Siapa sangka kucing terbiar tidak mempunyai tuan sebelum ini, kini menjadi kesayangan kakitangan di Stesen Shell Jalan Kulim, Bukit Mertajam.
Malah, si bulus montel itu juga sudah terkenal di media sosial sebagai ‘pekerja’ di stesen minyak yang terletak di utara itu.
Menurut pemiliknya, Magdalene Ong, 46, kucing tersebut yang diberi nama Mimi, ditemui berdekatan dengan stesen minyak tempat dia bekerja dalam keadaan comot sekitar Mac tahun ini.
“Pada waktu itu, keadaan Mimi bukan seperti sekarang. Badannya amat kurus dan mempunyai kurap. Ia juga ada beberapa kecederaan di badan.
“Tetapi, dengan bantuan rakan sekerja yang tidak takut dengan kucing, mereka mencadangkan agar Mimi dirawat bersama di situ sehingga sihat,” katanya.
Keadaan kucing betina tersebut yang semakin sihat dan bulunya semakin menggebu amat berbeza dengan kali pertama ia ditemui.
Kini, Mimi sering mendapat perhatian pelanggan di stesen minyak apabila sering bergaya dengan baju khas untuk kucing seperti Shell, Shopee dan Grab.
Tidak takut air
Magdalene berkata, rakan-rakan sekerjanya sangat prihatin sehingga merayu agar Mimi dibenarkan tinggal di stesen minyak itu.
Mereka bersetuju bergilir-gilir menjaga si comel ini supaya sentiasa berada dalam keadaan baik.
Bukan itu sahaja, Magdalene juga mendapat sokongan daripada rakan sekerja untuk memandikan Mimi sekali seminggu.
Keistimewaan Mimi yang sangat tenang dan mesra menjadikan setiap sesi mandian bukan sahaja mudah, malah penuh dengan kehangatan dan kasih sayang.
“Mimi tidak banyak ragam dan tidak pernah takut dengan air. Sebaliknya, ia akan duduk diam sehinggalah ke proses pengeringan bulunya,” ujarnya.
Walaupun, Mimi dibiarkan hanya berada di dalam stesen minyak, para pekerja di situ akan sentiasa memastikan keadaannya sentiasa bersih supaya si bulus kesayangan kekal ceria dan aktif.
Memilih makan
Pilihan makanan kegemaran Mimi semestinya makanan basah.
Si bulus itu akan segera datang jika ternampak hidangan makanan.
Namun, ada juga kerenahnya yang mencuit hati di mana Mimi tidak gemarkan makanan kering dan agak cerewet terhadap makanan.
Mimi hanya akan menjamah sedikit makanan kering sekiranya tiada makanan basah disediakan pada hari itu.
Adakalanya, Mimi akan berbaring manja di meja ketika kakitangan lain sedang menikmati makanan mereka.
“Selalunya, pekerja akan memberi makanan secubit sahaja untuk bagi ia merasa.
“Kalau tidak memberi makanan pun kepada Mimi, ia tidak akan berbunyi. Ia hanya suka minta perhatian untuk bermain,” katanya.Bagi pelanggan yang kerap datang ke situ, Mimi sudah menjadi wajah ikonik stesen tersebut. Ada yang menganggap ia sebagai pembawa tuah.
Magdalene akan memberi peluang kepada pelanggan untuk mendukung dan membelai bulus si manja itu.
“Ada pelanggan yang minta untuk pelihara Mimi tetapi saya tidak beri.
“Justeru, setiap kali Mimi dibiarkan bermain bersama pelanggan, saya minta rakan-rakan pantau kerana takut jika Mimi dibawa balik tanpa disedari,” katanya berseloroh.-UTUSAN