JODOH itu rahsia Allah. Tidak semua wanita dipertemukan dengan lelaki sebaya. Ada yang ditakdirkan berkahwin dengan lelaki yang jauh lebih tua usianya.
Minggu ini saya kongsikan kisah Marsha, (bukan nama sebenar) yang berkahwin dengan lelaki yang jarak usianya 35 tahun lebih tua daripadanya.
Ketika itu dia berusia 23 tahun, manakala bakal suami 58 tahun.
Marsha yang saya temui baru-baru ini berkata ketika orang mempersoalkan masa depannya, dia lebih melihat ketenangan dan tanggungjawab.
Kata Marsha, untuk terus bersama suami bukan mudah. Banyak ujian dan rintangan terpaksa dihadapi.
Dia bersyukur apa yang bermula dengan penolakan, perlahan-lahan berubah menjadi penerimaan.
Berkongsi cerita, kata Marsha dia seorang wanita biasa yang memasang impian untuk hidup seperti wanita lain.
Takdir mempertemukannya dengan Hisyam, (bukan nama sebenar), lelaki bujang berusia penghujung 50 an.
Pada awalnya, keluarga sukar menerima.
“Saya faham kebimbangan keluarga terutama ibu ayah ketika itu. Namun yakin Hisyam adalah lelaki yang mampu membahagiakan saya,” ujarnya dalam pertemuan bersama saya baru-baru ini.
Pada pertemuan itu, Marsha turut ditemani Hisyam yang walaupun sudah berusia tetapi tetap segak, wajar bagi seorang lelaki yang sudah berpencen.
Sambung Marsha, dia yakin Hisyam bukan datang dengan janji kosong, tetapi dengan penuh tanggungjawab dan kesungguhan.
Hari demi hari berlalu. Menurut Marsha, sepanjang tempoh memujuk keluarga agar menerima bakal suami yang jauh lebih berusia, dia tidak pernah melawan.
Tidak pernah keluar kata-kata kasar, tiada pergaduhan. Dia percaya masa akan memberi jawapan. Dia tidak pernah putus asa dan berdoa.
Akhirnya kesabaran mereka hampir dua bulan membuahkan penerimaan kedua ibu bapa.
Selepas berkahwin, kehidupan mereka sederhana tetapi teratur.
Sedikit demi sedikit, keluarga melihat perubahan. Kata Marsha, walaupun bukan menantu pilihan, suami tidak pernah memisahkan dia daripada keluarga.
“Suami tetap memuliakan kedua orang tua saya. Dari situlah hati ayah ibu yang sukar menerima mula lembut,” ujarnya.
Akhirnya, keluarga mengerti bahagia tidak diukur pada angka usia, tetapi pada seseorang yang menjadi amanah sebagai suami atau isteri.
Cinta bukan tentang tua atau muda, tetapi tanggungjawab hingga akhir hayat.
Mengimbas kisah 10 tahun lalu, kata Marsha, dia tidak pernah terfikir untuk jatuh cinta dan berkahwin dengan lelaki yang seusia bapanya.
Namun pertemuan yang sederhana dalam satu majlis mengubah jalan hidupnya. Mereka saling mengenali hati budi selama tiga bulan.
Apabila dia memberanikan diri memperkenalkan lelaki itu kepada keluarga, di situlah ujian bermula.
“Saya diajukan pelbagai soalan daripada ibu ayah.Kenapa saya memilih lelaki lebih berusia.
Tidak takutkah masa depan dan banyak lagi persoalan dilontarkan kepada saya pada masa itu,” cerita Marsha.
Kata Marsha, ibu adalah orang yang paling bersedih dan menentang pilihannya, manakala bapa hanya berdiam diri.
Sejak hari itu kata Marsha, hubungan dia dan kedua ibu bapa agak dingin. Seolah-olah ada yang terbuku di hati masing-masing.
Namun kata Marsha, dia tidak membiarkan perkara itu berterusan. Setiap kali menghubungi atau pulang menziarahi kedua orang tuanya, dia menjelaskan dengan lemah lembut.
“Saya meminta untuk ibu ayah mengerti dan ruang diberikan untuk membuktikan. Tidak lebih daripada itu,’’ kata Marsha.
