat mencerminkan wanita Malaysia hari ini yang yakin, praktikal tetapi tetap romantik dengan fesyen.
Jika raya mempunyai palet warna sendiri, saya rasa Muted Sage pasti berada di barisan hadapan. Nuri Kurung dari koleksi Seri Raya ‘26 ini adalah kurung Kedah bercetak yang kelihatan klasik pada pandangan pertama, tetapi sebenarnya penuh dengan detail kecil yang sangat memikat.

Garis leher berbentuk V dihiasi floral lace yang halus, sementara bahagian depan kurung mempunyai decorative bow kecil yang menambah sentuhan manja tanpa kelihatan berlebihan.
Material chiffon yang dicampur dengan tekstur 3D memberi rasa ringan tetapi masih berstruktur cantik pada badan.
Bahagian leher dan kurung pula dihiasi sulaman lembut yang membuatkan keseluruhan rekaan nampak sangat refined. Lengan panjangnya dilengkapi zip mesra wuduk, sesuatu yang nampak kecil tetapi sangat praktikal ketika kita beraya dari pagi hingga ke malam.
Skirtnya pula mempunyai kipas belakang yang memberikan jatuhan elegan setiap kali kita melangkah.
Yang membuatkan koleksi ini lebih istimewa ialah adanya versi Nuri Kurung Kids dalam warna yang sama. Bayangkan pagi raya, ibu dan anak keluar rumah sedondon dalam Muted Sage yang lembut, berjalan menuju rumah nenek dengan senyuman yang sama lebar.
Untuk menggayakan Nuri Kurung, saya suka mengekalkan aura lembutnya. Tudung satin atau chiffon dalam tona beige lembut atau soft cream akan menaikkan warna sage dengan sangat cantik.

Beg tangan kecil warna tan atau nude memberi sentuhan kemas, manakala kasut bertumit rendah seperti kitten heels atau strappy heels minimal sudah cukup untuk melengkapkan gaya raya yang manis tetapi moden.
Jika mahu bermain dengan warna, padankan dengan Teluk Belanga Zahraan berwarna peach untuk pasangan. Gabungan sage dan peach terasa seperti senja raya yang lembut.
Jika Nuri Kurung membawa aura manis dan sentimental, Aimee Kurung dari koleksi GlamLuxe ’26 pula adalah definisi elegan yang tenang. Aimee Kurung adalah kurung moden dengan garis leher bulat yang kemas dihiasi piping halus.
Lengan puff dengan flounce memberi sentuhan feminin yang lembut, sementara sulaman net di bahagian dada dihiasi manik tangan yang memantulkan cahaya secara halus. Sulaman floral dengan manik juga menghiasi sisi dan bahagian bawah kurung, menjadikan keseluruhan rekaan nampak sangat mewah tanpa terasa berat.
Material chiffon memberi jatuhan yang sangat cantik ketika berjalan. Warna Soft Tan pula adalah pilihan yang bijak kerana ia neutral tetapi tetap mempunyai aura sophisticated.

Untuk gaya yang lebih menyerlah, tudung chiffon warna champagne atau muted gold akan menaikkan aura glam kurung ini.
Anting-anting kecil seperti pearl studs atau kristal halus memberi kilauan elegan tanpa mengganggu sulaman, manakala beg clutch melengkapkan penampilan.
Tahun 2026 mungkin mengingatkan kita gaya terbaik ialah gaya yang jujur dengan siapa kita.











