SETELAH tiga tahun berjuang melawan kanser otak, penulis siri novel terlaris Shopaholic, Sophie Kinsella, meninggal dunia pada usia 55 tahun.
Kinsella atau nama sebenarnya Madeleine Sophie Wickham disahkan menghidap kanser otak agresif pada tahun 2022.
Keluarga Kinsella mengumumkan kematiannya menerusi satu kenyataan di akaun Instagram miliknya pada Rabu lalu.
“Kami amat berdukacita untuk mengumumkan pemergian insan kesayangan kami, Sophie (juga dikenali sebagai Maddy dan Mummy). Beliau meninggal dunia dengan tenang disisi keluarga dan kasih sayang,” menurut kenyataan itu.
Karya Kinsella menerima sambutan yang luar biasa, dengan jualan mencecah lebih 50 juta naskhah di 60 negara dan diterjemahkan ke dalam 40 bahasa.
Pada 2024, beliau secara terbuka berkongsi dirinya didiagnosis menghidap glioblastoma dua tahun sebelumnya.
Glioblastoma adalah jenis kanser otak yang agresif dan paling berbahaya.
Di United Kingdom (UK), kira-kira 3,200 orang didiagnosis dengan glioblastoma setiap tahun, tetapi hanya sekitar 160 orang bertahan selama lima tahun atau lebih.
Dalam kenyataan keluarga, mereka meluahkan rasa kehilangan yang mendalam, sambil menyifatkan kehidupannya sebagai penuh cahaya dan kasih sayang.
“Sukar untuk kami membayangkan kehidupan tanpa sinar dan kecintaannya terhadap hidup.
“Walaupun menderita penyakit, beliau sentiasa menganggap dirinya bertuah kerana dikelilingi keluarga dan sahabat penyayang serta kejayaan luar biasa dalam dunia penulisan.
“Beliau juga sentiasa menghargai setiap kasih sayang yang diterima. Pemergiannya merupakan satu kehilangan mendalam buat kami,” menurut kenyataan itu.
KARYA KE LAYAR PERAK
Dua novel terawal daripada lapan siri Shopaholic karya Kinsella pernah diadaptasi ke layar perak menerusi filem Confessions of a Shopaholic pada 2009, dibintangi pelakon Isla Fisher.
Mengulas tentang kejayaan siri tersebut, Kinsella pernah berkata idea itu tercetus apabila beliau menyedari tabiat membeli-belah semakin menjadi kegemaran ramai.
“Saya terfikir, membeli-belah sudah menjadi hobi kebangsaan, tetapi belum ada yang menulis mengenainya,” katanya, sambil menyifatkan karya itu sebagai satu eksperimen penulisan.
Selain Shopaholic, Kinsella turut menghasilkan novel popular lain termasuk Can You Keep A Secret? dan The Undomestic Goddess.
Novel terbaharunya, What Does It Feel Like?, yang diterbitkan pada Oktober 2024, merupakan kisah separa fiksyen mengenai pengalaman beliau disahkan menghidap kanser, yang ditulis selepas menjalani pembedahan.
Dalam pengenalan buku tersebut, Kinsella berkata, beliau sentiasa memproses kehidupan melalui penulisan.
“Di sebalik watak-watak fiksyen, saya sering menukarkan pengalaman hidup saya menjadi sebuah naratif. Ia versi terapi saya, mungkin,” tulisnya.
Penerbitnya pula menyifatkan Kinsella sebagai penulis yang mentakrif dan mengangkat genre komedi romantik dengan membawa isu-isu kehidupan sebenar, digarap dengan kecerdikan humor, kedalaman emosi dan kepekaan sosial.
Suara serta gaya penulisannya yang unik berjaya memikat pembaca daripada pelbagai latar belakang di seluruh dunia.
Dilahirkan di London pada 1969, Kinsella memulakan pengajian dalam bidang muzik di New College, Oxford, sebelum beralih kepada falsafah, politik dan ekonomi.
Beliau menulis novel pertama, The Tennis Party, menggunakan nama sebenar pada usia 24 tahun ketika bekerja sebagai wartawan kewangan.
Karya itu menerima pujian pengkritik dan berjaya tersenarai dalam 10 buku terlaris, sebelum beliau menerbitkan enam lagi novel dengan nama Madeleine Wickham.
Lima tahun kemudian, dengan menggunakan nama pena Sophie Kinsella, beliau ‘melahirkan’ The Secret Dreamworld of a Shopaholic, karya yang memperkenalkan dunia kepada Becky Bloomwood, seorang wartawan kewangan yang ceria, gemar membeli-belah dan sering bergelut menguruskan kewangannya sendiri.
Kejayaan luar biasa novel itu membuka lembaran baharu dalam kerjaya Kinsella.
Daripada satu kisah ringan dan menghiburkan, terhasil siri Shopaholic yang berkembang menjadi lapan buah novel, selain 18 karya lain sepanjang hayatnya, termasuk sebuah novel untuk remaja dan empat buku kanak-kanak.-UTUSAN










