Bunyi kucing mengiau di lorong sunyi, tubuhnya kurus dan kotor, menjadi pemandangan yang semakin biasa di kawasan perumahan.
Ada yang sedih simpati, tidak kurang juga ada yang merungut kerana kehadirannya dianggap mengganggu.
Namun, di sebalik situasi itu, wujud satu persoalan besar iaitu bagaimana kucing yang suatu ketika dahulu jinak dan manja di rumah boleh berakhir sebagai haiwan terbiar?
Tindakan membuang kucing ke kawasan asing sering dianggap sebagai jalan mudah bagi menyelesaikan masalah.
Ada yang beranggapan ia satu cara untuk memberi peluang hidup kepada haiwan tersebut.
Doktor perubatan veterinar, Dr. Salehatul Khuzaimah Mohamad Ali berkata, anggapan itu jauh tersasar daripada realiti sebenar kebajikan haiwan.

“Kucing ialah haiwan yang sangat bergantung kepada kawasan. Mereka mengenali persekitaran melalui bau, bunyi dan rutin harian. Apabila tiba-tiba dipindahkan ke tempat asing, kucing akan mengalami tekanan yang sangat tinggi,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Keadaan tertekan itu menyebabkan kucing menjadi keliru, takut dan tidak tahu di mana hendak berlindung atau mencari makanan.
Dalam situasi sebegini, kucing boleh hilang selera makan, mengalami muntah atau cirit-birit, malah sistem imun turut menjadi lemah sehingga mudah dijangkiti penyakit.
Lebih membimbangkan, kucing yang dibuang terdedah kepada pelbagai risiko seperti pergaduhan dengan kucing lain, serangan anjing, kemalangan jalan raya serta kemungkinan dianiaya oleh individu tidak bertanggungjawab.
Ada juga yang bersembunyi terlalu lama kerana ketakutan sehingga akhirnya kebuluran.
“Hakikatnya, membuang kucing bukanlah satu penyelesaian, tetapi satu bentuk pengabaian yang boleh mengancam nyawa,” katanya.
Tekanan juga penderitaan
Dalam konteks kebajikan haiwan, tekanan atau stres diiktiraf sebagai satu bentuk penderitaan.
Prinsip antarabangsa seperti konsep Five Freedoms menegaskan bahawa haiwan berhak bebas daripada ketakutan dan tekanan (freedom from fear and distress).
Menurut Dr. Salehatul Khuzaimah, stres bukan sekadar emosi sementara. Ia mencetuskan perubahan hormon seperti peningkatan kortisol yang boleh melemahkan sistem imun, mengganggu selera makan dan menjejaskan tingkah laku haiwan.
Jika berpanjangan, kesannya boleh menjadi serius terhadap kesihatan fizikal dan mental.
“Penderitaan haiwan bukan hanya apabila ada luka atau kecederaan. Tekanan berterusan juga adalah satu bentuk penderitaan yang perlu dipandang serius,” katanya.
Risiko tinggi haiwan terbiar
Haiwan yang dibuang berdepan risiko besar terhadap keselamatan dan kesihatan mereka, bermula daripada kebuluran dan dehidrasi kerana haiwan peliharaan tidak biasa mencari makanan sendiri.
Penyakit berjangkit mudah merebak apabila sistem imun menurun akibat tekanan, ditambah pula dengan risiko jangkitan daripada haiwan lain.
Perebutan kawasan dan sumber makanan pula boleh menyebabkan kecederaan serius.
Kemalangan jalan raya juga menjadi ancaman besar, terutama apabila haiwan yang keliru dan tertekan berkeliaran tanpa arah.
Tidak kurang juga risiko penderaan atau penganiayaan oleh pihak yang tidak mempunyai empati terhadap haiwan terbiar.
“Secara keseluruhannya, membuang haiwan bukan sekadar melepaskan, tetapi sebenarnya mendedahkan mereka kepada risiko kematian yang tinggi,” katanya.
Tanggungjawab bersama melindungi
Perlindungan kebajikan haiwan bukan hanya tanggungjawab pemilik, tetapi tanggungjawab bersama masyarakat.
Antara langkah utama ialah mengamalkan pemilikan bertanggungjawab dengan memastikan haiwan diberi makanan mencukupi, rawatan veterinar, vaksinasi serta pemandulan bagi mengawal populasi.
Masyarakat juga tidak seharusnya berdiam diri jika melihat pengabaian atau penderaan.
Laporan boleh dibuat kepada pihak berkuasa agar tindakan sewajarnya diambil.
Selain itu, pendidikan dan kesedaran tentang kebajikan haiwan perlu diperkasa, termasuk menggalakkan pengambilan haiwan terbiar secara sah dan beretika.
Katanya, salah faham paling biasa dalam kalangan masyarakat ialah menganggap penderaan haiwan hanya berlaku apabila ada kecederaan fizikal yang jelas seperti dipukul atau dilukai.
“Kekejaman juga merangkumi pengabaian seperti tidak memberi makan dan minum yang mencukupi, tidak mendapatkan rawatan apabila sakit, membiarkan haiwan dalam persekitaran sempit atau kotor, serta membuang haiwan tanpa penjagaan,” katanya.
Beliau menegaskan empati adalah asas utama dalam memastikan kebajikan haiwan terus terpelihara.
“Haiwan domestik bergantung sepenuhnya kepada manusia untuk kelangsungan hidup. Apabila masyarakat memilih untuk bertindak dengan ilmu dan ihsan, kebajikan haiwan akan lebih terjamin dan konflik dapat dikurangkan,” katanya.










