Bersatu di penghujung Ramadan

Bersatu di penghujung Ramadan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Ramadan hadir sebagai bulan penuh kebaikan. Ia bukan sekadar bulan menahan lapar dan dahaga, tetapi bulan yang mengajak manusia kembali memperbaiki diri, melembutkan hati dan merapatkan kembali hubungan yang renggang.

Dari semangat Ramadan itulah, kisah pasangan Nizam dan Ainol, (bukan nama sebenar) dikongsikan bagi memberi pengajaran tentang kemaafan dan peluang kedua dalam kehidupan.

Apa yang berlaku dalam hidup pasangan ini, menjadi bukti pengertian Ramadan itu terlalu luas. Kisah mereka dikongsikan sendiri Nizam dan Ainol dalam pertemuan yang diatur baru-baru ini.

Dengan penuh kejujuran, pasangan ini mengimbas kembali perjalanan yang pernah mereka lalui. Daripada detik awal perkenalan ketika sama-sama menuntut di universiti, saat mereka jatuh cinta dan memilih untuk mendirikan rumah tangga sehinggalah ujian besar yang membawa kepada perpisahan.

Menurut Ainol, mereka berpisah pada Julai 2024 setelah hampir 10 tahun berumahtangga. Bukan kerana tiada cinta tetapi banyak salah faham dan memendam rasa. Selepas perceraian, anak-anak diletakkan di bawah jagaan Ainol, manakala Nizam tetap diberi peluang untuk bertemu mereka mengikut jadual ditetapkan.

Walaupun rumah tangga mereka retak, tanggungjawab sebagai ibu bapa tetap dijalankan dengan kesedaran. Namun setiap kali melihat wajah anak-anak mereka yang masih kecil, Danish, Iwan dan Fika,(bukan nama sebenar), masing-masing berusia 9, 7 dan 4 tahun terasa ada ruang kosong yang sukar diganti.

Selama lapan bulan, masing-masing menyedari perpisahan bukanlah penyelesaian sebenar. Dalam tempoh itu memberi ruang untuk mereka bermuhasabah diri dan memahami rumah tangga bukan untuk diri mereka sahaja tetapi juga kebahagiaan anak-anak.

Di penghujung Ramadan tahun lalu mereka akhirnya mengambil keputusan untuk bersatu kembali.

“Kami memilih untuk kembali bersatu dalam bulan Ramadan bukan secara kebetulan, tetapi ada sebab yang sangat bermakna di sebaliknya.

“Bulan Ramadan menjadi saat dan masa yang tepat untuk kami saling memaafkan, muhasabah diri dan memperbaiki diri.

“Bukan mudah untuk kembali, tetapi demi anak-anak yang masih kecil kami memilih untuk memberi peluang kedua kepada perkahwinan,” ujar Ainol.

Mengimbas kisah lalu, kata Ainol pertengahan Julai, kira-kira dua tahun lalu menjadi detik paling sukar dalam hidup mereka. Setelah hampir 10 tahun melayari bahtera perkahwinan, akhirnya mereka memilih untuk berpisah.

Bukan mereka tidak saling mencintai, tetapi terlalu banyak perkara yang dirasakan tidak sehaluan. Pertengkaran yang dahulunya mudah untuk dilerai, menjadi besar dan berpanjangan.

Masing-masing berasakan diri tidak difaham, ego semakin meninggi dan sabar makin menipis. Sehinggalah pada suatu malam, dalam keadaan emosi yang tidak terkawal, mereka akhirnya membuat keputusan untuk menamatkan hubungan. Selepas perceraian itu, kata Ainol perubahan paling besar sebenarnya dirasai oleh anak-anak.

Dahulu setiap pagi mereka melihat ibu dan bapa di rumah yang sama. Bapa mereka keluar bekerja, manakala ibu menguruskan rumah dan menghantar ke sekolah. Namun selepas perceraian itu, segalanya berubah perlahan-lahan.

Ada hari mereka bangun pagi dan mendapati bapa tiada di rumah. Ada hari lain pula, mereka hanya bersama bapa, tetapi ibu tiada di sisi. Menurut Ainol, pada awalnya anak-anak tidak bertanya banyak. Namun lama kelamaan, persoalan mulai timbul di hati mereka.

Pernah suatu hari kata Ainol, anak sulungnya Danish bertanyakan tentang bapa mereka. Soalan itu membuatkannya terdiam seketika. Dia tidak tahu bagaimana mahu menjelaskan perkara yang terlalu rumit untuk difahami oleh anak kecil.

Walaupun kedua-duanya tetap memberi kasih sayang, namun anak-anak masih merasakan ada sesuatu yang hilang.

“Saya tahu anak-anak mungkin tidak memahami sepenuhnya apa itu perceraian, tetapi mereka dapat merasakan perubahan yang berlaku. Anak-anak hanya mahu kami kembali seperti dahulu,” ujar Ainol.

Kekeliruan dan rasa simpati kepada anak-anak itulah perlahan-lahan mengetuk pintu hati mereka mula berfikir semula tentang keputusan untuk kembali bersama. Mengimbas kembali detik pertama pertemuan sebelum ujian itu berlaku, mereka merupakan rakan sekuliah di salah sebuah universiti di selatan tanah air.

Pada awalnya hanya sekadar kenalan biasa. Perbualan ringkas membawa kepada persahabatan yang semakin rapat. Setelah masing-masing menamatkan pengajian dan mendapat pekerjaan, mereka memberanikan diri untuk membawa hubungan itu lebih serius.

Mereka akhirnya memilih untuk mendirikan rumah tangga dengan restu kedua ibu bapa. Pada awal perkahwinan, kehidupan mereka dipenuhi dengan harapan dan impian. Melengkapkan lagi kehidupan pasangan ini, mereka dikurniakan tiga anak.

Namun seperti kebanyakan pasangan lain, perjalanan rumah tangga tidak selalunya mudah. Tanggungjawab yang semakin besar, tekanan hidup dan perbezaan cara fikir kadangkala menimbulkan perselisihan.

Menurut Ainol, setiap kali Ramadan ia membawa kembali ingatan tentang bagaimana semuanya bermula. Akhirnya mereka sedar, jika dahulu mereka boleh memilih untuk bersatu kerana cinta, mungkin mereka juga boleh memilih untuk kembali bersama kerana kasih sayang, keinsafan dan harapan untuk memperbaiki kesilapan.

“Anak-anak menjadi penghubung yang tidak pernah putus. Setiap kali bertemu untuk mengambil dan menghantar anak, ada rasa yang sukar digambarkan,” imbasnya.

Menurut Ainol, pada suatu hari di penghujung Ramadan tahun lalu, mereka mereka membuat keputusan memberi peluang kedua kepada perkahwinan itu.

“Kami lakukan bukan semata-mata kerana anak-anak, tetapi kerana masih ada sisa kasih dan harapan untuk membina semula apa yang pernah runtuh,” ujar Ainol.

Keputusan itu bukan dibuat secara terburu-buru tetapi setelah melalui banyak perbincangan dan muhasabah diri. Kini tanpa mereka sedari, tahun ini sudah masuk tahun kedua mereka kembali membina rumah tangga yang pernah retak.

Daripada kisah Nizam dan Ainol banyak pengajaran yang boleh diambil terutama dalam sudut rumah tangga, keluarga dan kehidupan. Kedua-duanya belajar untuk memaafkan dan membuka peluang kedua kepada hubungan mereka. Sebagaimana Firman Allah SWT, “Allah mengetahui bahawa kamu tidak dapat menahan dirimu sendiri, tetapi Dia menerima taubatmu dan memaafkanmu”- ( Al-Baqarah :187).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN