Enggan melihat ibunya terus tenggelam dalam kesedihan akibat krisis rumah tangga, seorang pemuda memilih membawa wanita itu mengembara mengelilingi dunia.
Langkah itu dilakukan Steven Sit Boon Chuan, 35, bagi menyembuhkan luka di hati Lee Phek Soon, 60.
Dia mahu memberi ketenangan jiwa kepada insan tersayangnya untuk memulakan hidup baharu.
Katanya, pengembaraan bersama ibunya bermula pada September 2019, susulan fasa gelap yang menimpa keluarga mereka.
“Saya tidak sanggup tengok ibu menanggung kesedihan dan berazam untuk melakukan sesuatu yang bermakna baginya.
“Lantas, saya membawanya ke Shanghai, China yang merupakan kali pertama kami ke luar negara berdua,” katanya kepada Seri baru-baru ini.
Walaupun itu adalah pengembaraan sulung Phek Soon menaiki kapal terbang, tetapi wanita tersebut tidak gementar semasa pesawat berlepas.
Sebaliknya, kata Steven, ibunya sangat teruja untuk menempuh pengembaraan dan matanya bersinar-sinar setiap kali menatap pemandangan di luar tingkap pesawat.
“Momen paling menyeronokkan di Shanghai ialah mencuba pelbagai hidangan tempatan sampaikan berat ibu pun naik, tetapi semuanya berbaloi,” katanya.
Siapa sangka, Shanghai membuka pintu pengembaraan baharu buat dua beranak ini dan sejak itu mereka sering melancong bersama tidak kira di dalam atau luar negara.
Jelajah mereka kemudian diteruskan ke negara ASEAN seperti Bangkok, Thailand pada Januari 2023 diikuti Hanoi, Sapa dan Ninh Binh, Vietnam pada Mei tahun sama.
Pada Februari 2024 pula, mereka sekali lagi ke Vietnam tetapi destinasinya berbeza iaitu di Hoi An, Hue dan Danang sebelum ke Bali, Indonesia pada bulan Mei diikuti Hatyai, Thailand pada September.
Sebulan kemudian, dua beranak ini meneroka ke Shanghai dan Nanjing di China.
Tirai 2025 dimulakan dengan berkunjung ke destinasi yang kurang dikenali ramai di Thailand iaitu Nakhon Pathom dengan menaiki kereta api, sebelum ke Bang Saen, Chonburi.
Pengembaraan diteruskan ke Phu Quoc, Vietnam pada bulan Mei.
Namun, perancangan untuk ke Medan pada September lalu tidak kesampaian berikutan demonstrasi yang melanda Indonesia.
“Saya terpaksa membatalkan perjalanan itu dan memilih ‘plan b’ dengan melawat Hobbitton Village di Perak and mendaki Mossy Forest di Cameron Highlands.
“Sebenarnya, aktiviti dalam negara pun menyeronokkan untuk diteroka,” kata pengurus sumber manusia di sebuah syarikat hartanah di ibu kota.
Makin suka bergambar
Menurut Steven, ibunya sebelum ini kerap menyembunyikan diri di belakang ketika sesi bergambar berkumpulan.
Kini, wanita itu tidak lagi mengelak kamera dan sering meminta untuk dirakam sebagai kenang-kenangan setiap kali melancong.
Perubahan sikap ibunya yang menjadi lebih periang membuatkan anak sulung daripada dua beradik yang berasal dari Machang, Kelantan ini tersentuh.
“Ibu cuma seorang suri rumah dan telah mengorbankan seluruh kehidupannya untuk keluarga.
“Melihat senyumannya sepanjang perjalanan adalah satu anugerah dan memberi kepuasan yang tidak terhingga kepada saya.
“Sekarang, tiba giliran saya untuk menggenggam erat tangan ibu dan membawanya bersama meneroka dunia,” katanya.
Steven turut berharap perkongsiannya dapat menyuntik inspirasi kepada masyarakat terutama anak-anak muda untuk mengembara bersama ibu bapa sekiranya berpeluang dan
berkemampuan.
Katanya, melancong bukan sahaja membolehkan mereka melihat negara lain, malah mempelajari tentang budaya, cara hidup, pemakanan dan sejarah sesuatu tempat.
“Secara tidak langsung, aktiviti ini dapat mendekatkan hubungan antara saya dan ibu. Dia ibarat kawan dan tiada rahsia antara kami.
“Semoga ibu sentiasa sihat dan saya dimurahkan rezeki untuk membawanya meneroka lebih banyak tempat di seluruh dunia,” katanya.
Tahun hadapan, dia merancang ke Pattaya, Thailand pada Februari diikuti Ho Chi Minh, Vietnam, Macau dan Hong Kong, China.
Ibu daki gunung, jadi puteri
Antara pengalaman manis dua beranak ini ialah mendaki lebih 600 anak tangga untuk ke puncak Gunung Fansipan, pada Mei 2023.
“Kebiasaannya, saya tidak beritahu aktiviti kepada ibu sebab saya suka tengok reaksi teruja dia apabila sampai ke satu-satu destinasi.
“Ibu tidak pernah mendaki tetapi, dia yang tiba dahulu di puncak gunung tertinggi di Vietnam dan Indochina itu, mengalahkan saya,” katanya.
Memandangkan suhu Fansipan sangat sejuk, dia bersiap-sedia membawa jaket, sarung tangan dan topi untuk kekal hangat.
Sebelum itu, Steven membuat kejutan dengan membelikan ibunya pakaian tradisional zaman dinasti China semasa melancong ke negara tersebut.
“Saya beli dan bawa baju itu dari Malaysia, kemudian minta ibu pakai di sana seolah-olah ‘puteri’ di zaman silam.
“Dia terperanjat sebab tidak pernah menggayakan skirt labuh selama ini dan biasanya hanya tampil ringkas dengan baju t sahaja,” katanya.
Percutian bajet
Keseluruhan kos yang diperuntukkan untuk satu-satu trip kembara bersama ibunya, kurang daripada RM3,000.
Steven berusaha mencari tiket penerbangan murah atau pada harga promosi di samping mengatur perjalanan sendiri tanpa terikat dengan agensi pelancongan.
Selain itu, dia tidak memilih hotel yang mahal sebab seharian berada di luar dan hanya pulang di waktu malam.
“Untuk destinasi di ASEAN, perbelanjaan tidak tinggi dengan anggaran RM1,000 seorang, cuma bagi perjalanan di China, kos sedikit mahal disebabkan tiket penerbangan.
“Tetapi dengan perancangan betul dan peka kepada promosi penerbangan, kos melancong boleh dijimatkan,” katanya sambil mengimpikan untuk ke Turkiye, Mesir, Korea dan Jepun.-UTUSAN










