MESKIPUN usianya seabad, tetapi Dr. Teru Kasamatsu masih menyarung kot putih dan merawat pesakit di Hospital Kasamatsu, Kainan, wilayah Wakayama, Jepun.
Beliau menerima pesakit luar tiga kali seminggu, kebanyakannya pesakit tetap yang sudah lama mengenalinya.
Di hospital yang berlatarbelakangkan pemandangan Teluk Wakayama, doktor itu menyambut setiap pesakit dengan senyuman lembut, sebelum meneliti rekod perubatan mereka.
“Tekanan darah anda agak tinggi. Sila bawa buku rekod ubat pada lawatan seterusnya,” katanya kepada seorang pesakit.
Hospital itu ditubuhkan pada 1909 dan beliau telah berkhidmat serta merawat penduduk selama hampir 80 tahun.
“Perkara paling penting adalah mendengar apa yang ingin disampaikan oleh pesakit,” katanya.
Kini, anak keduanya, Dr. Satoshi, 68, berkhidmat sebagai pengarah hospital, manakala isterinya, Hitomi, 61, mengetuai jabatan kejururawatan.
“Beliau pandai mewujudkan suasana yang mudah untuk berbicara. Pesakit sangat bergantung kepadanya,” kata Dr. Satoshi.
“Sekalipun berbicara tentang perkara remeh, tetapi ia seolah-olah meringankan beban di hati pesakit,” kata Hitomi pula.
MAKAN SAYUR-SAYURAN
Teru yang merupakan anak bongsu daripada lima beradik dilahirkan di Kinokawa, wilayah Wakayama pada 1925.
Beliau nekad menjadi doktor ketika di sekolah menengah kerana ketika itu perang semakin memuncak.
Melihat ramai wanita kehilangan suami akibat perang, bapa menyarankannya mempelajari sesuatu yang boleh menjamin kehidupan sendiri.
Mula berkhidmat sebagai doktor pada 1948, beliau mendirikan rumah tangga dengan pakar bedah ortopedik, Dr. Shigeru, di usia 24 tahun.
Apabila Dr. Shigeru mengambil alih Hospital Kasamatsu daripada bapanya, beliau mula bekerja bersama suaminya di hospital tersebut.
Pasangan itu menguruskan hospital sambil membesarkan tiga anak.

Teru berkata, ada masanya beliau merawat sehingga 120 pesakit sehari dan disebabkan hospital menerima pesakit kecemasan, beliau terpaksa berjaga sepanjang malam untuk melakukan pembedahan.
“Saya lakukan semuanya, daripada memeriksa pesakit, memberikan ubat sehinggalah mengurus akaun,” katanya.
Apabila hospital semakin sibuk dan memerlukan tukang masak, beliau rela mengambil alih tugas itu hingga memperoleh lesen memasak di usia 30-an.
Walaupun rutin harian padat, beliau tetap berkhidmat meskipun pernah dimasukkan ke hospital untuk rawatan kanser.
Teru turut berkongsi rahsia umur panjang dan kesihatannya terletak pada pemakanan.
“Makan banyak sayur-sayuran seperti bayam, brokoli, kobis dan bendi kerana ia membantu mengawal paras gula dalam darah,” katanya.
MINAT BERMAIN PIANO
Suaminya meninggal dunia pada 2012 ketika berusia 91 tahun dan kini beliau tinggal bersendirian di rumahnya yang terletak bersebelahan hospital.
Walaupun usianya 100 tahun, beliau masih mampu berjalan tanpa tongkat dan kekal sihat dari segi fizikal serta mental dengan sokongan orang di sekeliling.
Rutin hariannya termasuk menyelesaikan teka-teki nombor yang menurutnya dapat membantu mencegah nyanyuk.
Beliau meluangkan satu hingga dua jam setiap hari untuk aktiviti itu bagi memastikan mindanya sentiasa aktif.
Semasa usianya 70 tahun, Teru berjinak-jinak dengan piano kerana terinspirasi dengan suaminya.
Beliau masih mengikuti kelas piano setiap minggu, malah pernah membuat persembahan Für Elise karya Beethoven bersama golongan muda.
Teru turut berusaha menambah pengetahuannya dengan membaca bahan terkini daripada persatuan perubatan sambil menegaskan belum berhasrat untuk bersara.
“Saya langsung tidak rasa sakit atau tidak sihat,” katanya.