Bukan sahaja Marsha, Hisyam juga berusaha untuk memenangi hati mereka. Hisyam sendiri datang beberapa kali menemui kedua ibu bapa Marsha dengan rendah diri dan menyatakan niatnya.
Hari demi awal penuh dengan air mata. Ada waktunya kata Marsha, dia hampir putus asa dan mengalah demi melihat kedua ibu bapa gembira.
Kata Marsha, di pihak Hisyam pula tidak memaksa. Hisyam memberi ruang untuknya membuat pilihan.
Masa terus berlalu. Keluarga mula melihat perubahannya. Marsha menjadi lebih matang, dan lebih tenang.
Sementara Hisham pula tidak pernah melangkah batas, sentiasa menghormati keluarga Marsha walau belum diterima sepenuhnya.
Sedikit demi sedikit prasangka dan kebimbangan kedua orang tuanya runtuh.
Kata-kata sinis bertukar menjadi nada ingin tahu lebih lanjut tentang hubungan mereka.
Kebimbangan kedua ibu bapa bertukar menjadi harapan.
“Saya sedar, apa yang ditakuti ibu ayah bukan usia Hisyam, tetapi kemungkinan kehilangan saya satu-satunya anak perempuan tunggal mereka.
“Namun Hisyam membuktikan, dia bukan datang untuk mengambil saya daripada keluarga tetapi menjaga,” ujarnya.
Menyambung cerita kata Marsha, selepas diijab kabul, dia menyangkakan ujian akan berakhir.Tetapi pada awal-awal perkahwinan mereka terpaksa melalui dengan pandangan orang sekeliling.
“Ada yang berbisik sinis dengan pilihan saya.Namun saya belajar memekakkan telinga dan menguatkan hati,” ujarnya.
Bercerita sepanjang menjalani kehidupan sebagai suami isteri kata Marsha, suaminya sangat romantik dan penyayang.
“Saya memang berasa perbezaan usia antara kami. Bukan sahaja tenaga, tetapi juga cara fikir kami.
“Namun suami tidak pernah meremehkan perasaan saya. Suami tetap menjadi pendengar, walaupun ada perkara yang tidak dipersetujui.
“Suami menegur dengan hikmah bukan ego,” imbas Marsha.
Menurut Marsha, ujian paling berat sepanjang hidup selama 10 tahun berumahtangga, apabila suami jatuh sakit ketika usia perkahwinan memasuki tiga tahun.
Suami disahkan sakit jantung. Di situlah keluarga kembali memerhati. Ada yang menyindirnya.
Kata Marsha, ketika itu dia hampir goyah, namun dia memilih untuk tetap setia.
Sepanjang tempoh sakit, Marsha menjaga suami dengan penuh tanggungjawab,
Keluarga akhirnya melihat sesuatu yang tidak dapat dinafikan. Mereka akhirnya mengalah dan mula menerima Hisyam sepenuh hati.
Menurut Marsha, awal Februari ini genap 12 tahun usia perkahwinan mereka.
12 tahun bukan tempoh singkat, apatah lagi dibina di atas cinta yang suatu ketika dahulu diragui.
Mereka tidak dikurniakan cahaya mata. Soalan demi soalan pernah dilontarkan, ada yang bernada sinis, ada yang bernada simpati.
“Saya pernah tertanya -tanya, adakah itu kekurangannya. Namun suami selalu beritahu Allah tahu apa yang terbaik untuk kami,” ujarnya.
Sejak itu mereka belajar untuk menerima dengan hati lebih tenang.
Sehingga ke hari ini menurut Marsha, sambil diakui Hisyam kasih sayang mereka tidak pernah berkurangan, malah semakin subur.
Sesungguhnya, jodoh itu rahsia Allah. Siapalah kita untuk menidakkannya.
Sebagaimana Firman Allah SWT, “Di antara tanda-tanda kebesaranNya ialah bahawa Dia mencipyakan pasangan-pasangan untukmu dari (jenis) dirimu sendiri agar kamu berasa tenteram kepadanya.
“Dia menjadikan di antara kamu rasa cinta dan kasih sayang. Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar tanda (kebesaran Allah) bagi kaum yang berfikir,” (Surah Ar -Rum ayat 21).










