SELAMA empat tahun khabar angin tidak masuk akal mengenai wanita pertama Perancis, Brigitte Macron seorang lelaki terus tersebar.
Tuduhan mengaibkan itu menyebabkan Presiden Perancis, Emmanuel Macron dan isterinya mengambil tindakan undang-undang, termasuk mengemukakan bukti fotografi serta saintifik di mahkamah Amerika Syarikat (AS) bagi membuktikan Brigitte merupakan wanita.
Bekas pengulas untuk saluran konservatif AS, The Daily Wire, yang mempunyai jutaan pengikut di media sosial, Candace Owens, berulang kali mempromosikan pandangannya mengenai jantina Brigitte.
Pada Mac 2024, beliau mendakwa sanggup mempertaruhkan seluruh reputasi profesionalnya terhadap tuduhan tersebut.
Dakwaan itu bermula di ruang dalam talian yang bersifat picisan beberapa tahun lalu, khususnya melalui video YouTube pada 2021 oleh dua penulis blog Perancis, Amandine Roy dan Natacha Rey.
Pasangan Macron awalnya memenangi kes fitnah di Perancis terhadap Roy dan Rey pada 2024, namun keputusan itu dibatalkan di peringkat rayuan pada 2025 atas alasan kebebasan bersuara, bukan kerana dakwaan tersebut terbukti benar.
Julai tahun lalu, pasangan Macron memfailkan saman terhadap Owens di AS.
Saman itu mendakwa beliau mengabaikan semua bukti boleh dipercayai yang menafikan dakwaan, sebaliknya terus memberi ruang kepada ahli teori konspirasi dan individu pernah menyebarkan fitnah.
Dalam kes fitnah di AS yang melibatkan tokoh awam, plaintiff perlu membuktikan wujud unsur ‘niat jahat sebenar’, iaitu defendan sedar maklumat yang disebarkan adalah palsu atau bertindak dengan sikap tidak peduli terhadap kebenaran.
Bukan hanya di AS, Brigitte turut terpalit dengan gangguan siber di Perancis. Januari lalu, 10 individu didapati bersalah kerana membuat komen berniat jahat mengenai jantina dan seksualiti Brigitte, selain menyamakan umur beliau dengan Macron sebagai pedofilia.
KESIHATAN MEROSOT
Teori konspirasi yang mendakwa Brigitte, 72, adalah transgender tersebar sejak Macron, 48, mula memegang jawtaan presiden pada 2017.

Anak perempuan Brigitte, Tiphaie Auziere, 41, memberitahu mahkamah Perancis pada 28 Oktober dakwaan tidak berasas mengenai isu jantina itu menjejaskan kesihatan ibunya.
“Dia sentiasa perlu berhati-hati dengan apa yang dipakai dan cara dia membawa diri kerana sedar imejnya boleh diputarbelitkan,” kata Auziere.
Beliau berkata, penyebaran semula maklumat palsu itu menyebabkan ‘kemerosotan’ terhadap kesihatan ibunya.
Brigitte memberitahu penyiasat khabar angin tersebut memberi kesan besar ke atas dirinya dan keluarga, terutama cucunya, yang diberitahu nenek mereka adalah seorang lelaki.
Sebelum ini, Brigitte memberitahu saluran televisyen Perancis, TF1, beliau berharap perjuangannya menentang buli siber dapat menjadi contoh kepada orang lain.
“Surat beranak bukan perkara remeh. Ia melibatkan seorang bapa atau ibu yang pergi mendaftarkan anak mereka, yang menyatakan siapa dia, sama ada lelaki atau perempuan.
“Saya ingin membantu remaja melawan gangguan, dan jika saya tidak menjadi contoh, ia akan menjadi sukar,” katanya.
Pasangan Macron menyifatkan skala serangan dalam talian kini terlalu besar untuk diabaikan.
Walaupun tindakan itu berisiko mendedahkan kehidupan peribadi mereka di mahkamah AS, mereka memutuskan untuk menentang pengikut teori konspirasi berkenaan.
Pasangan itu berkahwin pada 2007, ketika Presiden Perancis itu berusia 29 tahun, manakala Brigitte berada di pertengahan 50-an.











