YORKSHIRE berkabung dan meratapi pemergian Duchess of Kent, Katharine Worsley, yang meninggal dunia pada usia 92 tahun awal bulan ini.
Katharine, yang sebelum ini merupakan ahli tertua Keluarga Diraja, menghembuskan nafas terakhir di Istana Kensington.
Dilahirkan dalam keluarga aristokrat di Yorkshire, England utara, beliau berkahwin dengan Duke of Kent, sepupu kepada mendiang Ratu Elizabeth II.
Sepanjang hidupnya, beliau memilih untuk tinggal, berkhidmat dan membina keluarga di Yorkshire, menjadikan wilayah itu sebagai pusat kehidupannya walaupun menyandang gelaran diraja.
Duchess of Kent sebelum ini dikenali kerana sering menyampaikan trofi kepada pemenang di kejohanan Wimbledon.
Perkahwinan dengan Duke pada 1961 bukan sahaja membawa Katharine masuk ke dalam keluarga diraja Britain, tetapi juga mengekalkan hubungan rapat keluarga diraja dengan Yorkshire.
Leftenan Lord Yorkshire Utara, Johanna Ropner, menyifatkan beliau sebagai wanita Yorkshire yang baik dan merendah diri, seorang yang penuh empati serta dekat dengan masyarakat.
Mereka yang mengenalinya turut menyebut mengenai ‘semangat’ beliau membantu orang lain, sekali gus menganggap pemergian Duchess bukan sekadar kehilangan seorang tokoh diraja, tetapi juga sahabat yang akan dirindui.
BERKHIDMAT SEBAGAI GURU MUZIK
Walaupun bergelar Duchess, beliau kekal sederhana dan lebih selesa dikenali sebagai isteri serta guru muzik di sekolah rendah.
Beliau yang berbakat bermain piano dan juga seorang penyanyi, secara senyap-senyap mula mengajar di Sekolah Rendah Wansbeck di Hull pada 1996.
Selepas melakukan lawatan ke sekolah itu, Katharine menawarkan diri untuk membantu mengajar muzik dengan mengadakan kelas mingguan selama 40 minit, selain melatih koir sekolah.
Beliau meluangkan masa selama 13 tahun di sekolah tersebut, tanpa menuntut sebarang perhatian atau publisiti.
Ropner berkata, keinginan Duchess untuk berkhidmat di Wansbeck secara ‘senyap tanpa publisiti’ mencerminkan betapa istimewanya peribadi beliau.
Guru besar Wansbeck, Sam Bullen berkata, warga sekolah sangat berduka dengan berita pemergian itu.
“Miss Kent, adalah sumber inspirasi kepada murid ketika mengajar muzik di sini selama bertahun-tahun,” katanya.
Dalam satu temu bual pada 2004, Duchess menjelaskan beliau memilih Wansbeck kerana hubungannya dengan Yorkshire, selain ia berada dekat rumah.
“Ia berada dekat dengan rumah dan rumah adalah tempat yang paling dekat di hati,” kata Duchess.
Pada tahun sama, beliau turut menubuhkan Future Talent, sebuah badan amal yang menyokong kanak-kanak daripada keluarga berpendapatan rendah untuk mengembangkan bakat muzik.
Pengasas bersama, Nicholas Robinson OBE berkata, beliau terharu dengan usaha Duchess membantu kanak-kanak berbakat dalam muzik dan memastikan tiada penghalang untuk berjaya.
KENANGAN ISTIMEWA
Perkahwinan Duchess dengan Putera Edward diadakan York Minster, bukannya di Westminster Abbey atau Katedral St. Paul seperti kebanyakan majlis diraja lain.
Ia menjadi perkahwinan diraja pertama diadakan di katedral itu sejak tahun 1328.
Ropner berkata, Duchess menawan hati Duke of Kent sejak usia muda.
“Duke sering berkata York Minster sentiasa menyimpan banyak kenangan istimewa tentang hari bersejarah itu,” katanya.
Pada 1994, Duchess menjadi ahli keluarga diraja pertama dalam hampir 300 tahun yang diterima masuk ke dalam Gereja Roman Katolik.
Sementara itu, Universiti Leeds turut mengeluarkan kenyataan penghormatan kepada Duchess, yang pernah berkhidmat sebagai Canselor dari tahun 1966 hingga 1999, dan menyifatkan beliau ‘penyokong aktif’.
“Sebagai Canselor kelima universiti dan paling lama berkhidmat, beliau mempunyai hubungan yang sangat rapat dengan Universiti Leeds,” kata Naib Canselor, Prof. Shearer West.
Katanya, Bangunan Worsley di kampu universiti, menempatkan Fakulti Perubatan Pergigian dan Penjagaan Kesihatan, dinamakan sempena beliau dan akan terus menjadi bukti legasi panjang Duchess bersama universiti itu.-UTUSAN










