Tanggungjawab seorang suami untuk melidungi dan menyara keluarga.
Namun, masih ada segelintir yang mengabaikan amanah tersebut.
Tanpa rasa bersalah mereka menyerahkan segalanya kepada isteri untuk menjadi pengurus rumah tangga dan dalam masa sama penyara utama.
Minggu ini saya kongsikan kisah Nabila (bukan nama sebenar) seorang isteri yang bekerja keras demi kelangsungan hidup, membayar hutang, bil utiliti sementara suami memilih berdiam diri.
Kisah ini dikongsikan sendiri oleh adiknya, Ayu (bukan nama sebenar) dalam pertemuan baru-baru ini.
Kata Ayu, sehingga ke hari ini setelah hampir 15 tahun berumah tangga, kakaknya masih memilih untuk terus bertahan.
Dia sangat bersimpati dengan nasib kakaknya itu, tetapi dalam masa sama tidak boleh terlalu campur tangan.
Membuka cerita, katanya, dari kecil kakaknya seorang wanita yang bijak, ceria dan selalu mengalah demi orang lain.
Menurut anak ketiga daripada lima beradik itu, selepas tamat pengajian, kakaknya mendapat pekerjaan di sebuah syarikat perbankan di ibu negara.
Belum setahun bekerja, kakaknya menyuarakan hasrat untuk berkahwin dengan lelaki pilihan iaitu Kamal (bukan nama sebenar).
Awalnya, orang tua mereka agak keberatan kerana kerjaya kakaknya baru bermula dan hidup pun belum stabil.
Namun kakaknya tetap dengan pendirian dan keluarga terpaksa akur.
Di awal perkahwinan, kehidupan kakak dan suaminya yang bekerja sebagai jurujual kereta sangat bahagia.
Menyambung cerita, kata Ayu dalam tempoh singkat, kakaknya hamil anak sulung.
Di saat badan sarat mengandung, abang ipar tiba-tiba menyuarakan hasrat untuk berhenti kerja dan memulakan perniagaan.
“Awalnya, kakak ragu-ragu kerana untuk membuka perniagaan bukan sesuatu yang mudah dan memerlukan modal besar.
“Tetapi abang ipar tidak henti-henti memujuk kakak sambil berjanji mahu mengubah kehidupan mereka kepada yang lebih baik,” ujar Ayu.
Bukan itu sahaja, abang ipar turut meminta kakak mengeluarkan duit simpanan untuk dijadikan modal.
Apa yang ditakuti kakak akhirnya berlaku, perniagaan itu berjalan lancar hanya seketika.
Ini kerana abang ipar bukan sahaja tiada pengalaman tetapi sikapnya yang suka hidup bergaya daripada belajar mengurus perniagaan.
Untung entah ke mana, hutang pula terpaksa ditanggung.
Kegagalan pertama tidak pernah dijadikan pengajaran oleh abang ipar.
Walaupun perniagaan pertama gagal dan meninggalkan hutang, abang ipar sekali lagi menyuarakan hasrat untuk kembali berniaga.
Dalam keadaan kakaknya yang bergelut membayar hutang tertunggak sendirian, suami memujuk membuat pinjaman peribadi.
Awalnya kakak menolak kerana terlalu banyak komitmen atas namanya.
Dalam masa sama, kakak kasihan kepada suami yang dilihat begitu tertekan dan kecewa.
Cubaan kedua abang ipar dalam perniagaan juga tidak berjaya.
Hutang tetap perlu dibayar, keuntungan tidak pernah ada.
Sejak itu, kata Ayu, dia melihat sendiri bagaimana kehidupan kakaknya berubah.
Daripada seorang isteri yang patut dilindungi dan disayangi, kakaknya perlahan-lahan menjadi tulang belakang keluarga.
Setiap pagi dia bangun awal untuk menyiapkan sarapan, menguruskan anak-anak ke sekolah dan kemudian bergegas ke pejabat.
Hidupnya dibebani hutang termasuk rumah, kenderaan dan pinjaman terletak di bahunya.
Abang iparnya dilihat semakin selesa melihat kakak mampu menguruskan segala perkara.
Daripada bil elektrik, air, ansuran rumah, perbelanjaan persekolahan anak dan makan minum.
Lama-kelamaan, tanggungjawab abang ipar sebagai suami yang sepatutnya menjadi pelindung dan penyara keluarga semakin diabaikan.
Abang ipar lebih banyak bersikap lepas tangan. Kakak pula jarang bersuara.
Namun jauh di sudut hati Ayu tahu, kakaknya kepenatan kerana terpaksa menanggung urusan rumah tangga sendiri.
Setiap bulan, sebaik sahaja gaji masuk, kakak sudah ada senarai panjang menunggu.
Daripada bil air, elektrik, ansuran rumah dan kereta. Itu belum termasuk hutang pinjaman bank.
Menurut Ayu, dia tahu sikap kakaknya sejak awal dididik untuk memahami beratnya beban hutang jika tidak diurus dengan baik.
Sebab itulah, ansuran rumah, kereta dan pinjaman peribadi tidak pernah lewat kerana dia tidak sanggup dikejar pihak bank.
Menurut kakaknya, setiap kali meminta bantuan suami, jawapan sama diterima.
“Abang ipar meminta kakak bersabar dan akhirnya menyurug kakak menyelesaikan semua,” ujarnya.
Hari demi hari berlalu. Minggu memasuki tahun. Oktober depan kata Ayu genap usia perkahwinan kakaknya 15 tahun.
Kakaknya masih meneruskan kehidupan seperti biasa. Sementara abang ipar kekal dengan sikap lepas tangan .
Kadang-kadang membantu, namun lebih banyak menyerah bulat-bulat kepada kakak.
Menurut Ayu, kakaknya banyak memendam rasa. Tidak semua tahu apa yang dilalui kakak.
“Kakak tetap ceria dan tersenyum di depan orang lain terutama ahli keluarga.
‘Saya tahu kakak kecewa, tetapi dia memilih diam. Kakak pernah beritahu sebelum ini dia sentiasa berdoa agar suaminya berubah,” ujarnya.
Kisah ini boleh dijadikan pengajaran kerana suami yang baik bukan sekadar bersusah senang bersama, tetapi hadir dengan tanggungjawab.
Sehebat mana pun seorang isteri, dia tetap memerlukan bahu untuk bersandar.
Sesungguhnya, dalam Islam kedudukan suami bukan sahaja sebagai pemimpin tetapi bertanggungjawab memenuhi nafkah dan menggauli isteri dengan baik.
Sebagaimana firman Allah SWT yang bermaksud, “Dan bergaullah dengan mereka dengan cara yang patut.” (Surah an-Nisa: 19).









