Tertekan hadapi rakan-rakan toksik di asrama

Tertekan hadapi rakan-rakan toksik di asrama

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SOALAN:

Saya tinggal di asrama, kawan-kawan sebilik suka menyindir dan memerli saya, tertekan sangat rasanya. Mahu beritahu ibu, khuatir ibu risau, mahu laporkan dekat warden takut mereka dikenakan tindakan. Kadang-kadang saya fikir lebih baik saya mati baru semua orang hidup tenang tanpa saya. Apa saya perlu buat?

Remaja dilema

JAWAPAN:

Berjauhan dengan keluarga bukan perkara mudah, terutama bagi remaja yang sedang mencari kejayaan. Niat untuk tinggal di tempat yang selamat bertukar menjadi tempat yang penuh tekanan apabila perlu berhadapan dengan rakan yang kuat membuli. Dilema antara menjaga diri, hati keluarga dan rasa kasihan terhadap rakan menambahkan lagi kebuntuan. Berikut disertakan beberapa panduan sebagai sokongan untuk anda:

Fahami bukan salah anda – Sindiran dan perlian merupakan bentuk buli mental yang memberi tekanan emosi. Ia mencerminkan sikap mereka, bukan kelemahan anda. Anda berhak untuk dihormati dan berasa selamat di tempat tinggal sendiri.

Jangan pendam sendirian – Carilah individu yang boleh dipercaya seperti kaunselor, guru atau warden untuk berkongsi. Anda tidak perlu menceritakan semuanya kepada keluarga jika bimbang mereka terlalu risau. Berkongsi bukan untuk menghukum sesiapa, tetapi untuk melindungi diri sendiri.

Buat laporan untuk pencegahan – Melaporkan kepada pihak asrama tidak semestinya mereka akan dikenakan hukuman berat. Ia membolehkan pihak pengurusan memantau keadaan, menegur atau mengubah susunan bilik lain demi keselamatan dan kesejahteraan anda. Kasihan yang berlebihan akan membuatkan anda terus menderita.

Jaga keselamatan emosi – Kurangkan masa bersama individu yang suka membuli anda. Cari ruang yang menenangkan seperti surau, perpustakaan atau libatkan diri dalam aktiviti luar bilik. Menulis perasaan juga boleh membantu anda untuk melepaskan emosi yang terpendam.

Dapatkan bantuan segera – Jika anda mula berfikir bahawa menghilangkan diri akan menyenangkan orang lain, jangan hadapi seorang diri. Segera hubungi kaunselor atau talian sokongan seperti Befrienders KL: 03-7627 2929, Talian Sihat: 1700-82-7536 / 1700-82-7537 untuk dapatkan bantuan sokongan emosi.

Hargai hidup anda – Mungkin anda merasakan kehadiran anda menjadi bebanan kepada orang lain, dan yakinkan diri bahawa itu bukanlah satu kebenaran. Dunia tidak menjadi lebih baik jika kehilangan anda. Fokus pada penyelesaian tanpa perlu mengorbankan diri.

Kesimpulannya perasaan dibuli memang menyakitkan, oleh itu, elakkan daripada terus menjadi mangsa buli dan cari sokongan untuk dapatkan hidup yang lebih tenang kerana anda juga layak untuk hidup dengan penghormatan dan kasih sayang.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN