SEPANJANG minggu ini, kandungan yang melintas di media sosial saya kebanyakannya adalah gambar-gambar potret yang nampak indah, tetapi pelik dalam masa sama.
Ada rakan yang tiba-tiba bercuti di kapal mewah, menunggang kuda di padang pasir dan menikmati musim bunga di Belanda.
Tidak ketinggalan yang berbulan madu di Switzerland lengkap dengan gambar perkahwinan penuh romantis.
Hakikatnya, mereka tidak pernah pun menjejakkan kaki ke destinasi-destinasi itu.
Semuanya hasil suntingan aplikasi kecerdasan buatan (AI) yang kini menjadi trend global.
Bukan hanya di Malaysia, malah seluruh dunia diserang ‘demam’ menyunting wajah diri sendiri.
Fenomena ini membuktikan betapa mudahnya realiti ditukar menjadi fantasi hanya dengan beberapa klik.
Jika dahulu untuk mendapatkan gambar berkualiti, kita perlu mengupah jurugambar profesional, mendapatkan khidmat jurusolek, menyewa busana cantik dan mencari lokasi menarik.
Proses itu bukan sahaja memakan masa, malah menelan kos yang besar.
Kini, semua itu boleh dilakukan di hujung jari, hanya melalui skrin telefon pintar.
Sekali imbas, ia tampak begitu menyeronokkan. Siapa yang tidak teruja dapat berkunjung ke destinasi percutian idaman?
Lucunya, walaupun kita tahu ia tidak benar, tetap ada rasa puas.
Barangkali kerana dunia sebenar penuh tekanan, jadi dunia maya menjadi tempat kita berangan-angan.
Namun begitu, jangan sampai terleka. Hidup ini lebih indah kalau kita betul-betul rasa, bukan sekadar tengok di skrin.
Tidak salah sesekali bergurau dengan gambar suntingan, tetapi biarlah ia jadi hiburan ringan, bukan pengganti realiti.
Percutian sebenar mungkin memerlukan belanja besar, perjalanan panjang dan adakalanya penuh cabaran yang tidak dijangka.
Namun, di situlah terletaknya keindahan kerana setiap pengalaman dirasai, bukan sekadar imbasan pada skrin.
Kalau belum berpeluang menjejakkan kaki ke luar negara, tidak mengapa.
Kita boleh bermula dengan destinasi tempatan yang tidak kurang mempesonakan.
Malaysia sendiri kaya dengan alam semula jadi, pantai indah, hutan tropika menghijau dan budaya berwarna-warni.
Tambahan pula, pengalaman sebenar bukan hanya tentang tempat yang dikunjungi, tetapi detik-detik kecil yang berlaku sepanjang perjalanan.
Semua itu tidak mampu digambarkan sepenuhnya oleh teknologi, walau secanggih mana pun aplikasi yang ada.
Gambar suntingan boleh hilang sebaik aplikasi ditutup, tetapi pengalaman sebenar akan kekal selamanya dalam ingatan.
Ia menjadi cerita untuk kita kongsikan dengan anak cucu bila tua kelak.
Rosalinda Md. Said adalah wartawan Utusan Malaysia










