Gemar kumpul barangan vintaj Inggeris

Gemar kumpul barangan vintaj Inggeris

Gaya hiasan vintaj, shabby chic, cottagecore dan gingham mencerminkan personaliti pemilik rumah yang ceria, nostalgik dan damai.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEJAK kecil, wanita ini gemar memerhati ibunya menyusun jambangan bunga di dalam pasu, menukar langsir menjelang Aidilfitri dan menggilap pinggan bercorak flora.

Semua rutin itu begitu indah di mata Nur Aainaa Rusli, 31, dan tanpa sedar dia turut menirunya.

Bermula dengan hanya mengalih pasu, membetulkan alas meja hinggalah menyusun bingkai gambar kecil, minatnya terhadap dekorasi rumah perlahan-lahan berkembang.

Daripada situ muncul rasa seronok setiap kali ruang bersatu dan kelihatan harmoni.

Lama-kelamaan, minat itu berkembang menjadi hobinya hingga kini.

Bagi suri rumah ini, mengemas rumah merupakan terapi yang paling menenangkan fikiran dan mendamaikan jiwa.

Apatah lagi bila dia menemui gaya yang sepadan dengan jiwanya seperti vintaj, shabby chic, cottagecore dan gingham.

“Ia bukan sahaja cantik dipandang, tetapi juga mencerminkan perasaan ceria, damai dan nostalgia.

“Siapa sangka kenangan kecil menata rumah itu kemudian bertukar menjadi cinta yang lebih mendalam selepas saya berkahwin empat tahun lalu,” katanya kepada Seri baru-baru ini.

Nur Aainaa mengakui tertarik dengan semua gaya dekorasi Inggeris klasik yang disifatkan malar segar dan kekal relevan sepanjang masa.

Katanya, gabungan warna, tekstur dan pelbagai jenis corak mampu mencipta suasana kediaman yang lebih menarik.

“Elemen wajib vintaj ialah perabot kayu klasik contohnya meja konsol kaki bengkok atau almari kaca lama dengan cat putih lusuh.

“Selain itu, mesti ada kertas dinding bercorak bunga, renda, kain cotton lembut, hiasan pinggan bunga, teko lama dan bungaan segar.

“Ditambah pula dengan pencahayaan lembut menerusi lampu meja kain atau lilin yang sekali gus membuatkan ruang ‘hidup’,” katanya.

Pengaruh filem Inggeris, drama Turkiye

Anak jati Terengganu yang kini menetap di Cybersouth itu berkata, idea dekorasi kebanyakannya datang daripada filem Inggeris dan drama Turkiye.

Visual, suasana dan perincian dalam naskhah itu kemudian diolah sempurna mengikut cita rasanya.

“Saya gemar menonton drama Turkiye dan sedikit sebanyak terpengaruh dengan seni hiasan dalaman di sana yang berwarna-warni dan dilengkapi pelbagai corak,” katanya.

Walaupun gaya Inggeris sarat dengan perincian tetapi dia sentiasa memastikan setiap ruang ‘lapang’, ‘bernafas’ dan tidak ‘sesak’.

Pemegang diploma sumber manusia ini mengambil pendekatan mengosongkan dinding, lantai atau meja di samping mengelak penggunaan lampu putih yang terang.

“Tema vintaj memang kaya dengan lapisan corak serta tekstur tetapi saya pilih kontras lembut dan bukan semuanya berunsurkan bold.

“Saya juga mengekalkan pencahayaan semula jadi atau menggunakan lampu kekuningan lembut, supaya ruang terasa romantik dan tidak sesak.

“Contohnya di dapur, corak gingham digabungkan dengan seramik bunga kecil atau kertas dinding bercorak buah kecil,” katanya.

Pemburu barangan terpakai

Barangan vintaj sering dikaitkan dengan harga mahal kerana keunikan, kualiti dan nilai nostalgianya.

Justeru, Nur Aainaa selesa memburu perabot atau kelengkapan rumah terpakai yang masih cantik dan mempunyai karakter tersendiri.

“Saya tidak pernah membeli item yang terlalu mahal dan kebanyakannya terpakai, seperti cermin antik berharga RM30 manakala kerusi goyang pula RM150.

“Malah, setiap kali melancong ke luar negara, saya sering mengunjungi kedai barangan terpakai atau lorong barangan antik,” katanya.

Antara hasil buruannya ialah sapu tangan terpakai berharga RM70 yang dibeli di Korea, kertas dinding Laura Ashley bernilai RM120 di Paris dan majalah jenama sama RM60 di Jepun.

Bagi langsir dan sarung sofa pula, lazimnya dia membeli kain dan menempah terus dengan tukang jahit di kampungnya.

Dapur ruang kegemaran

Sebagai isteri dan ibu, ruang dapur sememangnya paling dekat di hatinya.

Selain sebagai tempat memasak, di situ dia bebas bereksperimen dan menzahirkan sentuhan dekorasinya.

“Dapur paling dekat di hati saya kerana peranannya sebagai jantung rumah.

“Inilah ruang buat kami tiga beranak berkumpul setiap hari untuk makan serta berbual, jadi sudah tentu hiasannya perlu menarik dan penuh ‘jiwa’,” katanya.

Rasa puas menyelubungi diri setiap kali melihat hasil sentuhannya dihargai dan mendapat pujian ramai.

Namun, dia tidak terkecuali daripada komen-komen negatif mengenai hiasan rumahnya.

“Ada yang cakap konsep rumah saya serabut dan pening kepala sambil membandingkan dengan trend minimalis serta moden yang lebih tenang,” katanya yang aktif berkongsi di TikTok, Enna.K.

Dekor di tengah malam

Setiap tiga bulan sekali, Nur Aainaa akan mengubah susun atur hiasan di kediaman jenis apartmennya.

Bagi kertas dinding pula, ia diganti setiap lima bulan sekali bagi menampilkan kelainan.

“Kerja-kerja menghias rumah biasanya dilakukan pada tengah malam atau pagi selepas bersarapan.

“Prosesnya tidak mengambil masa lama kerana suami sentiasa di sisi untuk membantu,” katanya.

Bagi yang ingin mencuba konsep ini, Nur Aainaa menasihatkan supaya memilih satu titik tumpu atau elemen vintaj utama sahaja.

Contohnya, satu cermin bingkai antik atau meja kopi kayu lusuh di ruang tamu.

Kemudian, tambahkan sentuhan vintaj melalui kain, bunga atau aksesori kecil.

“Sofa linen neutral moden boleh dipadankan dengan bantal bercorak bunga kecil.

“Pilih satu corak utama, misalnya bunga dan satu corak sokongan seperti gingham untuk mengekalkan keharmonian ruang,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×