Gaya Japandi, minimalis klasik serikan kediaman

Gaya Japandi, minimalis klasik serikan kediaman

GABUNGAN Japandi, minimalis klasik dan boho neutral menjadikan kediaman kecil tampak hamoni dan ada kelas tersendiri.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Siapa sangka, kediaman yang berkeluasan kecil juga mampu berubah wajah menjadi ruang yang tenang, kemas dan penuh karakter?

Bagi Ayu Juhanna Shuib, 34, saiz bukanlah penghalang untuk mencipta rumah idaman. Dengan sentuhan idea dan perancangan yang teliti, setiap sudut dimanfaatkan sebaiknya tanpa membuatkan ruang kelihatan sempit atau sarat.

Ayu memilih untuk menggabungkan gaya Japandi, minimalis klasik dan sentuhan boho neutral dari ruang tamu hingga ke dapur. Gabungan ini disatukan dengan cermat agar keseluruhan kediaman tampak harmoni dan tidak bercampur-aduk.

Menurutnya, kunci utama rumah kecil kelihatan luas terletak pada pemilihan palet warna. Dia konsisten menggunakan tona lembut seperti putih, kuning air dan warna kayu semula jadi bagi mewujudkan suasana yang seimbang serta menenangkan.

BARANGAN dibeli melalui platform dalam talian, kedai bajet tempatan serta kedai perabot mampu milik.

“Saya kekalkan warna dan elemen yang sama supaya keseluruhan dalaman rumah nampak tenang, kemas dan tidak terlalu ‘sibuk’,” katanya.

Gabungan warna tersebut bukan sahaja memberi ilusi ruang lebih luas, malah mencipta suasana damai yang sesuai untuk seisi keluarga berehat selepas seharian bekerja atau belajar.

Bajet sederhana

Menariknya, transformasi kediaman ini tidak menelan kos yang melampau. Ayu mengambil pendekatan berperingkat mengikut kemampuan kewangan keluarga.

Secara keseluruhan, dia memperuntukkan sekitar RM5,000 hingga RM8,000 termasuk pembelian perabot asas seperti sofa, meja makan, langsir, karpet dan dekorasi kecil.

Baginya, rumah yang selesa tidak perlu disiapkan serentak dalam tempoh singkat. Apa lebih penting ialah perancangan rapi dan kesabaran. Pendekatan tambah sedikit demi sedikit membantu memastikan kewangan keluarga kekal stabil tanpa beban.

Kebanyakan barangan dibeli melalui platform dalam talian, kedai bajet tempatan serta kedai perabot mampu milik. Fokusnya terarah kepada barangan yang praktikal, tahan lama dan mudah dipadankan dengan konsep neutral supaya sesuai digunakan dalam jangka masa panjang.

Kreativiti sendiri jadi kekuatan

Selain membeli perabot, Ayu turut melakukan beberapa kerja sendiri tanpa menggunakan khidmat kontraktor. Antaranya memasang rak dinding, mengecat, menukar kertas dinding serta menggantikan tombol kabinet agar tampil lebih moden.

Dia juga gemar menggunakan semula bekas atau barangan lama sebagai elemen dekorasi tambahan. Bagi Ayu, rumah cantik bukan bergantung kepada harga barangan, sebaliknya kreativiti dalam menyusun dan menggabungkan apa yang sudah ada.

Warna cerah

Untuk memaksimumkan pencahayaan semula jadi, Ayu memilih warna cerah dan neutral pada dinding serta langsir. Elemen cermin turut digunakan bagi memantulkan cahaya, sekali gus membantu ruang kecil kelihatan lebih terang dan lapang.

Dalam masa sama, barangan yang tidak diperlukan dikurangkan. Dia memilih perabot berkaki supaya bahagian bawahnya kelihatan terbuka dan tidak membuat ruang terasa berat.

PEMILIHAN palet warna penting untuk serlahkan seri kediaman.

Mempunyai dua anak kecil bukan alasan mengabaikan kekemasan rumah. Malah, itulah yang mendorong Ayu mencipta ruang yang lebih praktikal dan selesa.

Katanya, dekorasi keluarga dengan anak kecil perlu utamakan susun atur kemas, penyimpanan bijak serta warna lembut.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN