Lebih empat dekad terpisah, Ramadan jadi titik pertemuan dua beradik

Lebih empat dekad terpisah, Ramadan jadi titik pertemuan dua beradik

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Ramadan bukan sekadar bulan menahan lapar dan dahaga tetapi bulan yang melembutkan hati, membuka pintu kasih sayang dan menyambung silaturahim.

Di bulan ini juga mengajar seseorang mengenai kasih sayang bukan hanya pada yang ada di depan mata, tetapi yang telah lama terpisah. Demikian juga dengan kisah dua adik beradik yang terpisah sejak kecil akibat perceraian ibu bapa dikongsi Seri minggu ini.

Ramadan dua tahun lalu menjadi Ramadan paling bermakna dalam hidup mereka. Setelah hampir 48 tahun berpisah, bulan yang penuh rahmat itu akhirnya menjadi asbab dua beradik ini ditemukan semula.

Kisah dua beradik ini diceritakan sendiri oleh Hamiah, (bukan nama sebenar, dalam pertemuan diatur baru-baru ini.

Menurut Hamiah, ketika dia dan adiknya, Din (bukan nama sebenar) terpisah lebih empat dekad, dunia tidak seperti hari ini. Waktu itu mereka hanya anak kecil berusia 12 dan 10 tahun.

Tiada telefon bimbit, tiada media sosial .Tiada panggilan video yang boleh menghilangkan kerinduan.

“Dalam simpanan kami hanyalah sekeping gambar lama yang diberikan sebelum perpisahan. Gambar keluarga itulah yang menjadi mengubat kerinduan,” ujar Hamiah memulakan perbualan.

Dahulu kata Hamiah untuk mencari seseorang bukan perkara mudah. Berbeza hari ini katanya, dunia tanpa sempadan.

Menurut Hamiah, semasa usianya 17 tahun, dia pernah terfikir untuk mencari ibu dan adiknya tetapi setiap kali itu juga dia tidak tahu harus bermula dari mana.

Bapanya, Imran (bukan nama sebenar) terus bersikap hambar setiap kali dia bertanyakan tentang ibu dan adiknya. Lama-kelamaan, kehidupan memaksa dia fokus pada apa yang ada di depan mata.

Menurut Hamisah, lebih empat dekad bukan waktu yang singkat. Dalam tempoh itu membawa mereka melalui kehidupan yang berbeza. Dia sentiasa berdoa untuk bertemu dengan ibu dan Din.

Setiap kali masuk Ramadan, kerinduan dan keinginannya untuk mencari ibu dan adiknya itu bertambah. Akhirnya, dengan izin Allah, mereka dipertemukan semula. Menurut Hamiah, mereka memilih untuk bertemu pada hari ke-12 Ramadan dua tahun lalu.

Pertemuan itu sederhana.Namun memberi erti yang sangat besar kepada mereka.

“Ketika bertentang mata, hati saya benar-benar sebak dan terharu. Melihat seorang adik yang sebelum ini masih kecil sudah dewasa dan sudah dimamah usia,” ujar Hamiah.

Menyingkap kisah lalu, kata Hamiah, rumah ibu mereka di kampung menjadi saksi perpisahan yang tidak pernah diminta. Ketika kedua ibu bapa mereka memilih untuk berpisah, dunia Hamiah terasa runtuh.

Hamiah ketika itu sudah memahami pertengkaran yang sering berlaku antara ibu dan bapanya, namun belum cukup kuat untuk menerima hakikat perpisahan. Din pula hanya tahu satu perkara tidak mahu berpisah dengan Hamiah.

Namun keputusan telah dibuat dan hak perjagaan dibuat dengan persetujuan bersama. Hamiah mengikut bapanya, berpindah ke sebuah daerah di selatan tanahair. Manakala Din kekal tinggal bersama ibu di kampung halaman. di salah sebuah daerah di pantai timur. Menurut Hamiah, sejak hari dia melangkah pergi mengikut bapa, hatinya tidak pernah benar-benar tenang.

Pada awalnya, setiap malam dia menangis. Dia rindukan ibu yang selalu mengejutkannya sahur, tangan yang menyuapnya nasi ketika dia sakit. Dia rindukan Din yang menjadi temannya. Beberapa tahun kemudian, bapanya berkahwin lain. Bapa berkahwin dengan seorang janda anak dua. Rumah itu kembali riuh dengan suasana keluarga baru.

Pada awalnya dia sukar untuk menerima, namun dia belajar menerima ibu tiri.

“Saya pernah bertanya kepada bapa tentang ibu dan adik. Tetapi jawaban bapa menghampakan. Lama-kelamaan, saya berhenti bertanya. Bukan tidak peduli tetapi terlalu penat menyimpan harapan,” ujarnya.

Tahun demi tahun berlalu. Hamiah mula menyibukkan diri dengan pelajaran, pekerjaan, perkahwinan dan anak-anak. Kehidupan berjalan seperti keluarga lain.Tanpa sedar ingatan terhadap ibu dan adiknya tidak lagi datang begitu kerap. Namun kerinduan itu tidak pernah hilang. Menurut Hamiah, apabila mencecah usia persaraan tiga tahun lepas, kehidupannya berubah. Anak-anak sudah dewasa dan rumah kembali sunyi.

Menurut Hamiah kesibukan yang dulunya menjadi pelindung kepada emosinya tiada lagi. Dalam kesunyian itu, katanya keinginan untuk mencari ibu dan adik semakin kuat.
Perasaan ingin mencari mereka yang dulunya agak samar kini menjadi satu keperluan.

“Apabila saya menyatakan niat untuk mencari ibu dan adik, suami menyokong. Saya berasa masih ada tanggungjawab yang belum diselesaikan,” ujarnya.

Anak-anak yang mahir dengan teknologi turut membantu, mencari kenalan lama dan menyemak media sosial. Pada akhirnya, dia menerima mesej pertama daripada seorang wanita yang memperkenalkan dirinya sebagai Ema, (bukan nama sebenar) anak kepada Din.

“Hanya Allah yang tahu perasaan saya ketika itu. Dada saya terasa sesak. Bukan sedih tetapi mungkin kerana kerinduan yang terlalu lama dipendam. Saya dimaklumkan juga, ibu telah meninggal dunia kira-kira lima tahun lalu akibat sakit tua,” ujarnya sebak.

Dia cuba memujuk diri. Apabila semuanya telah terungkai barulah dia benar-benar berdepan dengan perasaannya sendiri. Adiknya sudah ditemui, ibunya telah pergi dan bapanya juga sudah tiada. Selama ini dia menyibukkan diri dengan kehidupan. Tetapi dalam diam, di sudut hatinya pernah menyimpan marah kepada bapa.

Marah sebagai seorang anak apabila bapa sanggup memisahkannya dengan ibu dan adiknya. Namun selepas bertemu dengan adiknya, dia mula belajar untuk memaafkan bapa yang telahpun meninggal dunia. Rasa marah yang pernah wujud dahulu, kini bertukar menjadi doa.

Selepas pertemuan dengan Din, hatinya semakin lapang dan tenang. Dia melihat sendiri bagaimana adiknya membesar menjadi lelaki yang baik. Seorang suami dan bapa kepada anak-anak yang penuh adab. Kehidupan mereka tidak hancur walaupun melalui perpisahan. Di situlah kata Hamiah dia nampak hikmahnya.

“Jika saya tinggal bersama ibu, mungkin jalan hidupnya berbeza. Begitu juga jika adik mengikut ayah, mungkin keadaanya juga tidak sama,” katanya.

Mengakhiri perbualan, Hamiah berkongsi pengajaran hidup bukan tentang siapa salah atau betul, tetapi bagaimana menutup cerita lama dengan hati lapang. Ramadan mengajarnya erti melepaskan dengan reda, serta menerima di sebalik setiap perpisahan, pasti ada hikmahnya.

Bulan ini bukan sekadar menahan lapar, dahaga, tetapi dipenuhi ampunan Allah SWT, sebagaimana disebut dalam Surah Al-Baqarah ayat 185 yang menegaskan kewajiban berpuasa, petunjuk al-Quran, serta keringanan bagi yang sakit dan musafir.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN