Berlumba-lumba tunjuk hidup sederhana

Berlumba-lumba tunjuk hidup sederhana

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Kini, semakin ramai berlumba-lumba mahu tunjuk gaya hidup sederhana di media sosial.

Rumah kecil tanpa perabot, malah ada yang menghuni bilik stor dengan hanya tilam futon di lantai.

Pakaian pula tidak lebih 10 helai disusun rapi di rak terbuka.

Perkongsian itu mengundang rasa kagum netizen dan bertalu-talu pujian ditinggalkan betapa tenangnya hidup sedemikian.

Tapi, jarang kita tahu kisah sebenar di sebalik gambar.

Ada yang sebenarnya bukan memilih untuk hidup minimalis, tetapi terpaksa.

Mungkin kerana muflis, kehilangan kerja atau menanggung hutang kad kredit yang banyak akibat amalan gaya hidup mewah.

Kesederhanaan itu bukan hasil kesedaran, tetapi keadaan.

Namun, di media sosial, semuanya boleh nampak indah bila dibalut dengan perkataan minimalis.

Yang peliknya, gaya hidup kononnya sederhana itu kadang-kadang tidak seperti dicanang.

Masih ada barangan berjenama digunakan dan hiasan mahal dipamerkan, yang tidak semua orang mampu untuk memilikinya.

Baru-baru ini, saya menonton video seorang doktor wanita di TikTok yang mengakui mengamalkan gaya hidup minimalis berhemat.

Antaranya termasuk menghuni di bilik sempit di kliniknya bersama suami.

Namun, bagi saya, pendekatan sebegini agak ekstrem.

Saya faham ramai yang bergelut dengan cabaran hidup, terpaksa berjimat-cermat dan mengikat perut.

Tetapi, hidup sederhana bukan bermaksud menafikan keselesaan sehingga menyeksa diri atau membebankan.

Lainlah, jika individu itu datang daripada latar belakang susah, jadi tidak mengapa tinggal di bilik sempit sebelum mampu berpindah ke rumah lebih selesa.

Tetapi bagi golongan profesional, sukar untuk saya menerima pendekatan sebegini.

Rumah bukan sekadar tempat tinggal, ia adalah ‘syurga’.

Di situlah ruang untuk berkasih sayang, mencari ketenangan dan menghilangkan lelah selepas bekerja.

Apatah lagi, semakin lanjut usia, kita tentunya mahukan sesuatu yang lebih bermakna dalam hidup.

Hidup sederhana yang sebenar bukan tentang berlumba-lumba menunjukkan siapa paling ringkas atau berjimat.

Tetapi tentang membuat pilihan bijak, menumpukan pada perkara penting dan menghargai keselesaan asas.

Kesederhanaan adalah tentang keseimbangan. Tahu bila cukup, belajar menghargai apa yang ada dan tidak membebani diri hanya untuk dipuji ramai.

-Rosalinda Md. Said adalah wartawan Utusan Malaysia.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×