Ilustrasi Nurhayati hidupkan nostalgia di atas sampul raya

Ilustrasi Nurhayati hidupkan nostalgia di atas sampul raya

TEMA nostalgia kampung sering menjadi pilihan Nurhayati.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Bagi sesetengah orang, sampul raya mungkin sekadar sampul kecil untuk mengisi duit raya.

Namun bagi Nurhayati Nordin, 30, setiap sampul kecil itu membawa makna yang jauh lebih besar.

“Sampul raya walaupun kecil, ia simbol kegembiraan dan tradisi. Saya suka bila karya saya boleh menjadi sebahagian daripada memori orang lain setiap kali Aidilfitri,” katanya kepada Seri.

Nurhayati mempunyai latar belakang dalam bidang seni dan pernah bekerja sebagai arkitek sebelum memberi fokus sepenuhnya kepada dunia ilustrasi sebagai pengasas kreatif Yattlukis Studio.

Berasal dari Selangor dan kini menetap di Johor Bahru, dia tidak pernah menyangka projek kecil ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) itu menjadi titik tolak perjalanan kreatifnya.

“Semuanya bermula ketika waktu PKP. Waktu itu saya menghasilkan poskad raya sebagai projek kecil untuk berkongsi kegembiraan kerana tidak dapat pulang ke kampung,” katanya.

Menurutnya, sambutan yang diterima di luar jangkaan.

SETIAP rekaan mempunyai cerita tersendiri, namun Nurhayati paling bangga dengan rekaan ‘Riuh Raya’.

“Tak sangka sambutannya sangat menggalakkan dan ramai yang mula bertanya sama ada saya ada menghasilkan sampul raya sekali,” katanya.

Sejak itu, dia mula mencuba untuk melukis rekaan sampul raya sendiri dan terus konsisten menghasilkan koleksi baharu setiap tahun. Kini, sudah masuk tahun kelima dia menghasilkan rekaan sampul raya.

Rekaan pertamanya bertajuk “Oh Kampongku!” yang diinspirasikan daripada kenangan kampung halaman sendiri.

Dia melukis rumah tradisional Melayu di atas bukit yang digelar Rumah Pak Lang Bukit, kolam ikan Pak Ngah, dusun arwah Wan serta Jalan Bukit Tangga di Negeri Sembilan.

Walaupun ringkas, rekaan tersebut sangat sentimental kerana menggambarkan suasana kampung yang dirindukan ketika tidak dapat pulang beraya.

Luang masa waktu malam

Sebagai ibu dan usahawan kreatif, Nurhayati memperuntukkan waktu malam untuk berkarya, terutama selepas anaknya tidur.

Menurutnya, suasana yang lebih tenang pada waktu itu membolehkannya memberi fokus sepenuhnya kepada proses melukis.

“Melukis bagi saya seperti terapi. Ia ruang untuk saya ‘pause’ seketika daripada rutin harian,” katanya.

Biasanya, satu rekaan mengambil masa beberapa hari hingga seminggu untuk disiapkan, bergantung kepada tahap perincian.

Prosesnya bermula dengan lakaran kasar sebelum menentukan mood warna yang sesuai.

Dia juga memilih untuk melukis secara digital kerana lebih fleksibel dari segi warna, tekstur dan kemasan akhir untuk percetakan.

Elemen yang dimasukkan

Inspirasi rekaannya banyak datang daripada alam semula jadi, seni bina serta kenangan zaman kanak-kanak.

Tema nostalgia kampung dan suasana raya menjadi pilihan utama dalam setiap koleksinya.

“Saya sangat gemar memasukkan elemen suasana raya di kampung seperti rumah tradisional, keindahan alam semula jadi dan kanak-kanak bermain bunga api kerana ia membawa rasa nostalgia,” katanya.

Nurhayati juga gemar menyelitkan elemen kucing sebagai sentuhan peribadi yang ceria dan dekat dengan jiwa orang ramai.

Dari segi warna, dia cenderung menggunakan tona pastel dan lembut seperti hijau sage, merah jambu lembut dan biru lembut.

NURHAYATI memperuntukkan waktu malam untuk berkarya, terutama selepas anaknya tidur.

Gaya pilihannya lebih kepada moden dengan sentuhan klasik dan elemen tradisional agar kekal relevan dengan identiti raya.

Bagi Nurhayati, pemilihan warna yang harmoni, susun atur yang kemas serta jenis kertas dan kemasan cetakan berkualiti mampu menjadikan sesuatu rekaan kelihatan eksklusif.

Cabaran

Walaupun kelihatan menyeronokkan, proses mereka bentuk bukanlah sesuatu yang mudah.

Cabaran terbesar bagi Nurhayati ialah memastikan rekaan kelihatan unik tetapi masih mengekalkan identiti raya.

Ada kalanya lakaran yang kelihatan cantik tidak menjadi apabila diwarnakan. Dia juga mengakui pernah berdepan dengan ‘block’ idea.

Untuk mengatasi masalah itu, dia akan berhenti seketika, keluar berjalan atau menonton filem animasi seperti karya terbitan Studio Ghibli bagi mendapatkan inspirasi semula.

Namun, dia juga menerima kritikan dengan hati terbuka dan menjadikannya ruang untuk penambahbaikan.

Pengalaman juga banyak membantunya membuat keputusan lebih cepat, terutama dalam memilih warna dan susun atur.

Sumber pendapatan

Apa yang bermula sebagai hobi kini menjadi satu daripada sumber pendapatan buat Nurhayati.

Dia menjual sampul raya pada harga mampu milik, namun tetap memberi nilai yang mahal kepada karya dan usaha yang dicurahkan.

“Sambutan yang diterima sangat menggalakkan sehingga pernah mencecah jualan lima angka. Ia satu pencapaian yang sangat membanggakan buat perniagaan kecil seperti saya,” katanya.

Sokongan pelanggan terawal yang memberikan maklum balas positif menjadi titik keyakinan untuk Nurhayati meneruskan penjualan kepada orang ramai.

Pencapaian

Setiap rekaan mempunyai cerita tersendiri, namun dia paling bangga dengan rekaan ‘Riuh Raya’.

Konsepnya diinspirasikan daripada idea puzzle di mana setiap sampul mempunyai bahagian ilustrasi berbeza dan apabila digabungkan membentuk satu gambaran penuh karya tersebut.

Reaksi keluarga dan rakan-rakan juga sangat positif dan sentiasa memberi sokongan.

“Mereka sangat menyokong dan bangga apabila melihat hasil karya saya mendapat sambutan,” katanya.

Antara kenangan paling manis ialah apabila anaknya sendiri teruja melihat hasil karyanya.

Lebih membanggakan, hobinya itu turut membuka peluang kolaborasi bersama jenama tempatan seperti Secret Recipe bagi kempen Raya 2026 dan emart24 untuk Raya 2025.

“Alhamdulillah, kolaborasi bersama jenama besar ini merupakan satu pencapaian besar dalam perjalanan ilustrasi saya,” katanya.

Bagi Nurhayati, kepuasan sebenar bukan sekadar pada angka jualan, tetapi apabila hasil karyanya menjadi sebahagian daripada memori orang lain setiap kali Aidilfitri menjelma.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN