Soalan:
Saya bekerja di XXL hampir 10 tahun. Baru-baru ini, rakan sekerja beritahu syarikat dalam proses membuang pekerja. Lepas kejadian itu, saya mula rasa takut, gelisah dan kerap sakit kepala khuatir nama saya turut tersenarai. Apa perlu saya lakukan?
-Yang risau
Jawapan:
Semua orang mengimpikan pekerjaan yang stabil untuk menyara keluarga. Namun, apabila mendengar ura-ura syarikat melaksanakan pemecatan pekerja, punca rezeki keluar mungkin akan terjejas.
Situasi ini wajar menimbulkan rasa takut dan gelisah. Bagaimanapun, penting untuk anda mengesahkan maklumat yang diterima dan belajar mengurus emosi dengan bijak supaya keadaan ini tidak menjejaskan kesihatan dan prestasi kerja.
Berikut beberapa langkah yang boleh diambil:
a)Sahkan maklumat
Jangan terus percaya pada gosip. Cuba dapatkan kepastian daripada sumber rasmi seperti HR atau penyelia supaya anda tahu kedudukan sebenar dan boleh bertindak secara rasional sekali gus mengurangkan tekanan akibat maklumat tidak tepat yang diterima.
b)Urus emosi diri
Akui perasaan takut dan gelisah. Ambil masa untuk tarik nafas, lakukan senaman ringan atau rehat sebentar. Menenangkan diri dapat membantu anda mengurangkan sakit kepala dan tekanan berterusan.
Fokus perkara dalam kawalan Anda tidak boleh mengawal keputusan syarikat, tetapi boleh mengawal diri sendiri. Tingkatkan prestasi kerja, kemas kini resume dan asah kemahiran lama dan baru untuk lebih bersinar. Ini memberi rasa kawalan dan keyakinan, sekali gus membantu anda berasa lebih selamat dan tenang.
c)Kongsi rasa
Berbincang dengan rakan, keluarga atau kaunselor boleh melegakan tekanan. Berkongsi rasa gelisah membantu anda tidak berasa terperangkap seorang diri. Jangan pendam kebimbangan kerana ia boleh membesar dalam fikiran.
d)Fikirkan alternatif
Walaupun belum berlaku, mula fikir kemungkinan lain seperti peluang kerja lain atau peningkatan kemahiran. Bersedia dari segi pengurusan kewangan dan minda memberi anda keyakinan serta rasa kawalan terhadap situasi.
e)Hadkan pendedahan pemikiran negatif
Terlalu kerap membincangkan isu pemecatan atau membayangkan senario buruk hanya menambahkan keresahan dihati anda. Tetapkan sempadan, hadkan masa berbual tentang gosip pejabat dan alihkan perhatian kepada perkara yang memberi ketenangan kepada anda seperti keluarga, hobi, atau ibadah.
Kerisauan tentang masa depan kerja adalah normal, tetapi membiarkannya menguasai fikiran hanya memenatkan.
Dengan mendapatkan maklumat tepat, menjaga kesihatan, dan bersedia secara bijak, anda membina kekuatan. Apa pun yang berlaku, anda mempunyai pengalaman, nilai diri dan keupayaan untuk bangkit semula.










