Ibu kesal tersalah pilih jodoh anak

Ibu kesal tersalah pilih jodoh anak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Setiap ibu bapa sentiasa mahukan yang terbaik untuk anak-anak perempuan.

Ini termasuk mencari jodoh yang sesuai dengan harapan dapat melindungi, membimbing dan memberi kebahagiaan.

Namun pilihan orang tua tidak semuanya berakhir dengan kebahagiaan.

Ada kalanya, niat yang baik itu menjadi punca penderitaan berpanjangan kepada anak.

Minggu ini, saya kongsikan kisah seorang ibu yang masih menanggung rasa bersalah menjodohkan anak perempuannya dengan lelaki pilihannya.

Lelaki yang disangka baik, tetapi sebaliknya telah membuat anaknya menderita.

Menurut Maria, (bukan nama sebenar) kisah itu bukan untuk membuka aib sesiapa, tetapi sekadar menyampaikan iktibar kepada ibu bapa lain agar tidak mengulangi kesilapan yang sama.

Lelaki itu juga bukan lagi menantunya dan segalanya sudah berlalu.

“Dalam urusan jodoh, jangan hanya percaya kepada apa yang dilihat mata kasar, tetapi selidiklah terlebih dahulu luar dan dalam,” ujarnya dalam pertemuan bersama saya baru-baru ini.

Kata Maria, dahulu dia hanya mahu melihat anak perempuannya bahagia.

Setiap apa yang dilakukan semata-mata untuk kebaikan Zara (bukan nama sebenar) satu-satu anak perempuan tunggalnya.

Selepas kematian suami dia membesarkan Zara yang ketika itu baru berusia empat tahun.

Dia berjaya membesarkan dan memberi pendidikan kepada Zara sehingga ke menara gading.

“Zara seorang anak yang patuh dan mendengar kata. Apa sahaja permintaan saya, dia turuti . Ini termasuklah jodoh pilihan saya untuknya,” ujarnya.

Menurut Maria, pada awalnya Zara menolak lembut ketika mahu dijodohkan dengan Sharif (bukan nama sebenar), anak lelaki kenalan lamanya.

Zara memberi alasan belum bersedia dan hatinya sudah dimiliki.

Tetapi, dia tetap memujuk anak perempuannya itu dengan air mata.

“Zara anak yang patuh. Dia akur akhirnya.

“Ketika itu, saya langsung tidak memikirkan perasaannya.

Saya lebih fokus kepada kegembiraan dan hasrat saya yang tertunai,” ujarnya.

Namun kurang setahun berumahtangga, impian melihat anak perempuannya itu bahagia tidak kesampaian.

Sharif mula menunjukkan wajah sebenar. Seorang yang panas baran, suka menengking dan kaki pukul.

Setiap kali selepas dipukul, Zara akan dipujuk kembali oleh suami dengan janji palsu.

Kata Maria, beberapa bulan pertama selepas perkahwinan, Zara rajin pulang.

Kadang datang bersama Sharif, lelaki yang nampak sopan di depan Maria.

Namun masa berlalu, keadaan mula berubah.

Zara semakin jarang pulang. Kalau datang pun sekejap sahaja dan jarang ditemani suami.

Alasan diberi sama sahaja, suami sibuk.

“Sebagai ibu yang mengandungkannya sembilan bulan, saya perasan ada sesuatu yang tidak kena kepada Zara.

“Setiap kali dia pulang, wajahnya pucat, senyum pun bagai dipaksa. Bila saya tanya, cepat-cepat dia mengalih topik. Kadang-kadang, soalan yang ditanya lambat nak dijawab,” ujar Maria.

Tambahnya, pernah anak menantu menghilang dan senyap berbulan-bulan lamanya.

Sehinggalah pada suatu hari Zara pulang dengan keadaan wajahnya penuh lebam dan tangannya ada kesan luka belum sembuh.

Setelah dipaksa, Zara menceritakan suaminya meminta dia berhenti kerja dan berubah sikap menjadi kaki pukul.

Sifat penyayang hilang entah ke mana.

Silap sedikit tangan naik ke muka dan badan.

Menurut Maria, sebaik mendengar apa yang berlaku, dia benar-benar terkejut. Perasaannya bercampur baur. Marah, sedih dan kecewa.

Dunia terasa gelap seketika

Dia tidak menyangka, selama ini anak perempuannya itu menanggung derita.

Ketika itu, timbul penyesalan dalam diri kerana memaksa Zara berkahwin dengan lelaki pilihannya.

Pada awalnya dia berniat untuk membawa anak perempuannya itu membuat laporan polis.

Namun dihalang oleh Zara dengan alasan enggan memanjangkan cerita.

Keesokannya, Sharif datang memujuk.

Katanya, dia benar-benar menyesal dan berjanji tidak mengulangi perbuatannya terhadap Zara.

“Sebagai ibu saya menasihati dan menegur Sharif. Di depan saya dia berjanji untuk tidak lagi menyakiti Zara.

“Sejujurnya saya berat hati membenarkan Zara pergi bersama suaminya. Namun, saya tidak berhak memaksa. Zara sendiri yang lembut hati untuk kembali bersama suaminya.

“Saya hanya mampu berdoa agar menantu tidak mengulangi perbuatannya dengan mengapa-apakan Zara sekali lagi,” ujarnya.

Namun, apa yang diharapkan tidak kesampaian.

Dua minggu selepas Zara pulang, dia menerima berita mengejutkan anak perempuannya itu di masukkan ke hospital kerana keguguran.

Kata Maria, hancur luluh perasaannya apabila melihat Zara separuh sedar terlantar di katil hospital.

Melihat keadaan Zara, kali ini dia tidak mampu bertahan lagi.

Sepanjang berada di hospital dia langsung tidak melihat kelibat Sharif.

Paling mengejutkan menurut doktor yang merawat Zara, ada tanda-tanda dia dipukul dengan objek tumpul.

Maria bersama seorang sahabat baiknya, membuat laporan di balai polis.

“Sebagai ibu saya tahu ini bukan mudah, tetapi saya tidak akan membiarkan Zara diperlakukan seperti itu,” ujarnya.

Menyambung cerita, tembelang Sharif pecah apabila dia mendapat tahu bekas menantunya itu menyimpan kisah silam.

Dua kali berkahwin, dua kali bercerai dan mempunyai enam anak dari perkahwinan terdahulu.

Punca perceraian alasan sama, kaki pukul.

Dia pandai menyembunyikan kisah silam di sebalik senyuman dan tutur katanya yang lembut.

Di depan keluarga, Sharif nampak baik dan bersopan.

Paling dikesal, sahabat lamanya dan keluarga turut bekerjasama menyembunyikan kebenaran.

Beberapa hari kemudian, dia mendapat tahu bekas menantunya itu ditahan untuk siasatan.

Beberapa minggu kemudian, anak perempuannya itu membuat keputusan tegas untuk memfailkan perceraian.

Menurut Maria, pertengahan November depan, genap tiga tahun anak perempuannya menjalani kehidupan tanpa lelaki bergelar suami.

“Saya bersyukur kerana kehidupan Zara kini lebih baik berbanding sebelumnya. Dia nampak lebih tenang dan gembira.

“Alhamdulilah, Zara kini juga sudah bekerja dan kembali tinggal bersama saya,” ujarnya.

Kisah yang dikongsikan memberi pengajaran kepada kita semua, jodoh yang ditentukan manusia boleh membawa kekecewaan, tetapi jodoh yang ditentukan oleh Allah SWT tidak pernah silap.

Sebaiknya, serahkan urusan jodoh kepada Allah SWT.

Sebagaimana Firman Allah SWT yang bermaksud: “Allah telah menjadikan bagi kalian pasangan dari jenis kalian sendiri, dan dari pasangan kalian. Allah menciptakan anak dan cucu, dan Dia memberi rezeki yang baik kepada kalian. Mengapa kalia beriman pada yang salah dan mengingkari nikmat Allah?’(Surah An-Nahl ayat 72).-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×