Rawat dahulu, jangan terus ‘tidurkan’ kucing alami sawan

Rawat dahulu, jangan terus ‘tidurkan’ kucing alami sawan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Sawan melibatkan haiwan peliharaan seperti kucing sering mencetuskan kebimbangan dalam kalangan pemilik haiwan, terutama apabila ia berlaku secara tiba-tiba tanpa sebarang tanda amaran.

Pakar neurologi veterinar dari Fakulti Perubatan Veterinar Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr. Intan Nur Fatiha Shafie berkata, sawan sebenarnya bukanlah satu penyakit khusus, sebaliknya merupakan gejala kepada gangguan neurologi yang melibatkan otak serta pelbagai jenis penyakit lain.

Dr. Intan Nur Fatiha Shafie

“Sawan ni sebenarnya bukan penyakit. Ia adalah simptom bagi gangguan otak. Maksudnya, ada sesuatu yang tidak seimbang berlaku pada sistem neurologi,” katanya kepada Seri.

Otak manusia dan haiwan dikawal oleh sistem isyarat elektrik yang kompleks. Dalam keadaan normal, terdapat mekanisme ‘checks and balances’ yang mengawal penghasilan serta penstabilan isyarat elektrik tersebut.

“Dalam otak, ada sistem yang menghasilkan isyarat elektrik dan ada sistem yang mengawalnya. Kalau keseimbangan antara kedua-dua sistem ini terganggu, ia boleh menyebabkan sawan,” katanya.

Apabila ketidakseimbangan berlaku, kucing boleh mengalami kejang otot, pergerakan badan yang tidak terkawal serta perubahan tahap kesedaran.

Menurutnya, mekanisme sawan pada kucing hampir sama dengan manusia kerana kedua-duanya berpunca daripada gangguan isyarat elektrik dalam otak.

Namun, kajian genetik serta klasifikasi penyebab sawan pada manusia jauh lebih berkembang berbanding haiwan.

“Cara berlaku lebih kurang sama, tapi pada manusia kajian genetik dan klasifikasi penyebab lebih meluas. Dalam kucing, penglibatan genetik masih belum dibuktikan sepenuhnya,” jelasnya.

Tiga kategori utama

Dr. Intan Nur Fatiha berkata, sawan pada kucing boleh dibahagikan kepada tiga kategori utama.

Kategori paling lazim ialah idiopathic epilepsy atau sawan tanpa punca yang diketahui.

“Satu daripada kategori paling lazim ialah sawan tanpa punca yang dikenal pasti. Tiada jangkitan, trauma atau penyakit khusus ditemui, namun sawan tetap berlaku,” katanya.

Kategori kedua ialah structural epilepsy, iaitu sawan akibat masalah struktur otak seperti jangkitan, kecacatan sejak lahir, kanser, radang otak trauma dan kondisi degeneratif.

Menurutnya, trauma seperti dilanggar kenderaan atau jatuh dari tempat tinggi juga boleh mencetuskan sawan.

“Dalam sesetengah kes, kucing tidak mengalami sawan ketika awal menerima rawatan, tetapi kecederaan kepala yang serius boleh mencetuskan sawan pada peringkat seterusnya,” katanya.

Kategori ketiga yang lebih jarang berlaku berpunca daripada masalah serius pada organ dalaman seperti hati atau buah pinggang.

Sawan boleh berlaku pada mana-mana peringkat umur, namun kes paling kerap ditemui adalah dalam lingkungan tiga hingga enam tahun.

“Sawan boleh berlaku seawal enam bulan hingga usia belasan tahun, tetapi paling lazim antara tiga hingga enam tahun,” katanya.

Dari segi tempoh, kebiasaannya episod sawan berlangsung antara beberapa saat hingga lima minit.

Menurut beliau, sawan merupakan keadaan yang boleh mengancam nyawa tanpa mengira sama ada ia kali pertama berlaku atau episod berulang.

“Ketika sawan berlaku, jantung berisiko untuk berhenti, menjadikannya keadaan yang boleh mengancam nyawa,” katanya.

Selepas episod sawan, kucing juga berisiko mengalami komplikasi seperti tekanan darah tinggi, kecederaan pada mulut dan gigi akibat kejang, serta gangguan kadar degupan jantung.

“Setiap komplikasi yang timbul perlu diberikan rawatan segera. Oleh itu, bagi kes pertama kali, pemilik perlu membawa kucing ke hospital tanpa berlengah,” katanya.

Rawatan dan kawalan jangka panjang

Pendekatan rawatan bergantung kepada punca sawan. Jika melibatkan jangkitan atau kecacatan struktur otak, rawatan akan ditumpukan kepada masalah tersebut. Secara amnya, ubat antikejang diberikan untuk mengawal episod sawan.

“Antara ubat yang lazim digunakan ialah fenobarbiton, keppra, gabapentin dan diazepam. Pemilihan ubat bergantung kepada keadaan serta keperluan kucing tersebut,” katanya.

Namun, sawan lazimnya tidak boleh sembuh sepenuhnya.

Apabila kucing mengalami sawan, kebiasaannya ia berisiko untuk berulang sepanjang hayat.

Ubat yang diberikan berfungsi untuk mengawal kekerapan, memanjangkan jarak antara episod dan memendekkan tempoh sawan,

“Biasanya rawatan diteruskan selama satu hingga dua tahun. Jika tiada episod sawan berlaku dalam tempoh itu, dos ubat mungkin dikurangkan secara berperingkat,” jelasnya.

Namun, pengalaman klinikal menunjukkan bahawa kebanyakan kucing akan kembali mengalami sawan apabila dos ubat dikurangkan.

“Lebih kurang 90 peratus kes menunjukkan bahawa apabila dos ubat dikurangkan, sawan akan kembali. Oleh itu, majoriti kucing perlu mengambil ubat sepanjang hayat,” katanya.

Antara kesan sampingan ubat termasuk mengantuk, peningkatan selera makan, kerap minum dan kerap kencing.

Kesan sampingan ini biasanya paling ketara dalam dua minggu pertama, sebelum kucing mula menyesuaikan diri dengan ubat.

Selain itu, kerana ubat diproses oleh hati, pemantauan melalui ujian darah perlu dilakukan secara berkala.

Bagi kucing yang menghidap idiopathic epilepsy, kebanyakan akan kembali normal selepas episod sawan.

“Kucing hanya tidak normal semasa episod sawan sahaja. Selepas itu, dia boleh melompat, makan, dan aktif seperti biasa,” katanya.

Bagi kes yang melibatkan kecacatan otak atau trauma teruk, kucing mungkin tidak kembali sepenuhnya normal, tetapi masih boleh hidup dengan baik dan menjalani rutin harian.

Tamatkan hayat bukan pilihan pertama

Mengulas tentang eutanasia, beliau berkata, tindakan mematikan haiwan bukanlah pilihan utama dalam rawatan sawan.

“Biasanya kami akan cuba merawat dulu selagi pemilik mampu. Eutanasia hanya dipertimbangkan sekiranya kucing menderita oleh kerana sawan yang tidak dapat dikawal serta tidak bertindak balas kepada ubat-ubatan yang diberikan,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN