SOALAN
Bagaimana saya boleh menasihati bapa yang tidak berpuasa? Bangun tidur cari rokok kemudian makan sarapan depan anak-anak yang berpuasa. Tiada rasa malu pun dekat anak-anak. Ibu pernah tegur, bapa terus melenting.
Anak kecewa
JAWAPAN
Ramadan adalah bulan yang mulia yang diraikan bersama seisi keluarga untuk mencari keredaanNya. Namun, apabila ketua keluarga yang sepatutnya menjadi contoh tidak berpuasa dan bersikap santai makan di hadapan anak-anak yang sedang berpuasa, ia boleh menimbulkan rasa kecewa serta kekeliruan dalam diri mereka.
Anak-anak bukan sahaja melihat perbuatan, malah memerhati dan belajar daripada sikap serta teladan ibu bapa. Oleh itu, teguran juga perlu disampaikan dengan penuh hikmah. Berikut beberapa tip yang boleh membantu anda.
Pilih masa sesuai – Elak menegur ketika ayah sedang marah, lapar atau letih. Pilih waktu yang tenang seperti selepas solat atau ketika suasana rumah lebih santai. Masa yang sesuai membuatkan ayat nasihat lebih mudah diterima.
Libatkan ibu sebagai sokongan – Bincang dahulu dengan ibu untuk mencari cara yang lebih sesuai dan tidak mencetuskan konflik. Pendekatan bersama lebih strategik dan kurang menimbulkan salah faham.
Gunakan nada lembut – Bercakaplah dengan sopan tanpa sindiran atau nada yang tinggi. Elakkan membandingkan dengan orang lain kerana ia boleh menimbulkan menyebabkan ayah tersinggung dan marah. Nada yang lembut lebih berkesan daripada kata-kata yang keras.
Fokus pada nilai, bukan kesalahan – Jangan jadikan isu ini untuk bertengkar. Tekankan nilai kelebihan bulan ramadan kepada ayah seperti sikap menghormati dan menjadi tauladan yang baik untuk anak-anak. Tujuannya adalah untuk menjaga suasana keluarga, bukan untuk menyalahkan.
Kesan kepada anak – Beritahu dengan lembut yang anak-anak sedang memerhati dan belajar daripada ayah. Tingkah laku ayah boleh mempengaruhi cara mereka melihat bulan Ramadan dan disiplin diri. Pendekatan ini lebih kepada kesedaran, bukan kritikan.
Berdoa dan tawakal – Perubahan kadang-kadang berlaku perlahan. Teruskan berpuasa, kekalkan akhlak yang baik dan sentiasa berdoa agar hati ayah terbuka. Contoh yang baik sering memberi kesan yang lebih besar daripada kata-kata.
Kesimpulannya, menegur bapa bukan bermaksud melawan, tetapi tanda kasih sayang dan keprihatinan seorang anak. Gunakan pendekatan yang lembut, hormat dan penuh hikmah. Semoga dengan cara yang baik, hati ayah akan lebih terbuka dan hubungan keluarga tetap terjaga dengan penuh kasih sayang.










