Selamatkan poket daripada godaan raya

Selamatkan poket daripada godaan raya

GAMBAR HOASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SETIAP tahun menjelang Ramadan, satu trend dapat dilihat dalam kalangan rakyat Malaysia apabila ada yang mula membeli barangan keperluan raya lebih awal.

Alasan mereka lazimnya tidak mahu bersesak di pasar raya, tidak mahu rasa penat atau tidak mahu berebut-rebut. Niatnya nampak baik kerana mahu merancang awal, menyusun belanja dengan bijak dan mengelak tekanan fizikal ketika Ramadan.

Namun, realitinya sering berbeza. Apabila Ramadan tiba, banyak pusat beli-belah mula menawarkan pelbagai promosi dan diskaun menarik.

Kuih-muih, biskut raya, pakaian baharu dan pelbagai barangan dekorasi tiba-tiba menjadi lebih murah atau hadir dengan tawaran berganda yang memikat. Di sinilah ujian sebenar nafsu membeli muncul.

Golongan yang sebelum ini bertekad untuk ‘selesaikan’ kelengkapan raya awal, atau sekadar menyediakan barangan asas, tiba-tiba tidak mampu menahan diri. Mereka mula menambah barangan ke troli, membeli lagi kuih-muih, malah koleksi baju raya yang pada awalnya tidak dirancang.

Tawaran menarik dan suasana meriah di pusat beli-belah seolah-olah memanggil mereka untuk berbelanja lebih daripada yang diperlukan.

Fenomena ini bukan sahaja menunjukkan manusia mudah terpengaruh dengan harga menarik dan promosi, tetapi juga memperlihatkan perancangan awal kadangkala kalah kepada nafsu membeli.

Nampaknya, walaupun ada niat untuk bijak, godaan barangan raya yang ditawarkan secara besar-besaran sering memenangi hati ramai.

Di sinilah kita boleh renungkan makna sebenar puasa. Bukan sekadar menahan lapar dan dahaga, tetapi juga menahan diri daripada melakukan perbuatan yang boros atau berlebihan.

Ramadan sepatutnya menjadi medan latihan disiplin diri, termasuk dalam aspek kewangan dan pengurusan keperluan. Mengawal perbelanjaan, membeli mengikut keperluan sebenar, dan mengelak daripada tergoda dengan promosi yang tidak penting adalah sebahagian daripada latihan menahan nafsu.

Sikap boros semasa Ramadan juga boleh memberi impak jangka panjang, seperti pembaziran makanan dan tekanan kewangan selepas hari raya. Justeru, puasa bukan sahaja mengajar kesabaran dan kebertanggungjawaban terhadap diri sendiri, tetapi juga terhadap keluarga dan masyarakat.

Kesimpulannya, trend membeli awal keperluan raya di Malaysia mencerminkan niat baik, namun sering tergugat apabila Ramadan menjelma dengan tawaran menarik.

Ini mengingatkan kita ujian puasa bukan sahaja pada lapar dan dahaga, tetapi pada kemampuan menahan diri daripada nafsu, termasuk nafsu membeli.

Latihan menahan diri ini jika dipraktikkan dengan betul, akan melahirkan masyarakat yang lebih bijak, berhemah dan menghargai setiap rezeki yang dimiliki.

-Adlinahani Khalil adalah Pengarang Berita Gaya Utusan Malaysia

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN