Cara ‘lari’ dari keresahan melampau

Cara ‘lari’ dari keresahan melampau

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SOALAN

Bagaimana mahu pulih daripada keresahan melampau sedangkan saya hidup dalam keluarga yang toksik dan sering bergaduh depan anak-anak?

Yang Sedih.

JAWAPAN

Rumah sepatutnya menjadi tempat berlindung, tetapi apabila dipenuhi pertengkaran dan kata-kata menyakitkan, jiwa menjadi penat dan keresahan semakin kuat. Anak-anak mungkin tidak mampu keluar daripada suasana begitu, namun mereka boleh belajar menyesuaikan diri untuk memulihkan emosi. Berikut beberapa langkah yang boleh membantu:

Cipta ruang peribadi diri – Apabila suasana terasa menekan, ambil masa seketika untuk menyendiri. Walaupun hanya lima minit di bilik atau luar rumah, tarik nafas perlahan dan lepaskan perlahan. Ia membantu otak menyedari tidak semua masa berbahaya, lalu menenangkan sistem saraf.

Berhenti ambil tanggungjawab – Apabila keluarga bergaduh, anda mungkin rasa perlu menenangkan keadaan, tetapi hakikatnya, anda tidak mampu mengubah mereka. Kadangkala, sembuh bermula dengan melepaskan peranan ‘penyelamat’ dan memilih untuk melindungi diri sendiri.

Amalkan teknik detachment – Belajar menjauhkan diri secara emosi daripada situasi menyakitkan tanpa perlu memutuskan hubungan. Ia bukan bermaksud berhenti menyayangi, tetapi belajar untuk tidak membiarkan emosi anda dikawal oleh sikap orang lain.

Fokus pada diri – Walaupun dunia sekeliling tidak selamat, kekalkan rasa aman dalam diri. Apabila suasana tegang, tarik nafas dan peluk diri sendiri. Sentuhan kasih ini menjadi benteng emosi yang mengingatkan anda masih mampu mengawal diri walau dunia bergoncang.

Cari sistem sokongan – Anda tidak perlu pulih seorang diri. Bercakaplah dengan rakan, kaunselor atau sesiapa yang boleh mendengar tanpa menghakimi. Bila ada tempat meluah, beban di hati terasa lebih ringan

Rawat diri – Pemulihan tidak berlaku dengan perubahan besar, tetapi melalui rutin kecil seperti tidur cukup, mendengar lagu atau menulis diari. Apabila tubuh dijaga, minda juga perlahan-lahan akan lebih tenang.

Kesimpulannya, pemulihan bukan datang daripada perubahan suasana, tetapi daripada tindakan kecil setiap hari. Setiap kali anda memilih untuk bertenang dan menjaga diri, itu tanda anda sedang sembuh sedikit demi sedikit.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×