Siapa sangka, seekor kucing baka Maine Coon bukan sahaja menjadi peneman setia, malah turut membuka pintu rezeki buat pemiliknya, Sufian Mohat dan keluarga tercinta.
Kucing istimewa itu dikenali dengan nama Mr. Kiron, bukan calang-calang haiwan peliharaan.
Dengan fizikal yang besar dan tegap seberat 10 kilogram, Mr. Kiron sering mencuri tumpuan, bukan hanya di rumah malah di pentas pertandingan peringkat kebangsaan dan antarabangsa.
Menurut Sufian, keunikan Mr. Kiron bukan sekadar pada saiznya, tetapi juga pada personalitinya yang tenang serta mudah dikendalikan, menjadikan proses penjagaan dan latihan lebih mudah.
“Saya sangat bangga apabila Mr. Kiron sering menjadi perhatian di setiap pertandingan, dengan tubuhnya yang antara paling besar berbanding kucing lain.
“Selain sifatnya mudah dikendalikan, keadaan fizikal baik dan penampilan yang sentiasa terjaga berjaya mencuri perhatian juri,’ katanya kepada Seri.
Tidak hairanlah apabila Mr. Kiron berjaya mengekalkan gelaran Pemenang Kebangsaan selama tiga tahun berturut-turut di setiap pertandingan di bawah Persekutuan Kucing Sedunia (WCF).
Ia merupakan satu pencapaian membanggakan yang tidak mudah diraih.
Pencapaian demi pencapaian itu akhirnya membuka laluan buat Mr. Kiron melangkah lebih jauh ke pentas antarabangsa. Setakat ini, namanya sudah gah di beberapa negara seperti Thailand, Filipina, Vietnam, Indonesia.
Bagi Sufian, perkara yang bermula sekadar hobi kini telah menjadi satu bidang yang bukan sahaja mendatangkan kepuasan peribadi, malah membuka peluang rezeki yang tidak disangka-sangka.
Suka bermanja
Sekilas pandang, wajah Mr. Kiron kelihatan garang dengan bentuk muka yang besar dan tegas. Namun, di sebalik raut itu, ia seekor kucing yang sangat manja dan patuh kepada tuannya.
Sufian menggambarkan Mr. Kiron seperti anjing yang setia ekoran ia sentiasa memberi respon apabila dipanggil dan mudah mesra dengan orang.
Malah, setiap kali ada ahli keluarga atau tetamu datang ke rumahnya, si bulus itu tidak segan untuk didekati, dipeluk dan dipegang tanpa sebarang masalah.
Selain itu, Mr Kiron juga gemar tidur bersama tuannya walaupun ia disediakan bilik khas bersama dua lagi ekor kucing.
“Jika dibawa ke dalam bilik, Mr. Kiron akan berkongsi selimut seolah-olah seperti anak kecil yang mahu dimanjakan,” ujarnya.
Sebagai kucing berbulu panjang, Mr. Kiron menerima rawatan penjagaan yang konsisten.
Katanya, ia akan diberi mandi sebanyak dua kali sebulan bagi memastikan bulunya sentiasa bersih, terurus dan kelihatan kemas.
Selain itu, pemiliknya turut menitikberatkan kesihatan fizikal bagi memastikan ia tidak mengalami berat badan yang berlebihan
“Setiap pagi, saya akan sering bawa Mr. Kiron menemani berjoging di halaman rumah sekurang-kurangnya selama 30 minit.
“Walaupun badannya besar, aktiviti seperti ini penting untuk menjaga jantung dan memastikan ia kekal aktif,” katanya.
Bagi memastikan kebersihan keseluruhan sentiasa terjaga, Sufian akan membersihkan telinga, mata dan gigi Mr. Kiron selepas makan.
Ia bagi mengelakkan jangkitan, di samping menjadikan penampilannya sentiasa kemas dan sihat untuk dipertontonkan di pentas pertandingan.
Makanan mentah
Rahsia tubuh sihat dan gagah Mr. Kiron banyak terletak pada corak pemakanan yang dijaga rapi.
Ia diberi hidangan asas dan suplemen tambahan serta makanan mentah seperti daging dan ayam.
Sufian turut memastikan jumlah hidangan mencukupi untuk menampung keperluan tumbesaran otot dan perkembangan tulangnya.
Makanan mentah juga membantu menjaga kesihatan gigi kerana tekstur daging memerlukan lebih kunyahan.
“Ramai yang kagum melihat fizikalnya, tetapi tidak semua tahu rahsianya terletak pada disiplin penjagaan diet dan kebersihan.
“Bagi saya, makanannya bukan sekadar untuk mengenyangkan, tetapi juga untuk kesihatan,” katanya.-UTUSAN










