DI tengah larangan terhadap wanita untuk bekerja dalam kebanyakan sektor di Afghanistan, sebuah butik sulaman yang diusahakan Rahima Alavi, 22, menjadi simbol harapan di Bamiyan.
‘Bunga musim bunga, jahitan dan sulaman’ tertera pada papan tanda di luar kedai kecil Rahima, yang dibuka pada Januari lalu selepas berbulan-bulan mencari pekerjaan.
“Saya sangat bangga kerana dapat menyara keluarga, ibu bapa dan tiga adik perempuan. Saya boleh membayar sewa,” katanya, yang mengenakan kot berwarna burgundy dengan beberapa sisa benang masih melekat padanya.
Sambil menunjukkan kemahirannya, dia menggerakkan kain melalui melalui mesin jahit untuk menghasilkan daun dan bunga sutera halus, yang mencerminkan ketekunan dan kreativiti Rahima.
Rahima adalah antara lebih lima juta individu yang kembali ke negara itu sejak 2023 dari negara jiran, Iran dan Pakistan, yang menghantar pulang rakyat Afghanistan selepas menempatkan mereka selama beberapa dekad.
Membesar di wilayah di luar bandar Bamiyan, di mana dia membantu ibu bapanya mengusahakan pertanian sambil bersekolah, keluarga Rahima berpindah ke Iran pada 2021.
“Di Iran, terdapat lebih banyak peluang pekerjaan, dan di sana, lelaki dan wanita boleh bekerja,” katanya kepada AFP.
Mereka sekeluarga mencari rezeki dengan memetik kubis berhampiran bandar tengah Isfahan, sebelum kembali ke Afghanistan pada 2024.

“Bapa saya tidak dapat mencari pekerjaan, begitu juga saya dan adik. Kami sangat putus asa kerana tiada pekerjaan di Bamiyan,” kata Rahima.
Menurut tinjauan Pertubuhan Antarabangsa untuk Migrasi, hanya satu peratus wanita yang kembali dari Iran atau Pakistan berjaya mendapat pekerjaan sepenuh masa, manakala dua peratus memiliki perniagaan sendiri.
Rahima bergelut selama beberapa bulan sebelum terpilih bersama 25 wanita lain untuk kursus latihan sulaman di bawah program yang disokong oleh agensi pelarian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNHCR).
TIADA KERJA UNTUK WANITA
Rahima diberikan pelbagai peralatan termasuk mesin jahit, kain dan wang tunai untuk panel solar, yang dianggap keperluan di negara berdepan gangguan bekalan elektrik.
Gurunya, Rayhana Darabi, menyifatkan Rahima sebagai pelajar yang sangat cekap dan berbakat.
“Dia begitu berdedikasi sehingga tidak pernah terlepas sebarang perkara dan mempelajari semuanya pada hari yang sama,” kata Rayhana.
Guru sulaman itu kehilangan pekerjaannya pada Disember apabila program tersebut dihentikan, sebagai sebahagian daripada pemotongan bantuan lebih meluas yang menjejaskan ramai penduduk di Afghanistan.
Setakat ini, Rahima satu-satunya wanita daripada program itu yang berjaya membuka perniagaan sendiri, dengan sokongan rakan baiknya, membanggakan orang sekeliling.
“Kami benar-benar gembira. Wanita di Afghanistan hari ini, bukan sahaja di Bamiyan tetapi seluruh negara, menghadapi pelbagai cabaran serta peraturan yang ketat,” kata guru beliau.
Pihak berkuasa Taliban mentadbir dengan tafsiran ketat undang-undang Islam, melarang wanita daripada kebanyakan profesion sambil membenarkan sebahagian bekerja dalam industri seperti kraftangan.
“Saya merayu kepada penderma supaya memulakan semula program latihan itu kerana tiada pekerjaan untuk wanita di sini,” kata Rahima.
Tahun lalu, wanita merupakan majoriti daripada hampir 2,400 peserta yang dilatih di bawah program UNHCR.
Agensi itu memaklumkan, ia memerlukan AS$216 juta (RM841 juta) tahun ini untuk menyokong penduduk dipaksa berpindah dan mereka yang kembali ke seluruh negara, namun sehingga kini hanya lapan peratus dana berjaya dikumpulkan.
Dengan peluang semakin terhad, Rahima turut menggesa wanita yang kembali ke Afghanistan supaya merebut sebarang peluang dan tidak hanya berada di rumah.










