Machado pejuang demokrasi Venezuela

Machado pejuang demokrasi Venezuela

MARIA CORINA MACHADO
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PEMIMPIN pembangkang Venezuela, Maria Corina Machado, dianugerahkan Hadiah Nobel Keamanan 2025 atas perjuangan berani dan berterusan menuntut peralihan demokrasi di negara Amerika Selatan itu.

Dikenali sebagai Iron Lady di Venezuela, Machado merupakan wanita ke-20 daripada 143 penerima Hadiah Nobel Keamanan sejak ia diperkenalkan pada 1901.

Jawatankuasa Nobel Norway berkata, Machado yang kini hidup dalam persembunyian, dipilih kerana usaha gigihnya memperjuangkan hak demokratik rakyat Venezuela serta perjuangan untuk mencapai peralihan yang adil dan aman daripada pemerintahan diktator kepada demokrasi.

Pengerusi Jawatankuasa Nobel, Jorgen Watne Frydnes berkata, Venezuela berubah daripada sebuah negara demokratik dan makmur kepada ‘negara autoritarian yang kejam’ serta bergelut dengan krisis kemanusiaan dan ekonomi.

“Pembang­kang disekat melalui penipuan pilihan raya, pendakwaan terpilih dan pemenjaraan. Jentera keganasan negara kini digunakan terhadap rakyatnya sendiri. Hampir lapan juta rakyat sudah meninggalkan negara itu,” katanya.

Dalam situasi ini, Machado muncul sebagai tokoh penyatu dalam barisan pembangkang yang sebelum ini berpecah-belah.

Jawatankuasa Nobel turut menyifatkannya sebagai ‘antara contoh keberanian awam paling luar biasa di Amerika Latin dalam tempoh kebelakangan ini’.

Wanita berusia 58 tahun itu dikenali sebagai tokoh utama yang menentang Presiden Venezuela, Nicolas Maduro Moros, yang berkuasa selama 12 tahun dalam pemerintahan dianggap tidak sah oleh komuniti antarabangsa dan rakyat tempatan.

DINAFIKAN HAK BERTANDING

Maria Corina Machado menjadi suara utama rakyat Venezuela yang menuntut pemulihan sistem demokratik selepas haknya untuk bertanding dalam pilihan raya presiden 2024 dinafikan.

Sejak itu, beliau terus menyuarakan perjuangan melalui pelbagai saluran termasuk media sosial.

Berpakaian ringkas dengan seluar jeans dan kemeja putih, Machado menjelajah seluruh Venezuela tahun lalu untuk berkempen menamatkan hampir 25 tahun pemerintahan Sosialis yang semakin menindas.

Ucapan penuh semangatnya sering membangkitkan emosi luar biasa dalam kalangan penyokong, malah ada yang menitiskan air mata dengan hanya melihat kehadirannya.

Dilahirkan pada 7 Oktober 1967 di Caracas, anak sulung daripada empat beradik ini memiliki ijazah dalam kejuruteraan industri dan Ijazah Sarjana dalam bidang kewangan.

Ibu kepada tiga anak ini menceburi bidang politik pada 2002 sebagai pengasas bersama persatuan sukarela masyarakat, Sumate yang bertujuan menyatukan rakyat di tengah polarisasi di bawah pemerintahan Maduro.

Pada tahun 2023, beliau memenangi pemilihan utama presiden pembangkang Venezuela dengan majoriti undi yang besar, meletakkannya dalam kedudukan utama untuk menentang pemimpin sosialis lama,

Maduro dalam pilihan raya 2024.

Namun, setahun kemudian, Mahkamah Agung Venezuela mengekalkan larangan yang menghalangnya daripada memegang jawatan politik.

Machado kemudiannya menyokong bekas diplomat Edmundo Gonzalez Urrutia, yang kurang dikenali untuk menggantikannya sebagai calon utama pembangkang.

BERSEMBUNYI DALAM NEGARA

Kini, Machado terasing di Venezuela apabila hampir semua penasihat kanan beliau ditahan atau terpaksa meninggalkan negara berikutan ugutan daripada Maduro dan penyokongnya, yang menentang sesiapa sahaja mencabar pemerintahannya.

Selepas pilihan raya Julai 2024, di mana Maduro mengisytiharkan kemenangan walaupun keputusan itu dipertikaikan oleh pembangkang, Machado mengumumkan beliau akan bersembunyi di dalam Venezuela kerana bimbang keselamatannya di bawah pemerintahan Maduro.

Lokasi terkini beliau tidak diketahui. Ogos tahun lalu, beliau keluar seketika daripada persembunyian untuk menyertai penyokongnya yang berhimpun di jalanan Caracas menentang keputusan pilihan raya nasional yang dipertikaikan.

“Seperti mana kami mengambil masa yang lama untuk mencapai kemenangan pilihan raya, kini tiba fasa di mana kami menghadapi hari demi hari, tetapi kami tidak pernah sekuat hari ini, tidak pernah,” kata

Machado, yang sentiasa hadir ke protes dengan berpakaian putih, kepada penyokongnya di Caracas.

Bagaimanapun, Januari tahun ini, ketika beliau muncul semula dari buangan untuk menyertai protes sebelum pelantikan semula Maduro sebagai presiden, beliau ditangkap seketika sebelum dibebaskan.

“Mereka mahu kami berperang sesama sendiri, tetapi Venezuela bersatu,” jerit Machado dari atas sebuah lori sambil melambai bendera Venezuela di hadapan beberapa ratus penunjuk perasaan sejurus sebelum ditangkap.

Tahun lalu, Kesatuan Eropah menganugerahkan hadiah hak asasi manusia tertinggi kepada Machado bersama Urrutia.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×